1 RAJA-RAJA 19:9-13
1 RAJA-RAJA 19:9-13 Alkitab Berita Baik (BM)
Di sana dia bermalam di dalam sebuah gua. Kemudian TUHAN berfirman kepadanya, “Elia, apakah yang engkau lakukan di sini?” Elia menjawab, “Ya TUHAN, Allah Yang Maha Kuasa, aku sentiasa mengabdi kepada-Mu dan kepada-Mu sahaja. Tetapi umat Israel telah melanggar perjanjian mereka dengan Engkau. Mereka merobohkan mazbah-Mu dan membunuh semua nabi-Mu. Hanya aku seorang yang masih hidup, dan kini mereka hendak membunuh aku pula!” TUHAN berfirman kepadanya, “Keluarlah dari gua itu dan berdirilah di hadapan-Ku di puncak gunung.” Kemudian TUHAN lalu di sana. Angin ribut yang membelah gunung dan memecah bukit batu mendahului TUHAN, tetapi TUHAN tidak menyatakan diri dalam angin ribut itu. Setelah angin ribut itu berhenti, gempa berlaku, tetapi TUHAN tidak menyatakan diri dalam gempa itu. Selepas itu, api datang, tetapi TUHAN tidak menyatakan diri dalam api itu. Kemudian suasana menjadi senyap, lalu terdengar suatu suara yang lembut bagaikan bisikan. Apabila Elia mendengar suara itu, dia menutup muka dengan jubahnya, lalu keluar dan berdiri di mulut gua itu. Kemudian terdengarlah suara berkata kepadanya, “Elia, apakah yang engkau lakukan di sini?”
1 RAJA-RAJA 19:9-13 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Di sana dia masuk ke dalam sebuah gua lalu bermalam di situ. Tiba-tiba datanglah firman TUHAN kepadanya demikian, “Apakah yang kaukerjakan di sini, wahai Elia?” Jawabnya, “Aku telah berjuang penuh semangat bagi TUHAN, Allah alam semesta, kerana orang Israel telah mengabaikan perjanjian-Mu, meruntuhkan mazbah-mazbah-Mu, dan membunuh nabi-nabi-Mu dengan pedang. Hanya aku yang masih tinggal, dan mereka sedang berusaha untuk membunuhku.” Firman-Nya, “Keluarlah dan berdirilah di atas gunung itu, di hadapan TUHAN.” Kemudian TUHAN berlalu. Mendahului TUHAN ada angin yang besar dan kuat membelah gunung itu serta memecahkan bukit-bukit batu, tetapi TUHAN tidak ada di dalam angin itu. Sesudah angin itu ada gempa, tetapi TUHAN tidak ada di dalam gempa itu. Sesudah gempa itu ada api, tetapi TUHAN tidak juga ada di dalam api itu. Sesudah api itu ada suara yang lembut. Apabila Elia mendengar suara itu, diselubunginya mukanya dengan jubahnya, lalu keluar dan berdiri di pintu gua itu. Tiba-tiba terdengarlah suara menyapanya demikian, “Apa yang kaukerjakan di sini, wahai Elia?”