1 RAJA-RAJA 11:1-40

1 RAJA-RAJA 11:1-40 Alkitab Berita Baik (BM)

Raja Salomo mencintai banyak wanita bangsa asing. Selain puteri raja Mesir, baginda juga berkahwin dengan wanita Het, Moab, Amon, Edom, dan Sidon. Raja Salomo masih juga berkahwin dengan mereka walaupun TUHAN telah melarang umat Israel berkahwin campur dengan bangsa-bangsa itu, kerana mereka akan menyebabkan umat Israel menyembah tuhan-tuhan lain. Raja Salomo berkahwin dengan tujuh ratus orang puteri raja dan mempunyai tiga ratus orang gundik. Mereka menyebabkan Raja Salomo meninggalkan Allah, sehingga mereka berjaya membujuknya menyembah tuhan-tuhan lain ketika Raja Salomo sudah tua. Raja Daud, ayahanda Raja Salomo setia kepada TUHAN, Allahnya, tetapi Raja Salomo tidak seperti ayahandanya. Raja Salomo menyembah Asytoret, dewi orang Sidon, dan Molokh, dewa menjijikkan yang dipuja orang Amon. Raja Salomo berdosa terhadap TUHAN. Raja Daud, ayahanda Raja Salomo taat kepada TUHAN dengan sepenuh hati, tetapi Raja Salomo tidak seperti ayahandanya. Di atas sebuah gunung di sebelah timur Yerusalem, Raja Salomo membina tempat pemujaan Kamos, dewa menjijikkan yang dipuja orang Moab. Dia membina tempat pemujaan Molokh, dewa menjijikkan yang dipuja orang Amon. Raja Salomo juga membina tempat-tempat bagi semua isterinya yang berbangsa asing untuk membakar kemenyan dan mempersembahkan korban kepada dewa mereka masing-masing. Walaupun TUHAN, Allah Israel telah menampakkan diri sehingga dua kali kepada Raja Salomo, dan melarang baginda menyembah tuhan-tuhan lain, namun Raja Salomo tidak taat kepada TUHAN. Baginda malah meninggalkan TUHAN. Oleh itu TUHAN murka terhadap Raja Salomo. TUHAN berfirman, “Oleh sebab engkau dengan sengaja telah melanggar perjanjianmu dengan Aku, dan telah melanggar perintah-Ku, Aku bersumpah bahawa Aku akan mengambil kerajaanmu dan memberikannya kepada salah seorang pegawaimu. Tetapi demi bapamu Daud, Aku tidak akan melakukan hal ini semasa hidupmu, melainkan pada masa pemerintahan anakmu. Aku tidak akan mengambil seluruh kerajaan itu daripadanya; Aku akan memberi dia satu suku demi hamba-Ku Daud dan demi Yerusalem, kota yang telah Kupilih menjadi milik-Ku.” Oleh itu TUHAN menyebabkan Hadad, seorang daripada keluarga diraja negeri Edom, memusuhi Raja Salomo. Lama sebelum itu, selepas Raja Daud mengalahkan Edom, Yoab, panglima tentera Raja Daud pergi ke sana untuk menguburkan askar-askarnya yang gugur. Yoab dan anak buahnya tinggal di Edom selama enam bulan. Pada masa itu mereka membunuh semua orang lelaki di Edom, kecuali Hadad dan beberapa orang hamba bapanya, yang berbangsa Edom; mereka melarikan diri ke Mesir. (Ketika itu Hadad masih kanak-kanak.) Beberapa orang Edom yang masih hidup itu meninggalkan Midian lalu pergi ke Paran. Di sana beberapa orang lagi bergabung dengan mereka, lalu mereka pergi ke Mesir dan menghadap raja negeri itu. Raja Mesir memberikan tanah, sebuah rumah, dan juga makanan kepada Hadad. Kemudian Hadad menjadi sahabat baik raja Mesir, sehingga raja itu memberikan iparnya sendiri, iaitu adik Permaisuri Tahpenes, kepada Hadad sebagai isterinya. Isteri Hadad melahirkan seorang anak lelaki yang diberikan nama Genubat. Genubat dibesarkan oleh Permaisuri Tahpenes di istana bersama dengan putera-putera raja yang lain. Apabila Hadad mendengar bahawa Raja Daud telah mangkat dan Yoab panglima tenteranya pun telah meninggal, dia berkata kepada raja Mesir, “Benarkanlah hamba pulang ke negeri hamba sendiri.” “Mengapa?” tanya raja. “Adakah beta telah mengecewakan kamu? Itukah sebabnya kamu hendak pulang?” “Benarkanlah hamba pulang,” jawab Hadad kepada raja. Kemudian Hadad pulang ke negerinya. Sebagai raja Edom, Raja Hadad menjadi musuh jahat dan sengit terhadap Israel. Allah juga menyebabkan Rezon anak Elyada memusuhi Raja Salomo. Rezon telah lari daripada tuannya, Raja Hadadezer dari Zoba, lalu dia menjadi pemimpin sekumpulan gerombolan. (Hal ini berlaku setelah Raja Daud mengalahkan Raja Hadadezer, dan membunuh tentera Siria yang menjadi sekutu Raja Hadadezer.) Rezon dan anak buahnya pergi ke Damsyik dan tinggal di situ. Di tempat itu anak buah Rezon melantik dia menjadi raja negeri Siria. Raja Rezon menjadi musuh Israel semasa hidup Raja Salomo. Seorang lagi yang memusuhi Raja Salomo ialah salah seorang pegawainya, Yerobeam anak Nebat dari Zereda di Efraim. Ibunya seorang balu bernama Zerua. Beginilah kisah pemberontakannya. Raja Salomo sedang menambak tanah di sebelah timur Yerusalem dan membaiki tembok kota. Yerobeam seorang muda yang cekap, dan apabila Raja Salomo melihat betapa rajinnya Yerobeam bekerja, Raja Salomo memberi dia tugas sebagai pengawas semua orang rodi di wilayah suku Manasye dan Efraim. Pada suatu hari, Yerobeam keluar dari Yerusalem. Di tengah jalan, Nabi Ahia dari Silo menemui Yerobeam; hanya mereka yang ada di padang. Ahia menanggalkan jubah baru, yang sedang dipakainya, lalu mengoyak-ngoyaknya menjadi dua belas sobekan. Ahia berkata kepada Yerobeam, “Ambillah sepuluh sobekan untukmu sendiri, kerana TUHAN, Allah Israel, berfirman kepadamu, ‘Aku akan mengambil kerajaan Salomo daripadanya, dan memberikan sepuluh suku kepadamu. Demi hamba-Ku Daud dan demi Yerusalem, kota yang telah Kupilih menjadi milik-Ku dari seluruh tanah Israel, Salomo akan tetap memerintah satu suku. Aku akan melakukan hal itu kerana Salomo telah menolak Aku dan menyembah dewa-dewa: Asytoret, dewi orang Sidon; Kamos, dewa orang Moab; dan Molokh, dewa orang Amon. Salomo tidak mentaati Aku. Dia tidak seperti bapanya Daud yang taat kepada-Ku dan melaksanakan perintah-Ku. Tetapi Aku tidak akan mengambil seluruh kerajaan itu daripada Salomo. Aku akan membenarkan dia memerintah seumur hidupnya. Aku akan berbuat demikian demi hamba-Ku Daud, yang telah Kupilih dan yang taat kepada hukum serta perintah-Ku. Aku akan mengambil kerajaan itu daripada putera Salomo dan memberikan sepuluh suku kepadamu. Tetapi Aku akan membenarkan anak lelaki Salomo memerintah satu suku supaya Aku sentiasa mempunyai seorang daripada keturunan hamba-Ku Daud untuk memerintah Yerusalem, kota yang telah Kupilih sebagai tempat beribadat kepada-Ku. Hai Yerobeam, Aku akan menjadikan engkau raja Israel. Engkau akan memerintah semua wilayah yang engkau kehendaki. Jika engkau taat kepada-Ku dengan sepenuhnya, hidup menurut hukum-Ku, melaksanakan perintah-Ku, serta menyenangkan hati-Ku, seperti hamba-Ku Daud dahulu, Aku akan sentiasa menyertai engkau. Aku akan menjadikan engkau raja Israel dan Aku akan memastikan agar keturunanmu meneruskan kerajaanmu sebagaimana yang Aku lakukan bagi Daud. Oleh sebab dosa Salomo, Aku akan menghukum keturunan Daud, tetapi tidak untuk selamanya.’ ” Raja Salomo cuba membunuh Yerobeam apabila berita itu sampai kepada baginda, tetapi Yerobeam lari kepada Raja Sisak di Mesir, lalu tinggal di sana sehingga Raja Salomo mangkat.

1 RAJA-RAJA 11:1-40 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Di samping puteri Firaun, Raja Salomo turut mencintai ramai perempuan asing, iaitu perempuan Moab, Amon, Edom, Sidon, dan Het. Mereka itu berasal daripada bangsa-bangsa yang telah difirmankan TUHAN kepada orang Israel: “Jangan kamu menikahi mereka dan jangan mereka bercampur-baur dengan kamu. Mereka pasti membuat hatimu menyimpang untuk mengikuti tuhan mereka.” Namun demikian, Salomo terpaut pada mereka kerana cinta. Dia mempunyai tujuh ratus orang isteri keturunan bangsawan dan tiga ratus orang gundik. Lalu para isterinya itu menyesatkan hatinya. Ketika Salomo sudah tua, para isterinya menyimpangkan hatinya untuk mengikuti tuhan-tuhan lain, sehingga hatinya tidak lagi tulus kepada TUHAN, Allahnya, seperti hati Daud, ayahnya. Salomo mengikuti Asytoret, iaitu dewi orang Sidon, dan juga Milkom, dewa kejijikan sembahan orang Amon. Demikianlah Salomo melakukan apa yang jahat di mata TUHAN dan tidak sepenuhnya mengikuti TUHAN seperti Daud, ayahnya. Lalu Salomo membina bukit pemujaan bagi Kamos, dewa kejijikan sembahan orang Moab, di gunung di sebelah timur Yerusalem, juga bagi Molokh, dewa kejijikan sembahan bani Amon. Demikian pulalah dilakukannya bagi semua isterinya, iaitu perempuan asing yang membakar dupa dan mempersembahkan korban kepada tuhan mereka. Maka TUHAN pun murka kepada Salomo, kerana hatinya menyimpang daripada TUHAN, Allah Israel, yang telah menampakkan diri kepadanya dua kali dan yang telah memberinya perintah supaya dia tidak mengikuti tuhan-tuhan lain. Dia tidak berpegang teguh pada apa yang diperintahkan TUHAN kepadanya. Lalu berfirmanlah TUHAN kepada Salomo, “Kerana begitu kelakuanmu dan engkau tidak berpegang teguh pada perjanjian-Ku serta segala ketetapan-Ku yang telah Kuperintahkan kepadamu, maka Aku pasti mengoyakkan kerajaan itu daripadamu dan mengurniakannya kepada seorang pegawaimu. Namun demikian, Aku tidak akan melakukannya pada masa hidupmu kerana Daud, ayahmu. Aku akan mengoyakkannya daripada tangan anakmu. Meskipun begitu, Aku tidak akan mengoyakkan seluruh kerajaan itu. Satu suku akan Kukurniakan kepada anakmu kerana Daud, hamba-Ku, dan kerana Yerusalem yang telah Kupilih.” Kemudian TUHAN membangkitkan seorang seteru bagi Salomo, iaitu Hadad, orang Edom. Dia berasal daripada keturunan raja Edom. Dahulu, pada waktu Daud berada di Edom, Yoab panglima tenteranya pergi menguburkan kalangan yang terbunuh dan menewaskan semua lelaki di Edom. Yoab dan semua orang Israel tinggal di sana selama enam bulan sehingga dia melenyapkan semua lelaki di Edom. Hadad melarikan diri bersama dengan beberapa orang Edom, iaitu pegawai ayahnya, ke Mesir. Pada waktu itu Hadad masih muda belia. Mereka berangkat dari Midian, lalu sampai ke Paran. Dari Paran mereka membawa serta beberapa orang, lalu sampailah mereka di Mesir. Mereka menghadap Firaun, raja Mesir, lalu raja memberinya sebuah rumah, menentukan peruntukan makanannya, dan memberikan sebidang tanah kepadanya. Firaun sangat berkenan kepada Hadad, sehingga dia memberinya seorang isteri, iaitu adik isterinya sendiri, adik permaisuri Tahpenes. Adik Tahpenes itu melahirkan bagi Hadad seorang anak lelaki, Genubat namanya. Tahpenes menyapihnya di istana Firaun, dan Genubat dibesarkan di istana Firaun, di antara anak Firaun. Ketika Hadad mendengar di Mesir bahawa Daud telah dibaringkan bersama-sama nenek moyangnya dan bahawa Yoab, panglima tentera itu, sudah mati, berkatalah Hadad kepada Firaun, “Izinkanlah hamba pergi. Hamba hendak pulang ke negeri hamba.” Tanya Firaun kepadanya, “Apakah kekurangan engkau bersama denganku di sini, sehingga tiba-tiba engkau ingin pulang ke negerimu?” Jawabnya, “Tidak ada kekurangan apa-apa, tetapi mohon izinkan hamba pergi.” Kemudian Allah membangkitkan seorang lawan lagi bagi Salomo, iaitu Rezon anak Elyada. Orang ini melarikan diri daripada tuannya, iaitu Hadadezer, raja Zoba. Dikumpulkannya sejumlah orang, lalu dia menjadi pemimpin suatu gerombolan. Ketika Daud membunuh orang Zoba, pergilah mereka ke Damsyik. Mereka tinggal di sana dan mendirikan kerajaan di Damsyik. Dia menjadi lawan orang Israel seumur hidup Salomo dan menambahi kesusahan yang dibuat oleh Hadad. Dia yang amat membenci orang Israel itu bertakhta atas Aram. Yerobeam anak Nebat, seorang Efraim dari Zereda, seorang pegawai Salomo (nama ibunya ialah Zerua, seorang balu), juga menentang dan memberontak terhadap raja. Inilah alasan mengapa dia memberontak terhadap raja: Salomo membina Milo dan menutup lubang tembok Kota Daud, ayahnya. Yerobeam memang seorang yang sangat berkemahiran. Ketika Salomo melihat bahawa pemuda itu rajin bekerja, dia mengangkatnya untuk menjadi pengawas atas semua tukang pikul daripada keturunan kaum Yusuf. Suatu kali, ketika Yerobeam keluar dari Yerusalem, nabi Ahia, orang Silo itu, menemui dia di jalan. Ahia mengenakan sehelai pakaian baru, dan mereka berdua sahaja di padang. Ahia mencengkam pakaian baru yang dikenakannya itu dan mengoyakkannya untuk menjadi dua belas cebisan. Katanya kepada Yerobeam, “Ambillah untukmu sepuluh cebisan, kerana beginilah firman TUHAN, Allah Israel, ‘Sesungguhnya, Aku akan mengoyakkan kerajaan itu daripada tangan Salomo dan akan mengurniaimu sepuluh suku. Tetapi satu suku akan tetap padanya kerana Daud, hamba-Ku, dan kerana Yerusalem, kota yang telah Kupilih daripada semua suku Israel. Hal ini terjadi kerana dia telah meninggalkan Aku dan sujud menyembah Asytoret, dewi orang Sidon, dan Kamos, tuhan orang Moab, serta Milkom, tuhan bani Amon. Dia tidak hidup menurut jalan-Ku dengan melakukan apa yang benar di mata-Ku dan berpegang teguh pada segala ketetapan-Ku serta peraturan-Ku seperti Daud, ayahnya. Namun demikian, Aku tidak akan mengambil seluruh kerajaan itu daripada tangannya. Aku akan membiarkan dia menjadi pemimpin seumur hidupnya kerana Daud, hamba-Ku yang telah Kupilih, yang berpegang teguh pada segala perintah-Ku dan ketetapan-Ku. Aku akan mengambil kerajaan itu daripada tangan anaknya dan akan mengurniakan sepuluh suku kepadamu. Kepada anaknya Aku akan mengurniakan satu suku, supaya sentiasa ada suatu pelita bagi Daud, hamba-Ku, di hadirat-Ku di Yerusalem, kota yang telah Kupilih untuk menegakkan nama-Ku di sana. Engkau Kupilih untuk bertakhta atas semua yang dikehendaki hatimu. Engkau akan menjadi raja atas Israel. Jika engkau mendengar semua yang Kuperintahkan kepadamu, hidup menurut jalan-Ku, dan melakukan apa yang benar di mata-Ku dengan berpegang teguh pada segala ketetapan-Ku serta perintah-Ku seperti yang telah dilakukan oleh Daud, hamba-Ku, maka Aku akan menyertai engkau, akan membina bagimu suatu keluarga yang teguh seperti yang telah Kubina bagi Daud, dan akan mengurniakan orang Israel kepadamu. Untuk itu Aku akan merendahkan keturunan Daud, tetapi bukan untuk selama-lamanya.’ ” Salomo berikhtiar membunuh Yerobeam, tetapi Yerobeam segera melarikan diri ke Mesir. Dia menghadap Sisak, raja Mesir, dan tinggal di Mesir sampai Salomo mati.