1 RAJA-RAJA 16:29-34
1 RAJA-RAJA 16:29-34 Alkitab Berita Baik (BM)
Pada tahun ketiga puluh lapan pemerintahan Raja Asa di Yehuda, Ahab putera Omri menjadi raja Israel. Raja Ahab memerintah di Samaria selama dua puluh dua tahun. Raja Ahab berdosa terhadap TUHAN lebih daripada semua raja yang terdahulu. Tidak cukup baginya untuk berdosa seperti Raja Yerobeam. Raja Ahab melakukan yang lebih jahat lagi; baginda mengahwini Izebel, puteri Raja Etbaal dari Sidon, dan Raja Ahab juga menyembah Baal. Raja Ahab membina sebuah kuil untuk Baal di Samaria. Baginda juga membina mazbah bagi Baal, lalu meletakkannya di dalam kuil. Raja Ahab juga membuat patung Dewi Asyera. Baginda membangkitkan kemurkaan TUHAN, Allah Israel, lebih daripada semua raja Israel yang terdahulu. Pada masa pemerintahan baginda, Hiel dari Betel, membina semula kota Yerikho. Seperti yang pernah difirmankan TUHAN melalui Yosua anak Nun, anak lelaki sulung Hiel yang bernama Abiram, meninggal ketika Hiel meletakkan asas kota Yerikho. Anak lelaki bongsu Hiel yang bernama Segub juga meninggal ketika Hiel memasang pintu gerbang kota itu.
1 RAJA-RAJA 16:29-34 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Ahab anak Omri menaiki takhta atas Israel pada tahun ketiga puluh lapan zaman pemerintahan Asa, raja Yehuda. Ahab anak Omri bertakhta atas Israel di Samaria selama dua puluh dua tahun, dan Ahab anak Omri melakukan apa yang jahat di mata TUHAN, lebih daripada semua orang yang mendahuluinya. Seolah-olah kehidupannya dalam dosa-dosa Yerobeam anak Nebat itu perkara yang ringan sahaja, dia juga memperisteri Izebel, anak Etbaal, raja Sidon, lalu pergi beribadat kepada Baal dan sujud menyembahnya. Dia mendirikan mazbah bagi Baal di kuil Baal yang dibinanya di Samaria. Kemudian Ahab membuat patung Asyera bahkan banyak hal yang lain sehingga dia membangkitkan murka TUHAN, Allah Israel, lebih daripada semua Raja Israel yang pernah ada sebelum dirinya. Pada zamannya, seorang bernama Hiel dari Betel membina kembali Kota Yerikho. Dia meletakkan dasarnya dengan nyawa Abiram, anak sulungnya, dan mendirikan pintu-pintu gerbangnya dengan nyawa Segub, anak bongsunya, selaras dengan firman yang disampaikan TUHAN dengan perantaraan Yosua anak Nun.