1 SAMUEL 1:1-28

1 SAMUEL 1:1-28 Alkitab Berita Baik (BM)

Ada seorang lelaki bernama Elkana. Dia daripada suku Efraim yang tinggal di kota Rama, di kawasan perbukitan Efraim. Elkana ialah anak Yeroham dan cucu Elihu. Elkana daripada keluarga Tohu, salah satu keluarga daripada puak Zuf. Elkana mempunyai dua orang isteri, Hana dan Penina. Penina mempunyai anak tetapi Hana tidak. Tiap-tiap tahun Elkana berangkat dari Rama dan pergi ke Silo untuk beribadat dan mempersembahkan korban kepada TUHAN Yang Maha Kuasa. Di Silo, Hofni dan Pinehas, iaitu anak-anak Eli, menjadi imam-imam TUHAN. Tiap-tiap kali Elkana mempersembahkan korban, dia memberikan satu bahagian daging korban itu kepada Penina dan satu bahagian kepada setiap anaknya. Walaupun Elkana sangat mencintai Hana, Elkana memberi dia satu bahagian daging sahaja, kerana TUHAN tidak memberikan anak kepadanya. Hana selalu disakiti hati dan dihina oleh Penina, madunya itu, kerana TUHAN tidak memberikan anak kepada Hana. Perkara itu berlangsung selama bertahun-tahun. Setiap kali mereka pergi ke rumah TUHAN, Penina selalu menyakiti hati Hana sehingga Hana menangis dan tidak mahu makan apa-apa. Setiap kali pula suaminya Elkana akan bertanya kepadanya, “Hana, mengapa menangis? Mengapa tidak mahu makan? Mengapa selalu bersedih? Bukankah aku lebih berharga bagimu daripada sepuluh orang anak lelaki?” Pada suatu hari, setelah mereka makan di rumah TUHAN di Silo, Hana bangkit dari tempat makan. Pada masa itu Imam Eli yang juga berada di rumah TUHAN, sedang duduk di kerusinya dekat pintu. Dengan sangat sedih, Hana berdoa kepada TUHAN sambil menangis tersedu-sedu. Kemudian Hana mengucapkan suatu janji, katanya, “Ya TUHAN Yang Maha Kuasa, perhatikanlah hamba-Mu ini. Lihatlah kesusahanku, dan ingatlah akan aku. Jangan lupakan aku. Jika Engkau memberikan seorang anak lelaki kepadaku, aku berjanji akan menyerahkan dia kepada-Mu seumur hidupnya. Rambutnya tidak akan dipotong.” Lama sekali Hana berdoa kepada TUHAN, dan selama itu Eli memperhatikan mulut Hana. Hana berdoa dengan senyap; oleh itu hanya bibirnya yang bergerak tetapi suaranya tidak kedengaran. Itulah sebabnya dia disangka mabuk oleh Eli. Kemudian Eli berkata kepadanya, “Jangan mabuk di sini! Jangan minum wain lagi!” Hana menjawab, “Tuan, saya tidak mabuk. Saya tidak minum wain. Saya putus asa, dan saya sedang berdoa untuk meluahkan isi hati kepada TUHAN. Tolong jangan anggap saya sebagai perempuan hina. Saya berdoa seperti ini kerana saya sangat sedih.” Kemudian Eli berkata, “Jika begitu, pulanglah dengan sejahtera. Semoga Allah Israel mengabulkan permintaanmu.” “Semoga saya mendapat restu tuan,” kata Hana. Kemudian Hana pergi dari situ, lalu makan dan tidak sedih lagi. Pada keesokan hari, Elkana dan keluarganya bangun pagi-pagi. Setelah mereka beribadat kepada TUHAN, mereka pulang ke Rama. Elkana bersetubuh dengan isterinya Hana, dan TUHAN mengabulkan doa Hana. Hana mengandung lalu melahirkan seorang anak lelaki. Hana menamakan anak itu Samuel, kerana katanya, “Aku sudah memintanya daripada TUHAN.” Kemudian tibalah masanya bagi Elkana dan keluarganya pergi ke Silo lagi untuk mempersembahkan korban tahunan kepada TUHAN. Selain itu Elkana sudah berjanji untuk mempersembahkan suatu korban khas. Tetapi kali ini Hana tidak ikut. Dia berkata kepada suaminya, “Sebaik saja Samuel bercerai susu, aku akan membawa dia ke rumah TUHAN, dan dia akan tinggal di situ seumur hidupnya.” Elkana berkata, “Baiklah, lakukanlah apa yang engkau pandang baik. Tinggallah di rumah sampai anak kita bercerai susu. Semoga TUHAN membuat janjimu menjadi kenyataan.” Maka Hana tinggal di rumah sehingga anaknya itu bercerai susu. Setelah anak itu bercerai susu, Hana membawa dia ke rumah TUHAN di Silo. Pada masa itu Samuel masih sangat kecil. Hana juga membawa seekor lembu jantan yang berumur tiga tahun, sepuluh kilogram tepung gandum, dan satu kirbat wain. Setelah mereka menyembelih lembu itu, mereka menghantar Samuel kepada Eli. Hana berkata kepada Eli, “Tuan, masih ingatkah tuan akan saya? Sayalah perempuan yang tuan nampak berdiri di sini dahulu, yang berdoa kepada TUHAN. Saya minta anak ini daripada TUHAN, dan Dia sudah mengabulkan permintaan saya. Oleh itu saya menyerahkan anak ini kepada TUHAN. Anak ini akan menjadi milik TUHAN seumur hidupnya.” Selepas itu mereka beribadat kepada TUHAN di situ.

1 SAMUEL 1:1-28 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Ada seorang lelaki suku Efraim bernama Elkana anak Yeroham anak Elihu anak Tohu anak Zuf dari Ramataim-Zofim di pergunungan Efraim. Dia beristeri dua, seorang bernama Hana dan yang seorang lagi bernama Penina. Penina mempunyai anak, tetapi Hana tidak. Setiap tahun lelaki itu pergi dari kotanya untuk beribadat dan mempersembahkan korban di hadapan TUHAN alam semesta di Silo. Kedua-dua orang anak Eli, iaitu Hofni dan Pinehas, ialah imam TUHAN di sana. Pada hari Elkana mempersembahkan korban, dia memberikan bahagian-bahagian korban itu kepada Penina, isterinya, serta kepada semua anaknya baik lelaki mahupun perempuan. Dia memberikan bahagian dua kali ganda kepada Hana kerana dia mengasihinya meskipun TUHAN menutup rahim isterinya itu. Hana sering disakiti dan dihina oleh madunya, Penina, kerana TUHAN menutup rahim Hana. Demikianlah keadaan itu berlangsung tahun demi tahun. Setiap kali Hana pergi ke Bait TUHAN, madunya menyakiti hatinya sehingga dia menangis dan tidak mahu makan. Elkana, suaminya, berkata kepadanya, “Hana, mengapakah engkau menangis? Mengapakah engkau tidak mahu makan? Mengapakah engkau susah hati? Bukankah aku lebih berharga bagimu daripada sepuluh orang anak lelaki?” Ada sekali, setelah mereka selesai makan dan minum di Silo, Hana pun berdiri. Pada ketika itu Imam Eli sedang duduk di sebuah kerusi berdekatan dengan ambang pintu Bait Suci TUHAN. Dengan hati yang pedih, berdoalah Hana kepada TUHAN sambil menangis tersedu-sedu. Bernazarlah Hana, katanya, “Ya TUHAN alam semesta, jika sungguh-sungguh Engkau memperhatikan kesengsaraan hamba-Mu ini dan mengingatiku serta tidak melupakan hamba-Mu ini, tetapi memberi hamba-Mu ini seorang anak lelaki, maka hamba akan menyerahkan dia kepada TUHAN seumur hidupnya dan pisau cukur tidak akan menyentuh kepalanya.” Ketika perempuan itu terus-menerus berdoa di hadapan TUHAN, Eli mengamat-amati mulut perempuan itu. Hana berkata-kata dalam hatinya dan hanya bibirnya sahaja bergerak-gerak, tetapi suaranya tidak kedengaran, maka Eli menyangka perempuan itu mabuk. Lalu kata Eli kepadanya, “Berapa lama lagi engkau akan mabuk? Lepaskanlah dirimu daripada mabukmu!” Tetapi Hana menjawab, “Tidak, tuanku, hamba seorang perempuan yang sedang bersusah hati. Hamba tidak minum baik air anggur mahupun minuman keras, tetapi hamba baru sahaja mencurahkan isi hati hamba di hadapan TUHAN. Janganlah anggap hambamu ini seorang perempuan yang nista. Atas sebab begitu besarnya keluh-kesah dan sakit hati hamba, maka hamba berdoa seperti ini sejak tadi.” Jawab Eli, “Pulanglah dengan sejahtera. Semoga Allah Israel mengabulkan permintaan yang kausampaikan kepada-Nya itu.” Kata Hana, “Semoga hambamu ini mendapat belas kasihan tuan.” Kemudian pulanglah perempuan itu lalu dia makan dan mukanya tidak muram lagi. Keesokan harinya, bangunlah mereka pagi-pagi lalu beribadat di hadapan TUHAN. Setelah itu, mereka pulang dan tiba di rumah mereka di Rama. Ketika Elkana meniduri Hana, isterinya, TUHAN mengingati perempuan itu. Seiring berlalunya masa, Hana mengandung lalu melahirkan seorang anak lelaki yang dinamainya Samuel. Katanya, “Kerana aku telah memintanya daripada TUHAN.” Pada waktu Elkana, lelaki itu, pergi lagi dengan seluruh keluarganya untuk mempersembahkan di hadapan TUHAN korban sembelihan tahunan dan korban nazarnya, Hana tidak ikut pergi. Katanya kepada suaminya, “Setelah anak ini sudah bercerai susu barulah aku akan membawanya, supaya dia menghadap hadirat TUHAN dan tinggal di sana untuk sepanjang hayatnya.” Elkana, suaminya, berkata kepadanya, “Lakukanlah apa yang kaupandang baik. Tinggallah sampai engkau menceraikan susunya. Semoga TUHAN melaksanakan firman-Nya.” Maka Hana tinggal di rumah dan menyusui anaknya sampai anak itu bercerai susu. Setelah anak itu bercerai susu, dia pun membawa dan menghantar anak itu ke Bait TUHAN di Silo. Dia juga membawa bersama-samanya seekor lembu berumur tiga tahun, satu efa tepung, dan sekantung kulit air anggur. Pada waktu itu anak itu masih kecil. Lembu jantan itu disembelih, lalu anak itu dibawa kepada Eli. Kata perempuan itu, “Ya tuanku, demi hidup tuan, hambalah perempuan yang dahulu berdiri di sini dekat tuan sambil berdoa kepada TUHAN. Untuk mendapat anak inilah hamba berdoa, dan TUHAN telah mengabulkan permintaan yang hamba sampaikan kepada-Nya. Oleh sebab itu hamba menyerahkan anak ini kepada TUHAN. Hidup sepanjang hayatnya terserah kepada TUHAN.” Anak itu pun beribadat kepada TUHAN di sana.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami