1 RAJA-RAJA 17:7-24
1 RAJA-RAJA 17:7-24 Alkitab Berita Baik (BM)
Tidak berapa lama kemudian, sungai kecil itu kering kerana tidak ada hujan. Kemudian TUHAN berfirman kepada Elia, “Pergilah ke kota Sarfat dekat Sidon, dan tinggallah di sana. Aku sudah memerintah seorang balu yang tinggal di sana untuk memberikan makanan kepadamu.” Maka Elia pergi ke Sarfat. Apabila dia tiba di pintu gerbang kota itu, dia nampak seorang balu sedang mengumpulkan kayu api. Elia berkata kepadanya, “Tolong beri saya air minum.” Apabila balu itu hendak pergi untuk mengambil air, Elia berkata lagi, “Dan tolonglah beri saya roti juga.” Balu itu menjawab, “Demi TUHAN yang hidup, Allah yang tuan sembah, saya bersumpah bahawa saya tidak mempunyai roti. Saya hanya mempunyai segenggam tepung gandum di dalam mangkuk dan sedikit minyak zaitun di dalam botol. Saya sedang mengumpulkan sedikit kayu api untuk dibawa pulang supaya saya dapat memasak bahan yang tinggal itu untuk saya dan anak saya. Itulah makanan kami yang terakhir; setelah itu kami akan menunggu maut sahaja.” Elia berkata kepadanya, “Jangan khuatir. Pergilah sediakan makananmu. Tetapi sebelum itu, mula-mula buatlah roti daripada tepung dan minyak itu dan hantarlah kepada saya. Kemudian buatlah roti untukmu dan anakmu, kerana demikianlah Firman TUHAN, Allah Israel, ‘Tepung di dalam mangkuk itu tidak akan habis dan minyak di dalam botol itu tidak akan berkurang sehingga tiba saatnya Aku, TUHAN, menurunkan hujan.’ ” Balu itu pergi dan melakukan apa yang disuruh oleh Elia. Mereka bertiga mempunyai cukup makanan berhari-hari lamanya. Tepung di dalam mangkuk itu tidak habis-habis, dan minyak di dalam botol itu tidak berkurang menurut firman TUHAN melalui Elia. Beberapa waktu kemudian, anak lelaki balu itu jatuh sakit. Penyakitnya bertambah teruk, dan akhirnya dia meninggal. Balu itu berkata kepada Elia, “Hai hamba Allah, mengapakah tuan melakukan hal ini kepada saya? Adakah tuan datang untuk mengingatkan Allah akan dosa saya, lalu menyebabkan kematian anak saya?” Elia berkata, “Bawalah anak itu kepada saya.” Elia mengambil anak itu dari ibunya, lalu membawa anak itu ke ruangan atas, ke bilik yang ditumpangi Elia. Dia membaringkan anak itu di atas tempat tidur. Kemudian Elia berdoa dengan suara kuat, “Ya TUHAN, Allahku, mengapakah Engkau melakukan perkara yang sedahsyat ini kepada balu itu? Dia sudah memberikan tumpangan kepadaku, tetapi Engkau telah membunuh anaknya!” Kemudian Elia menelungkupkan badannya di atas anak itu tiga kali sambil berdoa, “Ya TUHAN, Allahku, hidupkanlah semula anak ini!” TUHAN mengabulkan doa Elia. Anak itu mula bernafas lagi, lalu hidup semula. Elia membawa anak itu turun ke bawah, lalu menyerahkan dia kepada ibu anak itu. Elia berkata, “Lihatlah, anakmu hidup semula!” Balu itu berkata, “Sekarang barulah saya tahu bahawa tuan seorang hamba Allah dan bahawa TUHAN benar-benar berfirman melalui tuan.”
1 RAJA-RAJA 17:7-24 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Setelah berlalunya beberapa waktu, keringlah sungai itu kerana hujan tidak turun-turun di negeri itu. Lalu datanglah firman TUHAN kepadanya demikian, “Pergilah segera ke Sarfat, wilayah Sidon, dan tinggallah di sana. Ketahuilah, Aku telah memerintahkan seorang balu untuk menyediakan makananmu di sana.” Elia pun segera pergi ke Sarfat. Sesampainya dia di pintu gerbang kota itu, tampak ada seorang balu yang sedang mengumpulkan kayu api di sana. Elia memanggilnya dan berkata, “Tolong ambilkan bagiku sedikit air di dalam kendi, supaya aku dapat minum.” Ketika perempuan itu hendak pergi mengambilnya, Elia memanggilnya lagi dan berkata, “Tolong bawakan juga bagiku sepotong roti.” Maka kata perempuan itu, “Demi TUHAN, Allahmu yang hidup, tidak ada padaku sepotong roti pun, kecuali segenggam penuh tepung di dalam tempayan dan sedikit minyak dalam buyung. Sekarang ini aku sedang mengumpulkan satu dua potong kayu api, supaya aku dapat pulang serta mengolah tepung itu bagi diriku dan bagi anakku sehingga kami dapat makan, lalu setelah itu kami mati.” Kata Elia kepadanya, “Jangan takut. Pergilah dan lakukanlah seperti yang kaukatakan, tetapi buatlah dahulu bagiku sepotong roti bundar kecil daripada tepung itu dan bawalah kepadaku. Setelah itu, barulah buat bagi dirimu dan bagi anakmu. Beginilah firman TUHAN, Allah Israel, ‘Tepung dalam tempayan itu tidak akan habis dan minyak di dalam buyung itu tidak akan berkurang sampai saat TUHAN menurunkan hujan ke atas muka bumi.’ ” Perempuan itu pun pergi dan bertindak selaras dengan perkataan Elia. Maka perempuan itu berserta dengan keluarganya dan juga Elia dapat makan selama beberapa waktu. Tepung dalam tempayan itu tidak pernah habis dan minyak dalam buyung itu tidak juga berkurang, selaras dengan firman yang disampaikan TUHAN dengan perantaraan Elia. Tidak berapa lama sesudah peristiwa itu, anak lelaki perempuan pemilik rumah itu jatuh sakit. Sakitnya amat parah sehingga anak itu berhenti bernafas. Kata perempuan itu kepada Elia, “Apa masalahku dengan engkau, ya hamba Allah? Engkau telah singgah di tempatku untuk mengingatkan kesalahanku dan untuk membunuh anakku.” Kata Elia, “Bawalah anakmu itu kepadaku.” Lalu diambilnya anak itu daripada pangkuan ibunya, dibawanya naik ke bilik atas tempat dia tinggal, dan dibaringkannya di tempat tidurnya. Kemudian berserulah dia kepada TUHAN, katanya, “Ya TUHAN Allahku, adakah Engkau mendatangkan malapetaka ke atas balu yang menerima aku sebagai pendatang ini, dengan membunuh anaknya?” Lalu dia mengunjurkan tubuhnya di atas anak itu tiga kali dan berseru kepada TUHAN, katanya, “Ya TUHAN, Allahku, kembalikanlah kiranya nyawa anak ini ke dalam tubuhnya.” TUHAN mendengar seruan Elia. Nyawa anak itu pun kembali ke dalam tubuhnya sehingga dia hidup lagi. Elia mengambil anak itu, membawanya turun dari bilik atas ke dalam rumah, dan menyerahkannya kepada ibunya. Kata Elia, “Lihatlah, anakmu hidup.” Kata perempuan itu kepada Elia, “Sekarang aku tahu bahawa engkau ini hamba Allah, dan firman TUHAN yang kaukatakan itu benar.”