1 SAMUEL 14:1-14

1 SAMUEL 14:1-14 Alkitab Berita Baik (BM)

Pada suatu hari, Yonatan berkata kepada pemuda pembawa senjatanya, “Marilah kita pergi ke perkhemahan orang Filistin.” Tetapi Yonatan tidak memberitahu ayahandanya, Raja Saul. Pada masa itu Raja Saul berada di bawah pokok delima di Migron, tidak jauh dari Gibea; ada kira-kira enam ratus orang yang bersama dengan Raja Saul. (Imam yang membawa efod pada masa itu ialah Ahiya anak Ahitub, cucu Pinehas anak Eli; Eli ialah imam TUHAN di Silo. Ahitub ialah saudara Ikabod). Tidak ada orang di situ tahu bahawa Yonatan sudah pergi dari tempat itu. Untuk pergi ke perkhemahan Filistin, Yonatan harus melalui genting gunung yang diapit oleh dua buah batu besar yang runcing, yang dinamakan Bozes dan Sene. Batu besar yang di sebelah utara menghadap ke arah Mikhmas, dan batu besar yang satu lagi, yang di sebelah selatan menghadap ke arah Geba. Yonatan berkata kepada pemuda itu, “Marilah kita pergi ke perkhemahan orang Filistin yang tidak mengenal Allah. Mungkin TUHAN akan menolong kita, kerana Dia dapat memberikan kemenangan, baik dengan banyak orang mahupun dengan sedikit orang.” Pemuda itu menjawab, “Apa saja yang hendak tuan lakukan, saya setuju.” “Baiklah,” kata Yonatan. “Pada masa kita pergi ke seberang, kita akan memperlihatkan diri kepada orang Filistin. Jika mereka menyuruh kita berhenti dan menunggu mereka datang kepada kita, maka kita akan tetap tinggal di situ dan tidak usah pergi ke seberang. Tetapi jika mereka menyuruh kita pergi kepada mereka, kita akan ke sana, kerana itulah tandanya mereka diserahkan oleh TUHAN kepada kita.” Oleh itu mereka membiarkan orang Filistin melihat mereka. Kemudian orang Filistin berkata, “Lihatlah! Ada orang Ibrani keluar dari lubang tempat mereka bersembunyi!” Kemudian mereka berseru kepada Yonatan dan hambanya, “Marilah ke sini! Ada yang hendak kami tunjukkan kepada kamu!” Yonatan berkata kepada pemuda itu, “Ikutlah aku. TUHAN sudah menyerahkan mereka kepada Israel.” Dengan diikuti pemuda itu Yonatan merangkak ke atas genting itu sehingga melaluinya. Yonatan menyerang orang Filistin lalu mereka berjatuhan kerana dipukulnya, dan pemuda itu membunuh mereka. Dalam pertempuran yang pertama itu, Yonatan dan pemuda itu membunuh kira-kira dua puluh orang di kawasan seluas satu perempat hektar.

1 SAMUEL 14:1-14 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Pada suatu hari Yonatan anak Saul berkata kepada pemuda pembawa senjatanya, “Mari kita menyeberang ke tempat pasukan orang Filistin di sebelah sana.” Tetapi dia tidak memberitahukan hal itu kepada ayahnya. Ketika itu Saul tinggal di pinggiran daerah Gibea, di gua pokok delima di Migron dengan disertai kira-kira enam ratus orang. Ahia anak Ahitub, saudara Ikabod anak Pinehas anak Eli, imam TUHAN di Silo, ialah orang yang memakai baju efod pada waktu itu. Maka rakyat juga tidak mengetahui bahawa Yonatan telah pergi. Di antara genting yang dicari Yonatan untuk menyeberang ke kawasan pasukan Filistin itu ada ceracak batu di sebelah sana dan di sebelah sini, yang satu bernama Bozes dan yang lagi satu bernama Sene. Ceracak yang menjulang di sebelah utara berhadapan dengan Mikhmas manakala yang satu lagi itu di sebelah selatan berhadapan dengan Geba. Yonatan berkata kepada pembantu pembawa senjatanya, “Ayuh kita menyeberang untuk mendatangi pasukan umat yang tidak bersunat itu. Barangkali TUHAN akan bertindak membantu kita, kerana memang TUHAN sanggup menyelamatkan baik orang yang ramai mahupun yang sedikit dan tiada yang dapat mencegah-Nya.” Maka kata pembawa senjatanya itu kepadanya, “Lakukanlah segala yang tuan niatkan. Majulah. Hamba menyertai tuan dengan seluruh jiwa raga hamba.” Kata Yonatan, “Perhatikan, kita menyeberang ke arah mereka itu dan akan memperlihatkan diri kepada mereka. Jika mereka berkata kepada kita begini, ‘Tunggulah, kami akan datang kepadamu,’ maka kita akan tetap berdiri di tempat kita, dan tidak naik menemui mereka. Tetapi jika mereka berkata kepada kita begini, ‘Naiklah ke tempat kami,’ maka kita akan naik. Itu bererti TUHAN telah menyerahkan mereka ke dalam tangan kita. Itulah tandanya bagi kita.” Lalu kedua-duanya memperlihatkan diri kepada pasukan barisan orang Filistin. Berkatalah orang Filistin, “Tengok! Orang Ibrani itu keluar dari lubang-lubang tempat mereka menyembunyikan diri.” Lalu anggota pasukan itu berkata kepada Yonatan dan kepada pembawa senjatanya, “Naiklah ke tempat kami. Kami akan menunjukkan sesuatu kepadamu.” Maka Yonatan berkata kepada pembawa senjatanya, “Naiklah, ikuti aku. TUHAN telah menyerahkan mereka ke dalam tangan orang Israel.” Maka naiklah Yonatan merangkak ke atas, dengan diikuti oleh pembawa senjatanya. Tewaslah anggota pasukan itu diparang oleh Yonatan, sementara pembawa senjatanya membunuh mereka dari belakangnya. Serangan pertama oleh Yonatan dengan pembawa senjatanya itu membunuh kira-kira dua puluh orang dalam jarak kira-kira setengah alur di kawasan seluas satu ekar tanah.