1 PETRUS 3:8-22

1 PETRUS 3:8-22 Alkitab Berita Baik (BM)

Inilah kesimpulannya: Hendaklah kamu semua seia sekata dan seperasaan. Hendaklah kamu saling mengasihi seperti orang yang bersaudara, dan hendaklah kamu saling berbelas kasihan dan bersikap rendah hati. Janganlah balas kejahatan dengan kejahatan, atau cercaan dengan cercaan; sebaliknya balaslah kejahatan dengan berkat daripada Allah. Kamu harus berbuat demikian kerana Allah menjanjikan berkat, ketika Dia memanggil kamu. Di dalam Alkitab tertulis, “Sesiapa yang hendak menikmati hidup dan yang ingin mengalami masa yang baik, tidak boleh memfitnah orang dan tidak boleh berdusta. Dia tidak boleh melakukan kejahatan lagi, tetapi berbuat baik; dia harus berusaha dengan sungguh-sungguh untuk mendapat perdamaian. Berbuatlah demikian, kerana Tuhan sentiasa memperhatikan orang yang melakukan kehendak-Nya, Dia sentiasa mendengarkan doa mereka; tetapi Tuhan menentang orang yang melakukan kejahatan.” Siapakah akan menyusahkan kamu jika kamu ingin sekali berbuat baik? Tetapi meskipun kamu harus menanggung penderitaan kerana melakukan perkara yang baik, kamu berbahagia! Janganlah takut akan sesiapa pun dan janganlah khuatir. Tetapi dengan tulus hormatilah Kristus sebagai Tuhan dalam hidup kamu. Hendaklah kamu sentiasa bersedia memberikan jawapan kepada sesiapa sahaja yang meminta kamu menjelaskan harapan yang kamu miliki. Tetapi lakukanlah hal itu dengan lemah lembut dan hormat. Hendaklah hati nurani kamu murni, supaya apabila kamu difitnah kerana hidup dengan baik sebagai pengikut Kristus, orang yang memfitnah kamu itu akan menjadi malu. Lebih baik menanggung penderitaan kerana berbuat baik, jika hal itu memang kehendak Allah, daripada menanggung penderitaan kerana berbuat jahat. Hal itu demikian kerana Kristus sendiri mati sekali sahaja dan untuk selama-lamanya, supaya dosa kita diampunkan. Dia tidak bersalah tetapi mati untuk orang yang bersalah, supaya Dia boleh memimpin kamu kepada Allah. Dia dibunuh dalam keadaan jasmani, tetapi dihidupkan semula dalam keadaan rohani. Dalam keadaan roh Dia pergi mengisytiharkan berita daripada Allah kepada roh-roh yang dipenjarakan, iaitu roh-roh orang yang tidak taat kepada Allah ketika Allah menantikan mereka dengan sabar pada masa Nuh membina bahteranya. Hanya lapan orang di bahtera itu, dan mereka diselamatkan oleh air bah itu. Air bah itu melambangkan baptisan yang sekarang ini menyelamatkan kamu. Baptisan ini bukanlah pembasuhan kotoran daripada tubuh, tetapi janji kamu kepada Allah daripada hati nurani yang baik. Baptisan ini menyelamatkan kamu kerana Yesus Kristus sudah bangkit daripada kematian, dan sudah naik ke syurga. Sekarang Dia di sebelah kanan Allah dan memerintah semua malaikat, penguasa, dan pemerintah di langit.

1 PETRUS 3:8-22 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

Kasudahannya, biarlah kamu skalian satu hati, mŭnaroh kasihan sa’orang akan sa’orang, bŭrkasih kasihanlah spŭrti saudara bŭrsaudara, sayangkanlah sŭrta bŭradap: Janganlah balas jahat dŭngan jahat, atau maki dŭngan maki: mŭlainkan balas dŭngan lawannya, iya itu mintakan bŭrkat; sŭbab kamu tŭlah mŭngatahui dalam hal dŭmkianlah kamu tŭlah dijŭmpot, supaya kamu mŭmpusakai bŭrkat. Maka barang siapa yang suka hidop, dan mŭndapat hari hari baik, maka biarlah ditahaninya lidahnya deripada kajahatan, dan bibirnya jangan bŭrtutor tipu daya: Maka biarlah iya mŭnjauhkan kajahatan itu, dan bŭrbuat baik; biarlah mŭnchari sŭjahtra, sŭrta mŭlakukan akan dia. Kŭrna mata Tuhan itu ada diatas orang yang bŭnar, dan tŭlinganya pun ada tŭrbuka kapada doa doanya: tŭtapi muka Tuhan itu mŭlawan akan orang yang bŭrbuat jahat. Siapakah yang dapat mŭmbinchanakan kamu, jikalau kamu mŭnurot pŭrkara yang baik? Tŭtapi jikalau kamu mŭrasai sŭngsara sŭbab kabŭnaran, slamatlah kamu: maka janganlah takot ugotnya, atau janganlah bŭrsusah; Tŭtapi suchikanlah Tuhan Allah dalam hatimu, dan sŭdialah slalu akan mŭmbri jawab pada sagala orang yang bŭrtanya pada kamu satu sŭbab derihal harap yang ada dalammu itu dŭngan lŭmah lŭmbut dan takot. Sŭbab adalah angan angan yang baik padamu; maka apabila diumpat ulih marika itu akan dikau spŭrti orang orang yang bŭrbuat jahat, bulihlah marika itu mŭnjadi malu sŭbab mŭnchŭlakan klakuanmu yang baik itu dalam Almasih. Kŭrna tŭrlebih baik jikalau dŭngan kahandak Allah dŭmkian kamu mŭrasai sŭngsara, deri kŭrna bŭrbuat baik deripada bŭrbuat jahat. Kŭrna Almasih pun skali tŭlah mŭrasai sŭngsara sŭbab dosa, iya itu sa’orang bŭnar ganti orang yang tiada bŭnar, supaya iya kŭlak mŭmbawa kami kapada Allah, sŭbab iya tŭlah dibunoh dalam pri manusia, tŭtapi sudah dihidopkan ulih Roh. Maka dŭngan itulah juga iya tŭlah pŭrgi mŭngajar pada sagala nyawa yang dalam pŭnjara; Yang tŭlah dŭrhaka dahulu kala, iya itu tŭtkala panjang sabar Allah tŭlah bŭrtanggoh pada zaman Noh, sŭmŭntara bahtra itu disŭdiakan, maka dalamnya itulah sŭdikit orang sahja, iya itu dŭlapan orang yang tŭlah tŭrplihara deripada ayer itu. Sŭrupa baptisan itu mŭmliharakan kami skarang, bukannya derihal mŭnghilangkan kachŭmaran tuboh, mŭlainkan mŭnjawab derihal angan angan yang baik pada fihak Allah, ulih sŭbab kabangkitan Isa Almasih deripada mati: Yang tŭlah naik kashorga, dan ada pada kanan Allah; maka sagala mŭliekat dan sagala pŭmrentahan, dan sagala kwasa tŭrtaloklah kabawahnya.

1 PETRUS 3:8-22 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Sebagai kesimpulan, bersatu hatilah kamu semua, dan amalkan belas ihsan antara satu sama lain. Jalinkanlah kasih persaudaraan antaramu, dengan hati yang lembut dan adab sopan yang baik. Jangan balas kejahatan dengan kejahatan atau celaan dengan celaan. Sebaliknya balaslah dengan memohon Allah memberkati mereka. Kamu mengetahui bahawa Allah telah memanggilmu supaya kamu mendapat berkat kelak. Kerana, “Sesiapa yang mencintai hidup dan mengalami masa yang baik hendaklah menjaga lidahnya daripada kejahatan dan bibirnya daripada kata-kata yang palsu. Hendaklah dia tinggalkan kejahatan dan lakukan kebaikan; hendaklah dia cari dan buru kedamaian. Kerana mata Tuhan tertuju kepada orang yang benar dan telinga-Nya mendengar doa mereka, tetapi wajah Tuhan menentang mereka yang berbuat jahat.” Siapakah yang akan menyakitimu jika kamu berbuat kebaikan dengan penuh semangat? Namun demikian, kalaupun kamu menderita kerana melakukan yang benar, kamu akan diberkati. “Jangan takut akan ugutan mereka dan janganlah bimbang.” Hormatilah Kristus sebagai Tuhan dalam hatimu dan sentiasa bersedia memberikan jawapan yang meyakinkan apabila seseorang bertanyakan asas harapan dalam hatimu. Jawab dengan lembut dan hormat, serta dengan suara hati yang murni. Dengan demikian mereka yang mencela kelakuan baikmu dalam Kristus akan berasa malu. Jika dikehendaki Allah kamu menderita kerana melakukan kebaikan, itu lebih baik daripada menderita kerana melakukan kejahatan. Kristus juga telah mati sekali untuk selama-lamanya kerana dosa kita. Dia yang benar telah menderita untuk orang yang tidak benar supaya Dia dapat membawa kita kepada Allah. Dia telah dibunuh secara jasmani tetapi dihidupkan semula sebagai Roh. Dalam keadaan demikian, Dia pergi menyampaikan perkhabaran kepada roh-roh yang dipenjarakan. Roh-roh itu tidak taat akan Allah yang menantikan mereka dengan sabar sepanjang masa Nuh membina bahteranya. Hanya lapan orang menaiki bahtera itu dan diselamatkan melalui air. Air bah itu melambangkan baptisan yang sekarang menyelamatkan kita, baptisan — bukan pembersihan kotoran badan tetapi sambutan hati nurani yang bersih terhadap Allah — melalui pembangkitan Yesus Kristus daripada kematian. Dia telah pergi ke syurga dan sekarang berada di kanan Allah. Para malaikat, penguasa dan pemerintah telah diletakkan di bawah-Nya.