1 RAJA-RAJA 19:1-5
1 RAJA-RAJA 19:1-5 Alkitab Berita Baik (BM)
Raja Ahab memberitahu Izebel isterinya, segala yang telah dilakukan Elia, dan juga cara Elia membunuh semua nabi Baal. Izebel mengirim berita kepada Elia, katanya, “Biarlah para dewa membunuh aku, jika esok pada waktu ini aku tidak memperlakukan engkau seperti engkau memperlakukan nabi-nabi itu.” Elia ketakutan, lalu dia dan hambanya lari ke Bersyeba di Yehuda. Elia meninggalkan hambanya di situ, lalu berjalan sepanjang hari ke padang gurun. Kemudian dia berhenti dan duduk di bawah sebatang pokok; dia ingin mati. Dia berdoa, “Penderitaan ini terlalu berat bagiku, ya TUHAN. Ambillah nyawaku, lebih baik aku mati!” Dia berbaring di bawah pokok itu lalu tertidur. Tiba-tiba malaikat menyentuh dia dan berkata, “Bangunlah, dan makanlah.”
1 RAJA-RAJA 19:1-5 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Disampaikanlah oleh Ahab kepada Izebel perihal semua yang dilakukan Elia dan bagaimana dia membunuh semua nabi itu dengan pedang. Lalu Izebel mengutus seorang pesuruh kepada Elia dengan pesan, “Biarlah tuhan mengazabkan aku bahkan lebih lagi, jika esok pada waktu seperti ini aku tidak membuat nyawamu sama dengan nyawa seorang daripada kalangan mereka.” Apabila diketahuinya hal itu, Elia bergegas pergi menyelamatkan diri. Sesampainya di Bersyeba, wilayah Yehuda, ditinggalkannya pelayannya di sana sementara dia pergi seorang diri kira-kira sejauh sehari perjalanan ke gurun. Di sana duduklah dia di bawah sebuah pokok arar, dan memohon supaya dia mati sahaja, katanya, “Cukuplah! Sekarang, ya TUHAN, cabutlah nyawaku kerana aku ini tidak lebih baik daripada nenek moyangku.” Kemudian dia berbaring dan tidur di bawah pokok arar itu. Tiba-tiba seorang malaikat menjamahnya dan bersabda kepadanya, “Bangunlah, makanlah.”