1 PETRUS 1:1-9

1 PETRUS 1:1-9 Alkitab Berita Baik (BM)

Surat ini daripada Petrus, rasul Yesus Kristus dan ditujukan kepada umat pilihan Allah, yang tinggal sebagai orang pelarian yang tercerai-cerai di seluruh daerah Pontus, Galatia, Kapadokia, Asia, dan Bitinia. Kamu dipilih sesuai dengan rancangan Allah Bapa, dan dijadikan umat-Nya yang suci oleh Roh Allah, supaya kamu taat kepada Yesus Kristus dan disucikan oleh darah-Nya. Semoga Allah mengurniai kamu berkat dan kesejahteraan dengan berlimpah-limpah. Marilah kita bersyukur kepada Allah, Bapa Tuhan kita Yesus Kristus! Kerana Dia sangat mengasihani kita, Dia mengurniai kita hidup yang baru, dengan membangkitkan Yesus Kristus daripada kematian. Hal ini memberikan harapan yang kukuh kepada kita. Oleh itu, kita berharap untuk memiliki berkat-berkat yang disediakan oleh Allah bagi umat-Nya. Berkat-berkat itu disimpan-Nya di syurga, supaya tidak dapat rosak, reput, ataupun musnah. Berkat-berkat itu untuk kamu kerana kamu percaya kepada Allah. Oleh itu kamu dipelihara oleh kuasa Allah supaya kamu menerima penyelamatan yang siap dinyatakan pada akhir zaman. Oleh itu hendaklah kamu bersukacita, meskipun sekarang mungkin kamu harus berdukacita untuk sementara waktu kerana mengalami berbagai-bagai cubaan. Semuanya bertujuan untuk membuktikan sama ada kamu sungguh-sungguh percaya kepada Tuhan atau tidak. Emas yang dapat rosak pun diuji dengan api. Oleh itu, iman kamu yang lebih berharga daripada emas pun harus diuji, supaya menjadi teguh. Dengan demikian, apabila Yesus Kristus datang kembali, kamu akan menerima pujian, kemuliaan, dan penghormatan daripada Allah. Kamu mengasihi Dia meskipun kamu belum pernah melihat Dia. Kamu percaya kepada-Nya meskipun sekarang kamu tidak melihat Dia. Oleh itu, kegembiraan yang kamu alami itu sungguh besar, mulia, dan tidak terkata. Hal itu demikian kerana kamu menerima penyelamatan jiwa kamu, iaitu tujuan kepercayaan kamu kepada Kristus.

1 PETRUS 1:1-9 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

BAHWA Petrus, sa’orang rasul Isa Almasih, iya itu datang kapada sagala orang dagang yang tŭrchŭrie bŭrie dinŭgri Pontus, dan Galatia, dan Kappadosia, dan Asia, dan Bithenia. Yang tŭrpileh mŭnurot pŭngatahuan Allah yang tŭrdahulu iya itu Ayah, ulih kasuchian Roh itu, supaya bŭrbakti, dan dŭngan bŭrkat pŭrchekkan darah Isa Almasih itu: Anugrah, dan sŭjahtra itu dipŭrbanyakkanlah kiranya ka’atas kamu. Tŭrpujilah kiranya bagie Allah, iya itu Ayah Tuhan kami Isa Almasih, dŭngan kabanyakkan rahmatnya, iya tŭlah mŭmpranakkan kami pula kapada harap yang hidop ulih bŭrkat kabangkitan Isa Almasih deri matinya. Sahingga kapada suatu pusaka yang tiada kabinasaan, dan tiada kachŭmaran, dan tiada pula layu, yang tŭlah disimpankan dalam shorga bagie kamu. Yang ada tŭrplihara dŭngan kwasa Allah ulih iman akan mŭndapat slamat yang sŭdia, akan dinyatakan pada akhir saman. Maka deri sŭbab itulah kamu tŭramat suka chita adanya, sungguhpun skarang ini dalam sŭdikit waktu, jikalau kiranya harus kamu ada dalam kŭbratan kŭrna bŭrbagie bagie pŭrchobaan. Supaya pŭrchobaan imanmu yang tŭrlebih indahnya deripada mas yang akan binasa itu, jikalau dinjinya itu dŭngan api skali pun, supaya didapati mŭndatangkan kapujian, dan hormat, dan mulia pada masa kanyataan Isa Almasih: Yang bŭlom pŭrna kŭlihatan, kamu kasih juga; maka kapadanya, mŭskipun skarang tiada kamu lihat akan dia, tŭtapi pŭrchaya juga, maka suka chitalah kamu dŭngan suka chita yang tiada dapat dikata katakan, sŭrta pŭnohlah dŭngan kamuliaan; Akan mŭnŭrima kasudahan iman kamu, iya itu slamat jiwamu.

1 PETRUS 1:1-9 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Daripada Petrus, rasul Yesus Kristus, Kepada umat pilihan Allah yang tinggal merata-rata di Pontus, Galatia, Kapadokia, Asia dan Bitinia. Kamu terpilih menurut rancangan Allah Bapa, dijadikan umat-Nya dengan Roh Kudus, supaya taat akan Yesus Kristus dan disucikan dengan darah-Nya: Semoga kamu dilimpahi kasih kurnia dan damai sejahtera daripada Allah. Puji bagi Allah dan Bapa Tuhan kita Yesus Kristus! Kerana belas kasihan-Nya yang amat besar Dia telah mengurniai kita kelahiran baru dengan membangkitkan Yesus Kristus daripada kematian. Dengan demikian, kita hidup dengan harapan yang tidak akan binasa, dan kita mengharapkan warisan yang tidak mungkin reput, tercemar atau lenyap — disimpan untukmu di syurga. Kamu dipelihara dengan kuasa Allah, melalui iman untuk penyelamatan yang akan ternyata sepenuhnya pada akhir zaman. Oleh yang demikian bersukacitalah, meskipun sekarang untuk seketika mungkin kamu berdukacita kerana menghadapi pelbagai cubaan. Segalanya ini untuk menguji imanmu yang lebih berharga daripada emas, kerana emas tetap musnah walaupun telah diuji dengan api. Imanmu kelak ternyata tulen dan akan mendapat puji, penghormatan serta kemuliaan apabila Yesus Kristus datang kembali. Kamu mengasihi-Nya walaupun belum pernah melihat-Nya. Kamu percaya kepada-Nya tanpa melihat-Nya. Oleh itu, kamu merasai kebahagiaan yang tidak terkata dan penuh dengan kemuliaan kerana kamu akan mencapai matlamat imanmu, iaitu penyelamatan jiwamu.