1 RAJA-RAJA 19:2-8
1 RAJA-RAJA 19:2-8 Alkitab Berita Baik (BM)
Izebel mengirim berita kepada Elia, katanya, “Biarlah para dewa membunuh aku, jika esok pada waktu ini aku tidak memperlakukan engkau seperti engkau memperlakukan nabi-nabi itu.” Elia ketakutan, lalu dia dan hambanya lari ke Bersyeba di Yehuda. Elia meninggalkan hambanya di situ, lalu berjalan sepanjang hari ke padang gurun. Kemudian dia berhenti dan duduk di bawah sebatang pokok; dia ingin mati. Dia berdoa, “Penderitaan ini terlalu berat bagiku, ya TUHAN. Ambillah nyawaku, lebih baik aku mati!” Dia berbaring di bawah pokok itu lalu tertidur. Tiba-tiba malaikat menyentuh dia dan berkata, “Bangunlah, dan makanlah.” Elia melihat di sekelilingnya dan nampak seketul roti bakar dan sebuah kendi berisi air dekat kepalanya. Dia makan dan minum, lalu berbaring semula. Malaikat TUHAN kembali dan membangunkannya sekali lagi. Katanya, “Bangunlah dan makanlah, supaya engkau tahan dalam perjalanan yang jauh.” Elia bangun dan makan; makanan itu memberi dia cukup tenaga untuk berjalan selama empat puluh hari ke Gunung Sinai, tempat Allah menyatakan diri.
1 RAJA-RAJA 19:2-8 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Lalu Izebel mengutus seorang pesuruh kepada Elia dengan pesan, “Biarlah tuhan mengazabkan aku bahkan lebih lagi, jika esok pada waktu seperti ini aku tidak membuat nyawamu sama dengan nyawa seorang daripada kalangan mereka.” Apabila diketahuinya hal itu, Elia bergegas pergi menyelamatkan diri. Sesampainya di Bersyeba, wilayah Yehuda, ditinggalkannya pelayannya di sana sementara dia pergi seorang diri kira-kira sejauh sehari perjalanan ke gurun. Di sana duduklah dia di bawah sebuah pokok arar, dan memohon supaya dia mati sahaja, katanya, “Cukuplah! Sekarang, ya TUHAN, cabutlah nyawaku kerana aku ini tidak lebih baik daripada nenek moyangku.” Kemudian dia berbaring dan tidur di bawah pokok arar itu. Tiba-tiba seorang malaikat menjamahnya dan bersabda kepadanya, “Bangunlah, makanlah.” Ketika dia memandang sekelilingnya, tampaklah yang berdekatan dengan kepalanya ada sepotong roti bundar terpanggang di atas bara api dan sebuah buyung berisi air. Dia pun makan dan minum, lalu berbaring lagi. Lalu untuk kali keduanya malaikat TUHAN datang lagi dan menjamah dia serta bersabda, “Bangunlah, makanlah, kerana perjalanan kelak terlalu jauh bagimu.” Maka Elia bangun lalu makan dan minum. Kemudian dengan kekuatan daripada makanan itu, dia berjalan selama empat puluh hari empat puluh malam sampai ke gunung Allah, iaitu Gunung Horeb.