1 SAMUEL 11:1-15

1 SAMUEL 11:1-15 Alkitab Berita Baik (BM)

Kemudian Raja Nahas, raja negeri Amon, mengerah tenteranya lalu mengepung kota Yabes di kawasan Gilead. Penduduk Yabes mengajukan cadangan kepada Raja Nahas, “Buatlah perjanjian dengan hamba sekalian, maka hamba semua akan menerima raja sebagai pemerintah hamba sekalian.” Raja Nahas bertitah, “Beta akan membuat perjanjian dengan kamu dengan satu syarat: beta akan mencungkil biji mata kanan setiap orang untuk mempermalukan segenap umat Israel.” Kemudian para pemimpin kota Yabes berkata, “Berilah hamba sekalian masa tujuh hari untuk mengirim berita ke seluruh negeri Israel. Jika tiada sesiapa yang dapat menolong hamba sekalian, maka hamba semua akan menyerah kepada tuanku.” Para utusan itu sampai di Gibea, tempat tinggal Raja Saul. Apabila berita itu disampaikan, semua penduduk di situ mula menangis kerana putus asa. Pada masa itu Raja Saul baru sahaja pulang dari ladang bersama dengan lembu-lembunya. Baginda bertanya, “Ada apa? Mengapa semua orang menangis?” Dengan segera baginda diberitahu berita yang dibawa oleh para utusan dari Yabes. Ketika Raja Saul mendengar berita itu, Roh Allah menguasai baginda, lalu baginda menjadi murka. Raja Saul mengambil dua ekor lembu lalu memotong-motongnya menjadi banyak potongan. Kemudian baginda menyuruh beberapa orang membawa potongan-potongan lembu itu ke seluruh negeri Israel dengan perintah, “Sesiapa yang tidak ikut Raja Saul dan Samuel berperang, lembunya akan dipotong-potong seperti ini!” Umat Israel takut akan apa yang mungkin dilakukan TUHAN, maka semua orang, tanpa seorang pun yang terkecuali, maju bersama-sama untuk berperang. Raja Saul mengumpulkan mereka di Bezek: 300,000 orang dari Israel dan 30,000 orang dari Yehuda. Mereka berkata kepada para utusan dari Yabes itu, “Beritahulah penduduk Yabes bahawa esok, sebelum tengah hari, mereka akan mendapat pertolongan.” Ketika penduduk Yabes mendengar berita itu, mereka sangat bersukacita lalu berkata kepada Raja Nahas, “Esok hamba semua akan menyerah dan tuanku boleh memperlakukan hamba sekalian dengan sesuka hati.” Awal pagi keesokan harinya, Raja Saul membahagikan anak buahnya menjadi tiga pasukan. Kemudian, ketika fajar menyingsing, mereka menyerbu ke tengah-tengah perkhemahan orang Amon dan menyerang mereka. Sebelum tengah hari, tentera Raja Saul telah mengalahkan musuh. Orang Amon yang tidak terbunuh, tercerai-cerai sehingga tidak ada dua orang yang lari bersama-sama. Kemudian umat Israel berkata kepada Samuel, “Di manakah orang yang dahulunya berani berkata bahawa Raja Saul tidak layak menjadi raja kita? Serahkanlah mereka kepada kami. Kami akan membunuh mereka!” Tetapi Raja Saul bertitah, “Tiada seorang pun yang akan dibunuh pada hari ini, kerana pada hari ini TUHAN telah menyelamatkan Israel.” Samuel berkata kepada mereka, “Marilah kita semua pergi ke Gilgal dan sekali lagi menabalkan Raja Saul sebagai raja kita.” Oleh itu mereka semua pergi ke Gilgal, dan di sana, di tempat ibadat itu mereka menabalkan Raja Saul sebagai raja. Mereka mempersembahkan korban untuk memohon berkat TUHAN, dan Raja Saul serta segenap umat Israel merayakan peristiwa itu.

1 SAMUEL 11:1-15 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Kemudian Nahas, orang Amon itu, bergerak maju dan berkhemah mengepung Yabesh-Gilead. Lalu berkatalah semua orang Yabesh itu kepada Nahas, “Ikatlah perjanjian dengan kami, maka kami akan takluk kepada tuan.” Tetapi Nahas, orang Amon itu, berkata kepada mereka, “Aku akan mengikat perjanjian dengan kamu dengan syarat bahawa setiap mata kananmu akan kucungkil; dengan demikian aku mengaibkan seluruh orang Israel.” Kata para tua-tua Yabesh kepadanya, “Berikanlah kelonggaran kepada kami selama tujuh hari untuk kami mengirim utusan ke seluruh daerah Israel. Sekiranya tiada seorang pun yang menyelamatkan kami, maka kami akan keluar menyerahkan diri kepada tuan.” Ketika para utusan sampai di Gibea, kota Saul, mereka menyampaikan hal itu kepada bangsa itu, dan menangislah seluruh umat itu dengan suara yang nyaring. Pada ketika itu Saul baru sahaja datang dari ladang. Dia berjalan di belakang kawanan lembunya. Lalu tanya Saul, “Apakah yang terjadi kepada orang ramai ini? Mengapakah mereka menangis?” Mereka pun menceritakan kepadanya perkara yang dikhabarkan oleh umat Yabesh itu. Lalu Saul yang mendengar khabar itu dikuasai oleh Roh Allah dan amarahnya pun menyala-nyala dengan kuatnya. Maka dia mengambil sepasang lembu, lantas memotong-motong lembu itu, lalu mengirimkannya ke seluruh daerah Israel dengan perantaraan beberapa orang utusan. Katanya, “Sesiapa yang tidak maju mengikuti Saul dan Samuel, beginilah lembu-lembunya akan diperlakukan.” Rasa takut daripada TUHAN melanda bangsa itu sehingga mereka pun maju dengan serentak. Ketika Saul menghitung mereka di Bezek, ada tiga ratus ribu orang Israel dan tiga puluh ribu orang Yehuda. Mereka memberitahu para utusan yang datang, “Beginilah harus kamu katakan kepada orang Yabesh-Gilead, ‘Esok, pada waktu hari panas terik, kamu akan mendapat pertolongan.’ ” Lalu utusan-utusan itu pulang dan menyampaikan hal itu kepada orang Yabesh, sehingga mereka pun bersukacita. Maka kata penduduk Yabesh kepada Nahas, “Esok kami akan menyerahkan diri kepadamu. Perbuatlah terhadap kami apa-apa pun yang kamu pandang baik.” Keesokan harinya, Saul membahagikan rakyat kepada tiga pasukan. Mereka masuk ke tengah-tengah perkhemahan musuh pada waktu fajar menyingsing dan menyerang orang Amon sampai waktu hari panas terik. Tercerailah mana-mana orang Amon yang terselamat hinggakan tiada dua orang pun yang masih bersama-sama. Kemudian berkatalah umat itu kepada Samuel, “Siapakah yang dahulunya berkata, ‘Mana boleh Saul bertakhta terhadap kita?’ Serahkanlah mereka itu. Akan kami bunuh mereka.” Tetapi kata Saul, “Tiada seorang pun boleh dibunuh pada hari ini, kerana pada hari ini penyelamatan TUHAN telah dikurniakan kepada Israel.” Maka kata Samuel kepada bangsa itu, “Marilah kita pergi ke Gilgal dan membaharui jawatan raja di sana.” Lalu pergilah seluruh bangsa itu ke Gilgal. Di Gilgal itu, di hadapan TUHAN, mereka menobatkan Saul untuk menjadi raja, dan mempersembahkan korban kedamaian maka bersukacitalah Saul berserta semua orang Israel di sana.