1 SAMUEL 1:1-18

1 SAMUEL 1:1-18 Alkitab Berita Baik (BM)

Ada seorang lelaki bernama Elkana. Dia daripada suku Efraim yang tinggal di kota Rama, di kawasan perbukitan Efraim. Elkana ialah anak Yeroham dan cucu Elihu. Elkana daripada keluarga Tohu, salah satu keluarga daripada puak Zuf. Elkana mempunyai dua orang isteri, Hana dan Penina. Penina mempunyai anak tetapi Hana tidak. Tiap-tiap tahun Elkana berangkat dari Rama dan pergi ke Silo untuk beribadat dan mempersembahkan korban kepada TUHAN Yang Maha Kuasa. Di Silo, Hofni dan Pinehas, iaitu anak-anak Eli, menjadi imam-imam TUHAN. Tiap-tiap kali Elkana mempersembahkan korban, dia memberikan satu bahagian daging korban itu kepada Penina dan satu bahagian kepada setiap anaknya. Walaupun Elkana sangat mencintai Hana, Elkana memberi dia satu bahagian daging sahaja, kerana TUHAN tidak memberikan anak kepadanya. Hana selalu disakiti hati dan dihina oleh Penina, madunya itu, kerana TUHAN tidak memberikan anak kepada Hana. Perkara itu berlangsung selama bertahun-tahun. Setiap kali mereka pergi ke rumah TUHAN, Penina selalu menyakiti hati Hana sehingga Hana menangis dan tidak mahu makan apa-apa. Setiap kali pula suaminya Elkana akan bertanya kepadanya, “Hana, mengapa menangis? Mengapa tidak mahu makan? Mengapa selalu bersedih? Bukankah aku lebih berharga bagimu daripada sepuluh orang anak lelaki?” Pada suatu hari, setelah mereka makan di rumah TUHAN di Silo, Hana bangkit dari tempat makan. Pada masa itu Imam Eli yang juga berada di rumah TUHAN, sedang duduk di kerusinya dekat pintu. Dengan sangat sedih, Hana berdoa kepada TUHAN sambil menangis tersedu-sedu. Kemudian Hana mengucapkan suatu janji, katanya, “Ya TUHAN Yang Maha Kuasa, perhatikanlah hamba-Mu ini. Lihatlah kesusahanku, dan ingatlah akan aku. Jangan lupakan aku. Jika Engkau memberikan seorang anak lelaki kepadaku, aku berjanji akan menyerahkan dia kepada-Mu seumur hidupnya. Rambutnya tidak akan dipotong.” Lama sekali Hana berdoa kepada TUHAN, dan selama itu Eli memperhatikan mulut Hana. Hana berdoa dengan senyap; oleh itu hanya bibirnya yang bergerak tetapi suaranya tidak kedengaran. Itulah sebabnya dia disangka mabuk oleh Eli. Kemudian Eli berkata kepadanya, “Jangan mabuk di sini! Jangan minum wain lagi!” Hana menjawab, “Tuan, saya tidak mabuk. Saya tidak minum wain. Saya putus asa, dan saya sedang berdoa untuk meluahkan isi hati kepada TUHAN. Tolong jangan anggap saya sebagai perempuan hina. Saya berdoa seperti ini kerana saya sangat sedih.” Kemudian Eli berkata, “Jika begitu, pulanglah dengan sejahtera. Semoga Allah Israel mengabulkan permintaanmu.” “Semoga saya mendapat restu tuan,” kata Hana. Kemudian Hana pergi dari situ, lalu makan dan tidak sedih lagi.

1 SAMUEL 1:1-18 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Ada seorang lelaki suku Efraim bernama Elkana anak Yeroham anak Elihu anak Tohu anak Zuf dari Ramataim-Zofim di pergunungan Efraim. Dia beristeri dua, seorang bernama Hana dan yang seorang lagi bernama Penina. Penina mempunyai anak, tetapi Hana tidak. Setiap tahun lelaki itu pergi dari kotanya untuk beribadat dan mempersembahkan korban di hadapan TUHAN alam semesta di Silo. Kedua-dua orang anak Eli, iaitu Hofni dan Pinehas, ialah imam TUHAN di sana. Pada hari Elkana mempersembahkan korban, dia memberikan bahagian-bahagian korban itu kepada Penina, isterinya, serta kepada semua anaknya baik lelaki mahupun perempuan. Dia memberikan bahagian dua kali ganda kepada Hana kerana dia mengasihinya meskipun TUHAN menutup rahim isterinya itu. Hana sering disakiti dan dihina oleh madunya, Penina, kerana TUHAN menutup rahim Hana. Demikianlah keadaan itu berlangsung tahun demi tahun. Setiap kali Hana pergi ke Bait TUHAN, madunya menyakiti hatinya sehingga dia menangis dan tidak mahu makan. Elkana, suaminya, berkata kepadanya, “Hana, mengapakah engkau menangis? Mengapakah engkau tidak mahu makan? Mengapakah engkau susah hati? Bukankah aku lebih berharga bagimu daripada sepuluh orang anak lelaki?” Ada sekali, setelah mereka selesai makan dan minum di Silo, Hana pun berdiri. Pada ketika itu Imam Eli sedang duduk di sebuah kerusi berdekatan dengan ambang pintu Bait Suci TUHAN. Dengan hati yang pedih, berdoalah Hana kepada TUHAN sambil menangis tersedu-sedu. Bernazarlah Hana, katanya, “Ya TUHAN alam semesta, jika sungguh-sungguh Engkau memperhatikan kesengsaraan hamba-Mu ini dan mengingatiku serta tidak melupakan hamba-Mu ini, tetapi memberi hamba-Mu ini seorang anak lelaki, maka hamba akan menyerahkan dia kepada TUHAN seumur hidupnya dan pisau cukur tidak akan menyentuh kepalanya.” Ketika perempuan itu terus-menerus berdoa di hadapan TUHAN, Eli mengamat-amati mulut perempuan itu. Hana berkata-kata dalam hatinya dan hanya bibirnya sahaja bergerak-gerak, tetapi suaranya tidak kedengaran, maka Eli menyangka perempuan itu mabuk. Lalu kata Eli kepadanya, “Berapa lama lagi engkau akan mabuk? Lepaskanlah dirimu daripada mabukmu!” Tetapi Hana menjawab, “Tidak, tuanku, hamba seorang perempuan yang sedang bersusah hati. Hamba tidak minum baik air anggur mahupun minuman keras, tetapi hamba baru sahaja mencurahkan isi hati hamba di hadapan TUHAN. Janganlah anggap hambamu ini seorang perempuan yang nista. Atas sebab begitu besarnya keluh-kesah dan sakit hati hamba, maka hamba berdoa seperti ini sejak tadi.” Jawab Eli, “Pulanglah dengan sejahtera. Semoga Allah Israel mengabulkan permintaan yang kausampaikan kepada-Nya itu.” Kata Hana, “Semoga hambamu ini mendapat belas kasihan tuan.” Kemudian pulanglah perempuan itu lalu dia makan dan mukanya tidak muram lagi.