1 RAJA-RAJA 3:2-28
1 RAJA-RAJA 3:2-28 Alkitab Berita Baik (BM)
Pada masa itu Rumah TUHAN belum dibina. Oleh itu rakyat mempersembahkan korban di mazbah-mazbah di berbagai-bagai tempat. Raja Salomo mengasihi TUHAN dan menurut nasihat Raja Daud, ayahandanya, tetapi Raja Salomo pun menyembelih binatang dan mempersembahkannya sebagai korban di mazbah-mazbah di berbagai-bagai tempat. Pada suatu masa Raja Salomo pergi ke Gibeon untuk mempersembahkan korban, kerana di situlah mazbah yang termasyhur. Baginda telah mempersembahkan beratus-ratus korban di mazbah itu dahulu. Tetapi pada malam itu TUHAN menampakkan diri kepada Raja Salomo dalam mimpi dan bertanya kepadanya, “Apakah yang engkau ingin Aku berikan kepadamu?” Raja Salomo menjawab, “Engkau telah menunjukkan kasih yang besar terhadap hamba-Mu Raja Daud, bapaku. Dia baik, setia, dan tulus terhadap-Mu. Engkau sentiasa menunjukkan kasih-Mu yang besar dan abadi terhadapnya dengan memberi dia seorang putera, yang kini memerintah untuk menggantikan dia. Ya TUHAN Allah, Engkau telah membenarkan aku menjadi raja menggantikan bapaku, walaupun aku masih sangat muda dan tidak tahu memerintah. Aku berada di kalangan bangsa yang telah Engkau pilih menjadi umat-Mu sendiri - suatu umat yang begitu besar bilangannya sehingga tidak dapat dihitung. Oleh itu kurniailah aku kebijaksanaan yang aku perlukan untuk memerintah umat-Mu dengan adil, dan supaya aku tahu membezakan yang baik daripada yang jahat. Jika tidak, mana mungkin aku sanggup memerintah umat-Mu yang besar ini?” TUHAN berkenan pada permintaan Raja Salomo itu. Lalu Dia berfirman kepada Raja Salomo, “Oleh sebab engkau telah minta kebijaksanaan dan bukan umur panjang, atau kekayaan, ataupun kematian musuhmu, Aku akan mengabulkan permintaanmu. Aku akan mengurniai engkau kebijaksanaan dan pengertian yang belum pernah dipunyai atau akan dipunyai sesiapa pun. Bahkan Aku akan mengurniakan juga perkara yang tidak engkau minta: seumur hidupmu engkau akan menjadi lebih kaya dan lebih dihormati orang daripada raja mana pun. Jika engkau taat kepada-Ku dan patuh kepada hukum-Ku seperti bapamu Daud dahulu, Aku akan mengurniai engkau umur panjang.” Apabila Raja Salomo terjaga, baginda sedar bahawa Allah telah berfirman kepada baginda dalam mimpi. Kemudian Raja Salomo pergi ke Yerusalem dan berdiri di hadapan Tabut Perjanjian TUHAN. Raja Salomo mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati TUHAN dan korban untuk memohon berkat TUHAN. Selepas itu Raja Salomo mengadakan jamuan bagi semua pegawai baginda. Pada suatu hari, dua orang pelacur perempuan menghadap Raja Salomo. Seorang daripada mereka berkata kepada raja, “Tuanku, perempuan ini tinggal serumah dengan hamba. Dia berada di rumah ketika hamba melahirkan seorang anak lelaki. Dua hari kemudian, dia pula melahirkan seorang anak lelaki. Kami berdua sahaja tinggal di rumah; tiada orang lain yang bersama-sama kami. Pada suatu malam, sedang perempuan ini tidur, dengan tidak sengaja dia menindih anaknya sehingga anak itu mati. Pada tengah malam, sedang hamba tidur, dia bangun dan mengambil anak hamba dari sisi hamba, lalu membawa anak hamba ke tempat tidurnya. Selepas itu dia meletakkan mayat anaknya di tempat tidur hamba. Esok paginya, ketika hamba bangun dan hendak menyusui anak hamba, hamba mendapati bahawa anak itu sudah mati. Apabila hamba melihat anak itu dengan lebih teliti, hamba mendapati bahawa anak itu bukan anak hamba.” Tetapi perempuan yang seorang lagi berkata, “Tidak! Anak yang hidup ini memang anakku. Anak yang sudah mati itu anakmu!” Perempuan yang pertama tadi berkata, “Tidak! Yang mati itu anakmu, dan yang hidup itu anakku!” Demikianlah mereka bertengkar di hadapan raja. Kemudian Raja Salomo bertitah, “Kamu masing-masing menuntut bahawa anak yang hidup ini anakmu, dan bahawa anak yang mati itu bukan anakmu.” Raja menyuruh orang membawa sebilah pedang, dan bertitah, “Potonglah anak yang hidup ini menjadi dua, dan berikanlah satu potong kepada masing-masing perempuan ini.” Mendengar perintah itu, ibu sebenar kepada anak itu berkata, “Ampun tuanku, tolong jangan bunuh anak itu! Berikanlah anak itu kepada perempuan ini!” Ibu itu berkata begitu kerana dia sangat mengasihi anaknya. Tetapi perempuan yang satu lagi berkata, “Tak payahlah tuanku berikan anak itu kepada sesiapa pun; potonglah anak ini.” Kemudian Raja Salomo bertitah, “Jangan bunuh anak itu! Berikanlah anak itu kepada perempuan yang pertama. Dialah ibunya.” Apabila umat Israel mendengar keputusan yang diberikan oleh Raja Salomo, mereka sangat menghormati baginda kerana mereka tahu bahawa Allah telah memberikan kebijaksanaan kepadanya untuk menjalankan keadilan.
1 RAJA-RAJA 3:2-28 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Akan tetapi, orang Israel masih mempersembahkan korban di bukit-bukit pemujaan, kerana sampai masa itu belum dibangunkan sebuah bait bagi nama TUHAN. Salomo mencintai TUHAN, dia hidup menurut segala ketetapan Daud, ayahnya. Bagaimanapun, dia masih mempersembahkan korban dan membakar dupa di bukit-bukit pemujaan. Suatu kali, raja pergi ke Gibeon untuk mempersembahkan korban, kerana di situlah tempat bukit pemujaan yang terbesar. Kemudian, di atas mazbah di sana, Salomo mempersembahkan seribu korban bakaran. Di Gibeon, TUHAN menampakkan diri kepada Salomo dalam mimpi pada malam hari. Allah berfirman, “Mintalah apa yang kauingin Kukurniakan kepadamu.” Kata Salomo, “Engkau telah menunjukkan kasih yang besar kepada hamba-Mu Daud, ayahku, kerana dia hidup di hadirat-Mu dengan setia, benar, dan tulus hati. Engkau telah meneguhkan kasih yang besar ini baginya dengan mengurniakannya seorang anak yang duduk di atas takhtanya, sebagaimana nyata pada hari ini. Sekarang, ya TUHAN, Allahku, Engkau telah mengangkat hamba-Mu ini sebagai raja untuk menggantikan Daud, ayahku, padahal aku ini masih muda belia. Aku belum berpengalaman menangani ini dan itu. Hamba-Mu ini berada di tengah-tengah umat yang telah Kaupilih, umat yang besar, yang tidak terbilang dan tidak terhitung banyaknya. Oleh sebab itu kurniailah hamba-Mu ini hati yang bijaksana untuk memerintah umat-Mu sehingga aku dapat membezakan antara yang baik dengan yang jahat, kerana siapakah yang dapat memerintah umat-Mu yang besar ini?” Permintaan Salomo yang demikian itu dipandang baik oleh Tuhan. Firman Allah kepadanya, “Kerana engkau meminta hal itu, dan tidak meminta umur panjang atau kekayaan atau nyawa musuh-musuhmu, melainkan meminta pengertian untuk memutuskan hukum secara adil, maka Aku mengabulkan apa yang kauminta itu. Sesungguhnya, Aku mengurniaimu hati yang bijak dan berpengertian, sehingga sebelum engkau tidak ada orang yang seperti engkau, dan setelah engkau pun tidak akan bangkit orang yang seperti engkau. Selain itu, Kukurniaimu juga apa yang tidak kauminta, iaitu kekayaan dan kemuliaan, sehingga antara raja tidak akan ada seorang pun yang seperti engkau sepanjang umurmu. Jika engkau hidup menurut jalan-Ku serta berpegang teguh pada segala ketetapan-Ku serta perintah-Ku seperti yang dilakukan oleh Daud, ayahmu, maka Aku akan melanjutkan usiamu.” Salomo pun terjaga, rupanya dia bermimpi. Kemudian dia pergi ke Yerusalem, lalu berdiri di hadapan tabut perjanjian TUHAN. Dipersembahkannya korban bakaran dan korban kedamaian, lalu dia mengadakan jamuan bagi semua pegawainya. Maka datanglah dua orang perempuan sundal menghadap raja lalu berdiri di hadapannya. Kata perempuan yang seorang, “Ya tuanku, hamba dan perempuan ini tinggal serumah. Beberapa waktu yang lalu, hamba melahirkan anak, dan ketika itu dia ada di rumah. Pada hari ketiga selepas hamba bersalin, perempuan ini juga bersalin. Tiada orang lain bersama-sama kami di rumah itu. Hanya kami berdua di dalam rumah. Pada malam hari, perempuan ini tertindih anaknya lalu matilah bayi itu. Lalu pada tengah malam, ketika hambamu ini sedang tidur, perempuan ini bangun dan mengambil anak hamba daripada sisi hamba lantas dibaringkannya anak hamba dalam pangkuannya manakala anaknya yang mati itu diletakkan dalam pangkuan hamba. Ketika hamba bangun pada pagi hari untuk menyusui anak hamba, ternyata dia sudah tidak bernyawa. Akan tetapi, setelah hamba mengamat-amatinya pada pagi itu, tampak bahawa dia bukan anak yang hamba lahirkan.” Kata perempuan yang seorang lagi, “Tidak! Yang hidup itu anakku dan yang mati itu anakmu.” Tetapi kata perempuan yang pertama, “Tidak! Yang mati itu anakmu dan yang hidup itu anakku.” Demikianlah mereka berbantah-bantahan di hadapan raja. Kata raja, “Yang seorang berkata, ‘Anakkulah yang hidup ini dan anakmulah yang mati.’ Yang seorang lagi berkata, ‘Tidak! Anakmulah yang mati dan anakkulah yang hidup.’ ” Kemudian raja berkata, “Ambilkan aku sebilah pedang.” Maka dibawalah sebilah pedang ke hadapan raja. Kata raja, “Penggallah anak yang hidup itu untuk menjadi dua. Berikan separuh kepada yang seorang dan separuh lagi kepada yang lain.” Maka, terdorong oleh rasa hiba terhadap anaknya, ibu sebenar kepada anak yang masih hidup itu berkata kepada raja, “Ya tuanku, berikanlah anak yang hidup itu kepadanya. Jangan sekali-kali tuanku membunuhnya.” Tetapi perempuan yang seorang lagi berkata, “Penggal sajalah supaya tidak menjadi milikku ataupun milikmu.” Lalu raja berkata, “Berikanlah anak yang hidup itu kepada perempuan yang pertama. Jangan sekali-kali dibunuh. Dialah ibunya.” Ketika semua orang Israel mendengar keputusan yang diberikan raja dalam hal itu, seganlah mereka kepada raja, kerana mereka melihat bahawa kebijaksanaan Allah ada padanya untuk menegakkan keadilan.