1 RAJA-RAJA 17:1-7
1 RAJA-RAJA 17:1-7 Alkitab Berita Baik (BM)
Seorang nabi bernama Elia dari Tisbe di Gilead berkata kepada Raja Ahab, “Demi TUHAN yang hidup, Allah Israel yang hamba sembah, hamba memberitahu tuanku bahawa selama dua atau tiga tahun tidak akan ada embun ataupun hujan, sehingga hamba mengatakan ada hujan.” Kemudian TUHAN berfirman kepada Elia, “Tinggalkanlah tempat ini dan pergilah ke sebelah timur. Bersembunyilah dekat sungai kecil Kerit, di sebelah timur Sungai Yordan. Engkau dapat minum dari sungai kecil itu, dan Aku akan memerintah burung gagak untuk membawa makanan kepadamu di situ.” Elia mentaati perintah TUHAN itu. Dia pergi tinggal di tepi sungai kecil Kerit. Dia minum dari sungai kecil itu, dan burung gagak membawa roti dan daging kepadanya setiap pagi dan petang. Tidak berapa lama kemudian, sungai kecil itu kering kerana tidak ada hujan.
1 RAJA-RAJA 17:1-7 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Suatu waktu, Elia, orang Tisbe dari Tisbe-Gilead, berkata kepada Ahab, “Demi TUHAN yang hidup, Allah Israel, yang kepada-Nya aku mengabdikan diri, sesungguhnya tidak akan turun embun atau hujan pada tahun-tahun ini kecuali jika mulutku mengatakannya.” Lalu datanglah firman TUHAN kepadanya demikian, “Pergilah dari sini ke arah timur dan bersembunyilah di tepi Sungai Kerit, di sebelah timur Sungai Yordan. Engkau dapat minum dari sungai itu, dan burung-burung gagak telah Kuperintahkan untuk menyediakan makananmu di sana.” Maka pergilah dia dan bertindak selaras dengan firman TUHAN. Dia tinggal di tepi Sungai Kerit, di sebelah timur Sungai Yordan. Burung-burung gagak membawakannya roti dan daging pada pagi dan juga petang hari, dan dia minum air dari sungai itu. Setelah berlalunya beberapa waktu, keringlah sungai itu kerana hujan tidak turun-turun di negeri itu.