1 SAMUEL 10:1-27

1 SAMUEL 10:1-27 Alkitab Berita Baik (BM)

Kemudian Samuel mengambil sebuah botol berisi minyak zaitun, lalu menuang minyak itu ke atas kepala Saul. Dia mencium Saul dan berkata, “TUHAN melantik kamu menjadi raja Israel, umat-Nya. Kamu akan memerintah umat-Nya dan melindungi mereka daripada semua musuh. Inilah buktinya bahawa TUHAN sudah melantik kamu sebagai raja umat-Nya: Selepas kamu meninggalkan saya hari ini, kamu akan berjumpa dengan dua orang lelaki dekat kubur Rahel di Zelzah, di wilayah Benyamin. Mereka akan berkata kepadamu begini, ‘Keldai-keldai yang kamu cari itu sudah dijumpai. Sekarang bapamu tidak lagi khuatir tentang keldai-keldai itu, tetapi terus-menerus bertanya apa yang harus dilakukannya untuk menjumpai kamu.” Samuel berkata lagi, “Dari situ, teruskanlah perjalananmu sehingga kamu sampai ke pokok tempat ibadat di Tabor. Di sana kamu akan bertemu dengan tiga orang lelaki yang sedang pergi ke Betel untuk mempersembahkan korban kepada Allah. Seorang daripada mereka menggiring tiga ekor anak kambing, seorang lagi membawa tiga ketul roti, dan seorang lagi membawa kirbat kulit yang penuh dengan wain. Mereka akan memberikan salam kepadamu dan memberi kamu dua ketul roti yang harus kamu terima. Selepas itu pergilah ke bukit Allah di Gibea. Di sana ada perkhemahan orang Filistin. Di pintu masuk kota, kamu akan berjumpa dengan sekumpulan orang nabi yang turun dari bukit, tempat mazbah itu. Mereka bermain gambus, rebana, seruling, dan kecapi. Mereka menari-nari dan berteriak-teriak. Pada saat itu juga Roh TUHAN akan menguasai kamu, dan kamu akan diberikan sifat baru, lalu kamu akan mengikut mereka menari-nari dan berteriak-teriak. Apabila hal itu terjadi, buatlah apa saja yang kamu rasa baik, kerana Allah menyertaimu. Selepas itu kamu harus pergi ke Gilgal lebih awal daripada saya, dan tunggu di sana selama tujuh hari. Kemudian saya akan datang untuk mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati TUHAN, dan korban untuk memohon berkat TUHAN, serta memberitahu kamu apa yang harus kamu lakukan.” Sebaik sahaja Samuel meninggalkan Saul, Allah memberi Saul sifat yang baru. Segala perkara yang diberitahukan Samuel kepadanya berlaku pada hari itu juga. Ketika Saul dan hambanya tiba di Gibea, Saul ditemui oleh sekumpulan orang nabi. Pada saat itu juga Roh Allah menguasai Saul, lalu dia mengikut nabi-nabi itu menari dan berteriak. Orang yang mengenal Saul sejak dahulu, melihat kelakuannya lalu bertanya satu sama lain, “Apakah yang sudah terjadi kepada anak Kish itu? Adakah Saul juga menjadi seorang nabi?” Kemudian seorang yang tinggal di situ bertanya, “Bagaimana dengan nabi-nabi yang lain itu - pada fikiran kamu siapakah bapa mereka?” Itulah asal mulanya pepatah ini, “Adakah Saul juga menjadi seorang nabi?” Setelah Saul menari-nari dan berteriak-teriak, dia pergi ke mazbah di atas bukit. Bapa saudara Saul nampak Saul dan hambanya, lalu bertanya kepada mereka, “Dari manakah kamu?” “Kami pergi mencari keldai yang hilang,” jawab Saul. “Tetapi apabila kami tidak dapat mencarinya, kami pergi berjumpa dengan Samuel.” “Apa kata Samuel?” tanya bapa saudaranya. “Katanya, keldai-keldai itu sudah ditemui,” jawab Saul. Tetapi Saul tidak memberitahu bapa saudaranya bahawa Samuel sudah melantik Saul menjadi raja. Kemudian Samuel memanggil umat Israel berkumpul di hadapan TUHAN di Mizpa. Dia berkata kepada mereka, “Demikianlah firman TUHAN, Allah Israel, ‘Aku sudah membawa kamu keluar dari Mesir, dan membebaskan kamu daripada bangsa itu dan bangsa-bangsa lain yang menindas kamu. Akulah Allah kamu yang melepaskan kamu daripada segala kesengsaraan dan penderitaan. Tetapi sekarang kamu telah menolak Aku, Allah kamu, kerana kamu minta Aku melantik seorang raja bagi kamu. Baiklah, berkumpullah di hadapan-Ku, TUHAN kamu, suku demi suku dan puak demi puak.’ ” Kemudian Samuel menyuruh tiap-tiap suku maju ke depan, lalu suku Benyamin yang terpilih. Samuel menyuruh semua keluarga Benyamin maju, lalu keluarga Matri yang terpilih. Apabila anggota keluarga Matri menghadap seorang demi seorang, Saul anak Kish yang terpilih. Mereka mencari Saul tetapi dia tidak ada di sana. Oleh itu mereka bertanya kepada TUHAN, “Ya TUHAN, adakah orang itu sudah di sini?” TUHAN menjawab, “Saul bersembunyi di belakang barang-barang.” Oleh itu mereka berlari dan membawa Saul ke tengah-tengah rakyat. Apabila Saul berdiri di tengah-tengah rakyat, mereka nampak bahawa dialah yang paling tinggi; orang lain hanya sampai bahunya. Kemudian Samuel berkata kepada rakyat, “Inilah orang yang dipilih oleh TUHAN. Tiada seorang pun di kalangan kita yang sama dengan dia.” Segenap umat itu bersorak, “Daulat tuanku!” Kemudian Samuel menjelaskan tentang hak dan kewajipan raja, lalu menulisnya di dalam sebuah buku. Dia menyimpan buku itu di suatu tempat yang suci. Kemudian Samuel menyuruh umat itu pulang ke rumah masing-masing. Raja Saul juga pulang ke rumahnya di Gibea, diiringi oleh beberapa orang yang gagah perkasa. TUHAN sudah menggerakkan hati mereka untuk mengiringi Raja Saul. Tetapi ada beberapa orang jahat yang berkata, “Mana mungkin orang ini akan berguna bagi kita?” Mereka menghina Raja Saul dan tidak memberikan hadiah kepadanya, tetapi Raja Saul berpura-pura tidak tahu.

1 SAMUEL 10:1-27 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Lalu Samuel mengambil kendi berisi minyak zaitun lantas menuangnya ke atas kepala Saul lalu menciumnya sambil berkata, “Bukankah TUHAN telah melantik engkau untuk menjadi raja atas umat-Nya Israel? Engkau akan memegang tampuk pemerintahan atas umat TUHAN, dan engkau akan menyelamatkan mereka daripada tangan para musuh yang ada di sekitar. Inilah tanda bagimu, bahawa TUHAN telah menobatkan engkau untuk menjadi raja atas pusaka milik-Nya sendiri. Apabila engkau pergi meninggalkan aku pada hari ini, engkau akan bertemu dengan dua orang lelaki berdekatan dengan makam Rahel di daerah Benyamin, di Zelzah. Mereka akan berkata kepadamu, ‘Keldai yang kaucari itu sudah ditemukan. Kini ayahmu sudah tidak peduli lagi kepada keldai-keldai itu, tetapi dia berasa risau tentang keadaan sekalian. Katanya, “Apakah yang harus kuperbuat demi anakku?” ’ Dari sana engkau akan berjalan terus lagi dan sampai ke pokok oak di Tabor, maka di sana engkau akan ditemui oleh tiga orang lelaki yang naik menghadap Allah di Betel; seorang membawa tiga ekor anak kambing, seorang membawa tiga ketul roti dan yang ketiga membawa sekantung kulit berisi air anggur. Mereka akan menyapa engkau lalu memberikan kepadamu dua ketul roti. Terimalah itu daripada tangan mereka. Setelah itu, engkau akan tiba di bukit Allah di Gibea, tempat barisan tentera orang Filistin. Sebaik sahaja engkau memasuki kota itu, engkau akan bertemu dengan serombongan nabi di sana yang sedang turun dari bukit pemujaan dengan membawa gambus, rebana, seruling, dan kecapi di depan mereka. Mereka akan bernubuat. Lalu Roh TUHAN akan mendatangi kamu dengan penuh kuasa sehingga engkau akan bernubuat seperti nabi bersama-sama para nabi itu, dan engkau akan berubah menjadi seorang yang lain. Apabila engkau dapati tanda-tanda itu terjadi, lakukanlah apa-apa pun yang dilakukan oleh tanganmu kerana Allah menyertai engkau. Kemudian engkau harus pergi ke Gilgal mendahului aku. Ingat, aku akan turun mendapatkan engkau untuk mempersembahkan segala korban bakaran serta korban kedamaian. Hendaklah engkau menunggu selama tujuh hari sehingga aku datang kepadamu dan memberitahumu apa yang harus kaulakukan.” Apabila dia berpaling untuk pergi meninggalkan Samuel, Allah memberinya hati yang baru. Lalu terjadilah semua tanda itu pada hari itu juga. Ketika mereka sampai di Gibea, tampaklah serombongan nabi menuju ke arahnya. Kemudian Roh Allah turun ke atasnya dengan penuh kuasa sehingga dia juga bernubuat seperti para nabi dalam kalangan umat itu. Apabila semua orang yang mengenalnya sejak dahulu melihat bahawa dia bernubuat seperti nabi bersama-sama para nabi itu, berkatalah mereka satu sama lain, “Apakah yang terjadi dengan anak Kish ini? Adakah Saul juga termasuk golongan nabi?” Seorang yang tinggal di sana berkata, “Jadi siapakah bapa mereka?” Oleh sebab itu muncul suatu pepatah, “Adakah Saul juga termasuk dalam golongan nabi?” Sesudah bernubuat itu pergilah Saul ke bukit pemujaan. Lalu bapa saudaranya bertanya kepada Saul dan pembantunya, “Ke manakah kamu pergi?” Jawabnya, “Mencari keldai-keldai itu. Kerana kami tidak juga menemuinya maka kami pun pergi kepada Samuel.” Kata bapa saudara Saul, “Ceritakanlah kepadaku, apa yang dikatakan Samuel kepada kamu.” Kata Saul kepada bapa saudaranya, “Dia memberitahukan dengan jelas kepada kami bahawa keldai-keldai itu telah ditemukan.” Akan tetapi, soal kerajaan yang disampaikan oleh Samuel kepadanya itu tidak diberitahunya kepada bapa saudaranya. Samuel memanggil bangsa itu berkumpul menghadap TUHAN di Mizpa. Katanya kepada orang Israel, “Beginilah firman TUHAN, Allah Israel, ‘Aku telah memimpin orang Israel keluar dari Mesir. Aku telah melepaskan kamu daripada penindasan orang Mesir dan daripada tangan semua kerajaan yang menindas kamu.’ Akan tetapi, pada hari ini kamu menolak Allahmu yang menyelamatkan kamu daripada segala kemalangan dan kesesakanmu. Kamu berkata kepada-Nya, ‘Tidak, angkatlah seorang raja atas kami.’ Maka sekarang, berdirilah di hadapan TUHAN menurut para sukumu dan menurut kaum-kaummu.” Samuel menyuruh semua suku Israel menghadap, lalu terpilihlah suku Benyamin. Kemudian dia menyuruh suku Benyamin menghadap menurut kaum-kaumnya, lalu terpilihlah kaum Matri dan akhirnya terpilihlah Saul anak Kish. Tetapi ketika mereka mencarinya, Saul tidak ditemui. Maka mereka pun meminta petunjuk TUHAN lagi, “Adakah orang itu sudah datang ke mari?” Jawab TUHAN, “Lihat, dia menyembunyikan diri di antara barang itu.” Maka berlarilah mereka menjemput dia dari sana. Ketika dia berdiri antara umat itu, dia lebih tinggi daripada semua orang antara umat itu dari bahu ke atas. Kata Samuel kepada seluruh bangsa itu, “Lihatlah orang yang dipilih TUHAN! Tidak ada yang sepertinya antara seluruh bangsa ini.” Lalu bersoraklah seluruh bangsa itu, kata mereka, “Hidup sang raja!” Kemudian Samuel menyampaikan peraturan-peraturan perihal kerajaan kepada umat itu. Dia menulisnya pada sebuah kitab dan meletakkannya di hadapan TUHAN. Setelah itu, Samuel melepaskan seluruh umat itu pulang ke rumah masing-masing. Saul juga pulang ke rumahnya di Gibea disertai para warga yang gagah perkasa dan mempunyai hati yang telah digerakkan Allah. Tetapi beberapa orang yang jahat berkata, “Mana mungkin orang ini mampu menyelamatkan kita?” Mereka meremehkan Saul dan tidak mahu membawa persembahan kepadanya. Namun begitu, Saul berdiam diri sahaja.