1 SAMUEL 1:10-20

1 SAMUEL 1:9-20 Alkitab Berita Baik (BM)

Pada suatu hari, setelah mereka makan di rumah TUHAN di Silo, Hana bangkit dari tempat makan. Pada masa itu Imam Eli yang juga berada di rumah TUHAN, sedang duduk di kerusinya dekat pintu. Dengan sangat sedih, Hana berdoa kepada TUHAN sambil menangis tersedu-sedu. Kemudian Hana mengucapkan suatu janji, katanya, “Ya TUHAN Yang Maha Kuasa, perhatikanlah hamba-Mu ini. Lihatlah kesusahanku, dan ingatlah akan aku. Jangan lupakan aku. Jika Engkau memberikan seorang anak lelaki kepadaku, aku berjanji akan menyerahkan dia kepada-Mu seumur hidupnya. Rambutnya tidak akan dipotong.” Lama sekali Hana berdoa kepada TUHAN, dan selama itu Eli memperhatikan mulut Hana. Hana berdoa dengan senyap; oleh itu hanya bibirnya yang bergerak tetapi suaranya tidak kedengaran. Itulah sebabnya dia disangka mabuk oleh Eli. Kemudian Eli berkata kepadanya, “Jangan mabuk di sini! Jangan minum wain lagi!” Hana menjawab, “Tuan, saya tidak mabuk. Saya tidak minum wain. Saya putus asa, dan saya sedang berdoa untuk meluahkan isi hati kepada TUHAN. Tolong jangan anggap saya sebagai perempuan hina. Saya berdoa seperti ini kerana saya sangat sedih.” Kemudian Eli berkata, “Jika begitu, pulanglah dengan sejahtera. Semoga Allah Israel mengabulkan permintaanmu.” “Semoga saya mendapat restu tuan,” kata Hana. Kemudian Hana pergi dari situ, lalu makan dan tidak sedih lagi. Pada keesokan hari, Elkana dan keluarganya bangun pagi-pagi. Setelah mereka beribadat kepada TUHAN, mereka pulang ke Rama. Elkana bersetubuh dengan isterinya Hana, dan TUHAN mengabulkan doa Hana. Hana mengandung lalu melahirkan seorang anak lelaki. Hana menamakan anak itu Samuel, kerana katanya, “Aku sudah memintanya daripada TUHAN.”

1 SAMUEL 1:10-20 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Dengan hati yang pedih, berdoalah Hana kepada TUHAN sambil menangis tersedu-sedu. Bernazarlah Hana, katanya, “Ya TUHAN alam semesta, jika sungguh-sungguh Engkau memperhatikan kesengsaraan hamba-Mu ini dan mengingatiku serta tidak melupakan hamba-Mu ini, tetapi memberi hamba-Mu ini seorang anak lelaki, maka hamba akan menyerahkan dia kepada TUHAN seumur hidupnya dan pisau cukur tidak akan menyentuh kepalanya.” Ketika perempuan itu terus-menerus berdoa di hadapan TUHAN, Eli mengamat-amati mulut perempuan itu. Hana berkata-kata dalam hatinya dan hanya bibirnya sahaja bergerak-gerak, tetapi suaranya tidak kedengaran, maka Eli menyangka perempuan itu mabuk. Lalu kata Eli kepadanya, “Berapa lama lagi engkau akan mabuk? Lepaskanlah dirimu daripada mabukmu!” Tetapi Hana menjawab, “Tidak, tuanku, hamba seorang perempuan yang sedang bersusah hati. Hamba tidak minum baik air anggur mahupun minuman keras, tetapi hamba baru sahaja mencurahkan isi hati hamba di hadapan TUHAN. Janganlah anggap hambamu ini seorang perempuan yang nista. Atas sebab begitu besarnya keluh-kesah dan sakit hati hamba, maka hamba berdoa seperti ini sejak tadi.” Jawab Eli, “Pulanglah dengan sejahtera. Semoga Allah Israel mengabulkan permintaan yang kausampaikan kepada-Nya itu.” Kata Hana, “Semoga hambamu ini mendapat belas kasihan tuan.” Kemudian pulanglah perempuan itu lalu dia makan dan mukanya tidak muram lagi. Keesokan harinya, bangunlah mereka pagi-pagi lalu beribadat di hadapan TUHAN. Setelah itu, mereka pulang dan tiba di rumah mereka di Rama. Ketika Elkana meniduri Hana, isterinya, TUHAN mengingati perempuan itu. Seiring berlalunya masa, Hana mengandung lalu melahirkan seorang anak lelaki yang dinamainya Samuel. Katanya, “Kerana aku telah memintanya daripada TUHAN.”