1 RAJA-RAJA 8:22-43

1 RAJA-RAJA 8:22-43 Alkitab Berita Baik (BM)

Kemudian di hadapan rakyat, Raja Salomo berdiri menghadap mazbah. Baginda mengangkat kedua-dua tangannya lalu berdoa, “Ya TUHAN, Allah Israel, tiada yang seperti Engkau di langit atau di bumi. Engkau menepati perjanjian-Mu dengan umat-Mu, dan Engkau menunjukkan kasih-Mu kepada mereka apabila mereka taat kepada-Mu dengan segenap hati. Engkau telah menepati janji-Mu kepada ayahandaku, Raja Daud. Pada hari ini, Engkau menepati apa yang telah Engkau janjikan. Oleh itu, ya TUHAN, Allah Israel, tepatilah juga janji-Mu yang satu lagi kepada ayahandaku. Engkau berfirman kepadanya bahawa daripada keturunannya akan sentiasa ada seorang untuk memerintah sebagai raja Israel, asalkan mereka taat kepada-Mu seperti Raja Daud. Oleh itu, ya Allah Israel, tepatilah semua yang telah Engkau janjikan kepada ayahandaku Raja Daud, hamba-Mu. Tetapi, ya Allah, sungguhkah Engkau sudi tinggal di bumi? Bahkan seluruh langit pun tidak cukup luas bagi-Mu, apalagi Rumah yang telah kubina! Ya TUHAN, Allahku, aku hamba-Mu. Dengarkanlah doaku, dan kabulkanlah permohonanku hari ini. Lindungilah Rumah ini siang dan malam, tempat yang telah Engkau pilih sebagai tempat beribadat kepada-Mu. Dengarkanlah aku apabila aku menghadap tempat ini dan berdoa kepada-Mu. Dengarkanlah doaku dan doa umat-Mu apabila mereka menghadap tempat ini dan berdoa. Dari tempat kediaman-Mu di syurga, dengarkanlah kami dan ampunilah kami. Apabila seseorang dituduh bersalah terhadap orang lain, lalu disuruh bersumpah di hadapan mazbah di Rumah ini bahawa dia tidak bersalah, dengarkanlah dari syurga, ya TUHAN, dan adililah hamba-hamba-Mu. Hukumlah orang yang bersalah setimpal dengan perbuatannya dan bebaskanlah orang yang tidak bersalah. Apabila umat-Mu Israel dikalahkan musuh kerana mereka telah berdosa terhadap-Mu, lalu mereka kembali kepada-Mu dan datang ke Rumah ini serta berdoa kepada-Mu dengan rendah hati dan minta diampuni, semoga Engkau di syurga, mendengarkan mereka. Ampunkanlah dosa umat-Mu, dan bawalah mereka kembali ke negeri yang Engkau berikan kepada nenek moyang mereka. Apabila Engkau menahan hujan kerana umat-Mu telah berdosa terhadap-Mu, lalu mereka bertaubat dan menghadap Rumah ini, dan berdoa kepada-Mu dengan rendah hati, semoga Engkau di syurga, mendengarkan mereka. Ampunkanlah dosa raja dan rakyatnya, orang Israel. Ajarlah mereka melakukan apa yang benar. Selepas itu, ya TUHAN, turunkanlah hujan ke atas negeri-Mu ini, yang telah Engkau berikan kepada umat-Mu sebagai pusaka mereka selama-lamanya. Apabila kebuluran atau wabak berlaku di negeri ini, atau tanaman musnah kerana angin panas, hama, atau serangan belalang; ataupun apabila umat-Mu diserang musuh, atau penyakit, dengarkanlah doa mereka. Jika ada orang di kalangan umat-Mu Israel, dengan bersedih hati mengangkat tangan dan berdoa kepada-Mu sambil menghadap Rumah ini, dengarkanlah doa mereka. Dengarkanlah mereka dari tempat kediaman-Mu di syurga, dan ampunilah dan tolonglah mereka. Hanya Engkau yang tahu isi hati manusia. Oleh itu, perlakukanlah tiap-tiap orang setimpal dengan perbuatannya, supaya umat-Mu sentiasa taat kepada-Mu dan tinggal di negeri yang telah Engkau berikan kepada nenek moyang kami. Apabila seorang bangsa asing yang tinggal di negeri jauh mendengar tentang kebesaran-Mu, dan juga tentang mukjizat-mukjizat yang telah Engkau lakukan bagi umat-Mu, lalu datang menyembah-Mu dan berdoa di Rumah ini, dengarkanlah doanya. Dengarkanlah dia dari tempat kediaman-Mu di syurga, dan kabulkanlah permintaannya supaya semua bangsa di dunia mengenal Engkau dan taat kepada-Mu, seperti umat-Mu Israel. Barulah mereka tahu bahawa Rumah yang telah aku bina ini ialah tempat untuk beribadat kepada-Mu.

1 RAJA-RAJA 8:22-43 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Setelah itu, Salomo berdiri menghadap mazbah TUHAN, di hadapan seluruh jemaah Israel, lalu menadahkan tangannya ke langit. Katanya, “Ya TUHAN, Allah Israel, tidak ada Allah yang seperti Engkau, baik di langit di atas mahupun di bumi di bawah. Engkau berpegang teguh pada perjanjian dan kasih abadi bagi hamba-hamba-Mu yang hidup di hadapan-Mu dengan segenap hati mereka. Engkau yang berpegang teguh pada apa yang Kaujanjikan kepada hamba-Mu Daud, ayahku. Engkau sendiri telah berfirman lalu mengotakannya dengan kuasa-Mu, seperti yang terjadi pada hari ini. Sekarang, ya TUHAN, Allah Israel, peganglah apa yang telah Kaujanjikan kepada hamba-Mu Daud, ayahku, dengan berfirman, ‘Di hadapan-Ku, tidak akan terputus keturunanmu yang akan duduk di atas takhta kerajaan Israel, asalkan anak-anakmu tetap hidup di hadapan-Ku sebagaimana engkau telah hidup di hadapan-Ku.’ Sekarang, ya Allah Israel, biarlah terbukti firman yang Kausampaikan kepada hamba-Mu Daud, ayahku. Akan tetapi, sungguhkah Allah mahu tinggal di atas bumi? Sesungguhnya, langit bahkan langit di atas segala langit pun tidak dapat memuat Engkau, apa lagi bait yang kubangunkan ini! Tiliklah doa dan permohonan hamba-Mu ini, ya TUHAN, Allahku. Dengarlah seruan dan doa yang hamba-Mu panjatkan di hadirat-Mu pada hari ini. Biarlah mata-Mu terbuka terhadap bait ini, baik siang mahupun malam, terhadap tempat yang Kaufirmankan, ‘Nama-Ku akan tinggal di situ.’ Semoga Engkau dengarlah doa yang hamba-Mu panjatkan dengan menghadap ke tempat ini. Dengarlah permohonan hamba-Mu dan umat-Mu Israel ketika mereka berdoa dengan menghadap ke tempat ini. Dengarlah dari tempat tinggal-Mu di syurga, dan ampunilah kami ketika Engkau mendengarkannya. Jika seseorang berdosa terhadap sesamanya, dia harus mengangkat sumpah, dan datang bersumpah di depan mazbah-Mu di bait ini, maka dengarlah kiranya di syurga dan bertindaklah. Adililah hamba-hamba-Mu; hukumlah orang yang bersalah, dan timpakanlah perbuatannya pada dirinya sendiri. Pertahankanlah orang benar, dan ganjarlah dia selaras dengan perbenarannya. Jika umat-Mu Israel dikalahkan oleh musuh kerana mereka berdosa terhadap Engkau, kemudian mereka berbalik kepada-Mu, mengakui keagungan nama-Mu, berdoa, dan memohon belas kasihan di hadapan-Mu di bait ini, maka dengarlah kiranya di syurga. Ampunkanlah dosa umat-Mu Israel dan bawalah mereka kembali ke tanah yang telah Kaukurniakan kepada nenek moyang mereka. Apabila langit tertutup dan hujan tidak kunjung turun kerana mereka telah berdosa terhadap Engkau, lalu mereka berdoa dengan menghadap ke tempat ini, mengakui keagungan nama-Mu, dan berbalik daripada dosa mereka kerana Engkau telah menindas mereka, maka dengarlah kiranya di syurga. Ampunkanlah dosa hamba-hamba-Mu dan umat-Mu Israel — kerana Engkaulah yang mengajar mereka jalan baik yang patut ditempuh mereka — dan turunkanlah hujan ke tanah-Mu, yang telah Kaukurniakan sebagai harta pusaka kepada umat-Mu. Jika ada bencana kebuluran di negeri, penyakit sampar, kelayuan tanaman, penyakit bijirin, belalang besar, dan belalang pemusnah; jika musuh mengepung salah sebuah kota di negeri mereka; jika ada wabak atau penyakit apa-apa pun, lalu seseorang atau seluruh umat-Mu Israel memanjatkan suatu doa atau permohonan sambil menadahkan tangan dengan menghadap ke bait ini, kerana masing-masing mengetahui kesusahan hati diri sendiri, maka dengarlah kiranya di syurga, tempat tinggal-Mu. Ampunilah, bertindaklah, dan balaslah setiap orang selaras dengan jalan hidupnya kerana Engkau mengetahui isi hatinya — hanya Engkaulah yang mengetahui isi hati semua anak manusia. Dengan demikian mereka akan takut kepada-Mu selama mereka hidup di tanah yang telah Kaukurniakan kepada nenek moyang kami. Juga bagi orang asing yang tidak termasuk umat-Mu Israel, yang datang dari negeri jauh kerana nama-Mu — kerana mereka akan mendengar tentang nama-Mu yang besar, tangan-Mu yang perkasa, dan lengan-Mu yang terhulur — apabila dia datang serta berdoa dengan menghadap ke bait ini, maka dengarlah kiranya dari syurga, tempat tinggal-Mu. Bertindaklah selaras dengan semua yang diserukan kepada-Mu oleh orang asing itu. Dengan demikian, segala bangsa di bumi dapat mengenal nama-Mu serta takut kepada-Mu seperti umat-Mu Israel dan mereka tahu bahawa nama-Mu diserukan atas bait yang kubangunkan ini.