1 RAJA-RAJA 19:9-18

1 RAJA-RAJA 19:9-18 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Di sana dia masuk ke dalam sebuah gua lalu bermalam di situ. Tiba-tiba datanglah firman TUHAN kepadanya demikian, “Apakah yang kaukerjakan di sini, wahai Elia?” Jawabnya, “Aku telah berjuang penuh semangat bagi TUHAN, Allah alam semesta, kerana orang Israel telah mengabaikan perjanjian-Mu, meruntuhkan mazbah-mazbah-Mu, dan membunuh nabi-nabi-Mu dengan pedang. Hanya aku yang masih tinggal, dan mereka sedang berusaha untuk membunuhku.” Firman-Nya, “Keluarlah dan berdirilah di atas gunung itu, di hadapan TUHAN.” Kemudian TUHAN berlalu. Mendahului TUHAN ada angin yang besar dan kuat membelah gunung itu serta memecahkan bukit-bukit batu, tetapi TUHAN tidak ada di dalam angin itu. Sesudah angin itu ada gempa, tetapi TUHAN tidak ada di dalam gempa itu. Sesudah gempa itu ada api, tetapi TUHAN tidak juga ada di dalam api itu. Sesudah api itu ada suara yang lembut. Apabila Elia mendengar suara itu, diselubunginya mukanya dengan jubahnya, lalu keluar dan berdiri di pintu gua itu. Tiba-tiba terdengarlah suara menyapanya demikian, “Apa yang kaukerjakan di sini, wahai Elia?” Jawabnya, “Aku telah berjuang penuh semangat bagi TUHAN, Allah alam semesta, kerana orang Israel telah mengabaikan perjanjian-Mu, meruntuhkan mazbah-mazbah-Mu, dan membunuh nabi-nabi-Mu dengan pedang. Hanya aku yang masih tinggal, dan mereka sedang berusaha untuk membunuhku.” Firman TUHAN kepadanya, “Pergilah, kembalilah ke jalanmu menuju Gurun Damsyik. Sesampainya di sana, lantiklah Hazael untuk menjadi raja atas Aram. Lantiklah juga Yehu, cucu Nimsi, menjadi raja atas Israel, dan Elisa anak Safat dari Abel-Mehola menjadi nabi untuk menggantikan engkau. Nanti, sesiapa yang terselamat daripada pedang Hazael akan dibunuh oleh Yehu, dan sesiapa yang terselamat daripada pedang Yehu akan dibunuh oleh Elisa. Namun demikian, Aku akan membiarkan terselamat tujuh ribu orang di Israel, iaitu semua orang yang tidak bertekuk lutut kepada Baal dan semua orang yang tidak menciumnya.”

1 RAJA-RAJA 19:9-18 Alkitab Berita Baik (BM)

Di sana dia bermalam di dalam sebuah gua. Kemudian TUHAN berfirman kepadanya, “Elia, apakah yang engkau lakukan di sini?” Elia menjawab, “Ya TUHAN, Allah Yang Maha Kuasa, aku sentiasa mengabdi kepada-Mu dan kepada-Mu sahaja. Tetapi umat Israel telah melanggar perjanjian mereka dengan Engkau. Mereka merobohkan mazbah-Mu dan membunuh semua nabi-Mu. Hanya aku seorang yang masih hidup, dan kini mereka hendak membunuh aku pula!” TUHAN berfirman kepadanya, “Keluarlah dari gua itu dan berdirilah di hadapan-Ku di puncak gunung.” Kemudian TUHAN lalu di sana. Angin ribut yang membelah gunung dan memecah bukit batu mendahului TUHAN, tetapi TUHAN tidak menyatakan diri dalam angin ribut itu. Setelah angin ribut itu berhenti, gempa berlaku, tetapi TUHAN tidak menyatakan diri dalam gempa itu. Selepas itu, api datang, tetapi TUHAN tidak menyatakan diri dalam api itu. Kemudian suasana menjadi senyap, lalu terdengar suatu suara yang lembut bagaikan bisikan. Apabila Elia mendengar suara itu, dia menutup muka dengan jubahnya, lalu keluar dan berdiri di mulut gua itu. Kemudian terdengarlah suara berkata kepadanya, “Elia, apakah yang engkau lakukan di sini?” Elia menjawab, “Ya TUHAN, Allah Yang Maha Kuasa, aku sentiasa mengabdi kepada-Mu dan kepada-Mu sahaja. Tetapi umat Israel telah melanggar perjanjian mereka dengan Engkau. Mereka merobohkan mazbah-Mu dan membunuh semua nabi-Mu. Hanya aku seorang yang masih hidup, dan kini mereka hendak membunuh aku pula!” TUHAN berfirman kepadanya, “Kembalilah ke padang gurun dekat Damsyik. Masuklah ke kota dan lumurilah kepala Hazael dengan minyak sebagai tanda bahawa dia dipilih menjadi raja negeri Siria. Lakukanlah hal yang sama kepada Yehu anak Nimsi supaya dia menjadi raja Israel, dan juga kepada Elisa anak Safat dari Abel-Mehola supaya dia menjadi nabi menggantikan engkau. Sesiapa yang dapat melarikan diri daripada pedang Hazael akan dibunuh Yehu, dan sesiapa yang terlepas daripada pedang Yehu akan dibunuh Elisa. Namun Aku akan menyelamatkan tujuh ribu orang di Israel, iaitu mereka yang setia kepada-Ku dan belum pernah bersujud kepada Baal, ataupun menciumnya.”