1 SAMUEL 10:1-6
1 SAMUEL 10:1-6 Alkitab Berita Baik (BM)
Kemudian Samuel mengambil sebuah botol berisi minyak zaitun, lalu menuang minyak itu ke atas kepala Saul. Dia mencium Saul dan berkata, “TUHAN melantik kamu menjadi raja Israel, umat-Nya. Kamu akan memerintah umat-Nya dan melindungi mereka daripada semua musuh. Inilah buktinya bahawa TUHAN sudah melantik kamu sebagai raja umat-Nya: Selepas kamu meninggalkan saya hari ini, kamu akan berjumpa dengan dua orang lelaki dekat kubur Rahel di Zelzah, di wilayah Benyamin. Mereka akan berkata kepadamu begini, ‘Keldai-keldai yang kamu cari itu sudah dijumpai. Sekarang bapamu tidak lagi khuatir tentang keldai-keldai itu, tetapi terus-menerus bertanya apa yang harus dilakukannya untuk menjumpai kamu.” Samuel berkata lagi, “Dari situ, teruskanlah perjalananmu sehingga kamu sampai ke pokok tempat ibadat di Tabor. Di sana kamu akan bertemu dengan tiga orang lelaki yang sedang pergi ke Betel untuk mempersembahkan korban kepada Allah. Seorang daripada mereka menggiring tiga ekor anak kambing, seorang lagi membawa tiga ketul roti, dan seorang lagi membawa kirbat kulit yang penuh dengan wain. Mereka akan memberikan salam kepadamu dan memberi kamu dua ketul roti yang harus kamu terima. Selepas itu pergilah ke bukit Allah di Gibea. Di sana ada perkhemahan orang Filistin. Di pintu masuk kota, kamu akan berjumpa dengan sekumpulan orang nabi yang turun dari bukit, tempat mazbah itu. Mereka bermain gambus, rebana, seruling, dan kecapi. Mereka menari-nari dan berteriak-teriak. Pada saat itu juga Roh TUHAN akan menguasai kamu, dan kamu akan diberikan sifat baru, lalu kamu akan mengikut mereka menari-nari dan berteriak-teriak.
1 SAMUEL 10:1-6 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Lalu Samuel mengambil kendi berisi minyak zaitun lantas menuangnya ke atas kepala Saul lalu menciumnya sambil berkata, “Bukankah TUHAN telah melantik engkau untuk menjadi raja atas umat-Nya Israel? Engkau akan memegang tampuk pemerintahan atas umat TUHAN, dan engkau akan menyelamatkan mereka daripada tangan para musuh yang ada di sekitar. Inilah tanda bagimu, bahawa TUHAN telah menobatkan engkau untuk menjadi raja atas pusaka milik-Nya sendiri. Apabila engkau pergi meninggalkan aku pada hari ini, engkau akan bertemu dengan dua orang lelaki berdekatan dengan makam Rahel di daerah Benyamin, di Zelzah. Mereka akan berkata kepadamu, ‘Keldai yang kaucari itu sudah ditemukan. Kini ayahmu sudah tidak peduli lagi kepada keldai-keldai itu, tetapi dia berasa risau tentang keadaan sekalian. Katanya, “Apakah yang harus kuperbuat demi anakku?” ’ Dari sana engkau akan berjalan terus lagi dan sampai ke pokok oak di Tabor, maka di sana engkau akan ditemui oleh tiga orang lelaki yang naik menghadap Allah di Betel; seorang membawa tiga ekor anak kambing, seorang membawa tiga ketul roti dan yang ketiga membawa sekantung kulit berisi air anggur. Mereka akan menyapa engkau lalu memberikan kepadamu dua ketul roti. Terimalah itu daripada tangan mereka. Setelah itu, engkau akan tiba di bukit Allah di Gibea, tempat barisan tentera orang Filistin. Sebaik sahaja engkau memasuki kota itu, engkau akan bertemu dengan serombongan nabi di sana yang sedang turun dari bukit pemujaan dengan membawa gambus, rebana, seruling, dan kecapi di depan mereka. Mereka akan bernubuat. Lalu Roh TUHAN akan mendatangi kamu dengan penuh kuasa sehingga engkau akan bernubuat seperti nabi bersama-sama para nabi itu, dan engkau akan berubah menjadi seorang yang lain.