1 PETRUS 4:7-19

1 PETRUS 4:7-19 Alkitab Berita Baik (BM)

Tidak lama lagi segala sesuatu akan berakhir. Oleh itu, kamu harus mengawal diri dan berwaspada, supaya kamu dapat berdoa. Inilah perkara yang terpenting: Kamu harus saling mengasihi dengan sepenuh hati, kerana jika kamu saling mengasihi, kamu juga bersedia untuk saling mengampuni. Hendaklah kamu saling menyambut saudara seiman di rumah tanpa bersungut-sungut. Setiap orang daripada kamu sudah menerima kurnia yang berlainan daripada Allah. Oleh itu sebagai pengurus yang baik bagi kurnia Allah, kamu mesti menggunakan kurnia-kurnia itu untuk kepentingan semua orang. Sesiapa yang menyampaikan perkhabaran, harus menyampaikan perkhabaran daripada Allah. Sesiapa yang memberikan pertolongan kepada orang lain, harus melakukannya dengan kekuatan yang diberikan oleh Allah, supaya dalam segala hal Allah dimuliakan melalui Yesus Kristus. Kristuslah yang memiliki kemuliaan dan kekuasaan selama-lamanya. Amin. Sahabat-sahabat yang aku kasihi! Kamu sekarang menanggung penderitaan yang berat kerana kamu sedang diuji. Janganlah hairan dan janganlah anggap perkara itu luar biasa. Sebaliknya, bersyukurlah kerana kamu turut menanggung penderitaan bersama-sama Kristus. Dengan demikian kamu akan bersukacita, apabila kemuliaan Kristus dinyatakan kelak. Berbahagialah kamu jika kamu dihina kerana kamu pengikut Kristus. Hal ini bererti bahawa Roh yang mulia, iaitu Roh Allah ada pada kamu. Janganlah seorang pun antara kamu menanggung penderitaan kerana dia pembunuh, atau pencuri, atau penjahat, atau kerana dia mencampuri urusan orang lain. Tetapi jika kamu menanggung penderitaan oleh sebab kamu orang Kristian, janganlah malu kerananya. Bersyukurlah kepada Allah, kerana kamu pengikut Kristus. Tibalah saatnya Allah mengadili dunia. Mula-mula Dia akan mengadili umat-Nya sendiri. Jika kita yang mula-mula diadili, betapa dahsyatnya kesudahan orang yang tidak percaya kepada Berita Baik daripada Allah! Di dalam Alkitab tertulis, “Jika orang baik pun susah diselamatkan, apa yang akan berlaku kepada orang berdosa yang tidak mengenal Allah?” Oleh itu, orang yang menanggung penderitaan kerana hal itu kehendak Allah, harus berbuat baik dan berserah kepada Pencipta mereka, yang sentiasa menepati janji-Nya.

1 PETRUS 4:7-19 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

Tŭtapi kasudahan sagala pŭrkara itu tŭlah hampir, maka sŭbab itu sumanlah kamu, sŭata bŭrjaga jaga dŭngan mŭminta doa. Tŭrutama deripada skalian itu, handaklah kamu mŭnaroh kasih sangat diantara sama sŭndiri kamu, kŭrna kasih itu kŭlak akan mŭnudongi dosa yang banyak adanya. Maka handaklah kamu suka mŭmbri tumpangan chuma chuma sa’orang akan sa’orang dŭngan tiada bŭrsungot. Maka spŭrti masing masing orang tŭlah mŭnŭrima anugrah, maka dŭmkianlah kŭrjakan sa’orang akan sa’orang, spŭrti klakuan juru kunchi yang baik atas bŭrbagie bagie nihmat Allah. Maka jikalau barang sa’orang mŭngajar, handaklah iya mŭngajar spŭrti fŭrman Allah; jikalau sa’orang bŭrkhodmat, biarlah iya bŭrkhodmat spŭrti dŭngan kwasa yang dikurniakan Allah, supaya dalam sagala pŭrkara Allah itu dimuliakan dŭngan bŭrkat Isa Almasih, maka kapadanyalah puji dan kwasa kŭkal sampie slama lamanya: Amin. Kŭkasih, janganlah kamu sangka ajaib derihal annyaya yang bŭrapi itu akan mŭnchobai kamu, sa’olah olah barang pŭrkara hieran tŭlah datang ka’atas kamu. Mŭlainkan bŭrgŭmarlah, sŭbab kamu mŭnjadi orang yang mŭmpunyai bahgian dalam sŭngsara Almasih, supaya apabila kŭlak kamuliannya itu nyata, kamu pun bulihlah suka dŭngan sukachita yang amat sangat. Jikalau kiranya kamu dichŭlai deri kŭrna Almasih itu, slamatlah kamu; kŭrna Roh kamuliaan deripada Allah itu ada diatas kamu: maka sŭblah fihak marika itu Allah diumpatnya, tŭtapi sŭblah fihak kamu, Allah itu dimuliakannya. Maka janganlah ada barang sa’orang deripada kamu yang mŭrasai sŭngsara spŭrti sa’orang pŭmbunoh, atau sa’orang pŭnchuri, atau sa’orang bŭrbuat jahat, atau spŭrti sa’orang yang masok masok pŭkŭrjaan orang lain lain. Tŭtapi jikalau spŭrti orang Masihi, janganlah iya malu; mŭlainkan handaklah iya mŭmuliakan Allah sŭbab itu. Kŭrna kutika tŭlah hampirlah, iya itu hukum patut dimulai dirumah Allah; dan jikalau tŭrdahulu dimulainya pada kami, apakah kŭlak jadi kasudahannya pada sagala orang yang tiada mŭnurot Injil Allah? Maka jikalau kiranya orang yang bŭnar itu susah bŭrulih slamat, dimanakah kŭlak grangan orang fasik, dan orang bŭrdosa itu nanti timbol? Maka sŭbab itu biarlah kiranya orang yang mŭrasai sŭngsara itu dŭngan kahandak Allah, mŭnyŭrahkan jiwanya kapadanya dalam pŭkŭrjaan yang baik spŭrti kapada sa’orang Khalik yang sŭtiawan.

1 PETRUS 4:7-19 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Sudah hampir waktunya bagi segala-galanya berakhir. Oleh itu, berdoalah dengan bersungguh-sungguh dan berjaga-jaga. Paling utama, kasihilah satu sama lain kerana kasih akan menutup banyak dosa. Raikan satu sama lain tanpa bersungut. Setiap orang antaramu telah menerima pelbagai kurnia daripada Allah. Sebagai pengurus yang baik bagi kurnia Allah, gunakanlah kurnia itu untuk kebaikan semua. Jika sesiapa menyampaikan perkhabaran, sampaikanlah firman daripada Allah. Jika sesiapa memberi pertolongan, berilah dengan keupayaan yang dibekalkan oleh Allah. Dengan demikian, dalam semua hal Allah akan dimuliakan melalui Yesus Kristus yang memiliki kemuliaan dan kekuasaan selama-lamanya. Amin. Saudara-saudara yang kukasihi, janganlah hairan bahawa kamu diuji dengan penderitaan yang berat, jangan anggap perkara itu luar biasa. Sebaliknya, bergembiralah bahawa kamu turut mengalami penderitaan Kristus. Dengan demikian, apabila kemuliaan-Nya ternyata, kamu juga dapat berasa sukacita yang tidak terhingga. Sekiranya kamu dicela kerana menjadi pengikut dan mengambil nama Kristus, diberkatilah kamu kerana Roh yang mulia iaitu Roh Allah ada bersamamu. Namun demikian, janganlah seorang pun antara kamu menderita kerana kesalahan membunuh, mencuri, berbuat jahat atau mencampuri hal orang. Tetapi jika sesiapa menderita sebagai seorang Kristian, janganlah berasa malu, malah muliakanlah Allah kerananya. Sudah tiba masanya penghakiman dimulai, dan pertama-tama dihakimi ialah umat Allah sendiri. Jika penghakiman itu dimulai dengan kita, bagaimanakah kesudahannya orang yang tidak mentaati Injil daripada Allah? Dan, “Jika orang benar pun sukar diselamatkan, apa jadinya orang yang ingkar dan yang berdosa?” Oleh itu, mereka yang menderita menurut kehendak Allah hendaklah berbuat baik sambil berserah kepada Allah, Pencipta yang setia.

1 PETRUS 4:7-19

1 PETRUS 4:7-19 BM1 PETRUS 4:7-19 BM1 PETRUS 4:7-19 BM1 PETRUS 4:7-19 BM