1 RAJA-RAJA 10:1-13

1 RAJA-RAJA 10:1-13 Alkitab Berita Baik (BM)

Ratu negeri Syeba mendengar tentang kemasyhuran Raja Salomo. Maka ratu itu berangkat ke Yerusalem untuk menguji Raja Salomo dengan pertanyaan-pertanyaan yang sukar. Ratu itu datang bersama dengan banyak pengiring serta unta-unta dengan muatan rempah, batu permata, dan emas yang banyak sekali. Apabila ratu itu berjumpa dengan Raja Salomo, ratu itu mengemukakan kepada Raja Salomo semua pertanyaan yang dapat difikirkannya. Raja Salomo menjawab semua pertanyaan ratu itu. Tiada satu pun yang terlalu sukar bagi Raja Salomo. Ratu negeri Syeba mendengar sendiri kebijaksanaan Raja Salomo dan melihat istana yang dibina oleh Raja Salomo. Ratu negeri Syeba melihat tata kerja para pegawai istana, pakaian seragam, dan perumahan mereka. Ratu itu nampak makanan yang dihidangkan, dan para pelayan yang melayani Raja Salomo pada masa perayaan; ratu itu juga melihat korban-korban yang dipersembahkan oleh Raja Salomo di Rumah TUHAN. Semua itu membuat ratu negeri Syeba kagum dan terpesona. Oleh itu ratu negeri Syeba bertitah kepada Raja Salomo, “Memang benar apa yang beta dengar di negeri beta tentang tuanku dan kebijaksanaan tuanku! Tetapi beta tidak percaya sebelum beta datang dan melihat semuanya dengan mata beta sendiri. Tetapi apa yang beta dengar itu tidak pun separuh daripada apa yang beta nampak sekarang. Kebijaksanaan dan kekayaan tuan lebih besar daripada apa yang telah beta dengar. Berbahagialah isteri-isteri tuanku! Berbahagialah para pekerja yang sentiasa melayani tuanku, kerana mereka berpeluang mendengar kata-kata bijak yang tuanku ucapkan! Terpujilah TUHAN, Allah tuanku! Dia telah menunjukkan bahawa Dia berkenan kepada tuanku dengan menjadikan tuanku raja Israel. Oleh sebab kasih-Nya kekal terhadap Israel, Dia telah menjadikan tuanku raja mereka supaya tuanku dapat melaksanakan hukum dan keadilan.” Ratu negeri Syeba mempersembahkan hadiah-hadiah yang telah dibawanya kepada Raja Salomo, iaitu lebih daripada 4,000 kilogram emas, dan rempah serta batu permata yang banyak sekali. Rempah yang diberikan oleh ratu itu kepada Raja Salomo adalah yang terbanyak yang pernah diterima oleh Raja Salomo. ( Kumpulan kapal Raja Hiram yang membawa emas dari Ofir, juga membawa banyak kayu cendana dan batu permata dari sana. Raja Salomo menggunakan kayu itu untuk membuat susuran bagi Rumah TUHAN dan istananya, dan juga untuk membuat kecapi dan gambus bagi para pemuzik. Kayu cendana itu kayu cendana yang terbaik yang pernah dibawa ke Israel. Sejak itu, kayu cendana yang sebaik itu tidak pernah dilihat lagi.) Selain daripada hadiah-hadiah yang biasa diberikan oleh Raja Salomo, raja juga memberikan apa sahaja yang diminta oleh ratu negeri Syeba. Kemudian ratu itu dan semua pengiringnya pulang ke negeri Syeba.

1 RAJA-RAJA 10:1-13 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Setelah ratu negeri Syeba mendengar khabar tentang kemasyhuran Salomo dalam hal yang berkaitan dengan nama TUHAN, datanglah dia untuk menguji Salomo dengan teka-teki. Dia datang ke Yerusalem dengan rombongan yang amat besar dan unta-unta yang mengangkut rempah-ratus, serta emas dan batu permata yang sangat banyak. Ketika dia bertemu dengan Salomo, dia pun bercakap dengan Salomo tentang semua yang ada dalam benaknya. Salomo menjawab semua pertanyaannya. Bagi raja, tidak ada hal tersembunyi yang tidak dapat dijelaskannya kepada ratu itu. Maka setelah ratu negeri Syeba melihat segala kebijaksanaan Salomo, istana yang dibinanya, santapan di mejanya, cara duduk pegawainya, cara pelayannya melayani dan berpakaian, jururasa santapannya, dan korban bakaran yang dipersembahkannya di Bait TUHAN, dia pun sangat takjub. Katanya kepada raja, “Ternyata benar khabar yang kudengar di negeriku tentang tuan dan tentang kebijaksanaan tuan. Aku tidak mempercayai khabar-khabar itu sampai aku datang dan melihatnya dengan mata kepalaku sendiri. Sesungguhnya, apa yang dikhabarkan kepadaku belumlah sampai separuh daripada semuanya. Kebijaksanaan dan kemakmuran tuan melebihi khabar yang kudengar. Berbahagialah anak buah tuan dan berbahagialah pegawai tuan ini, yang sentiasa melayani tuan serta mendengar kebijaksanaan tuan. Segala puji bagi TUHAN, Allahmu, yang telah berkenan kepada tuan, sehingga Dia mendudukkan tuan di atas takhta kerajaan Israel! Kerana TUHAN mengasihi Israel untuk selama-lamanya, maka diangkat-Nya tuan untuk menjadi raja, supaya tuan menegakkan keadilan dan perbenaran.” Kemudian ratu memberi raja seratus dua puluh talenta emas, rempah-ratus dan batu permata yang sangat banyak. Tidak pernah datang lagi rempah-ratus sebanyak pemberian ratu negeri Syeba kepada Raja Salomo itu. Tambahan pula angkatan kapal Hiram, yang mengangkut emas dari Ofir, membawa dari Ofir banyak sekali kayu cendana dan batu permata. Daripada kayu cendana itu raja membuat anjungan untuk Bait TUHAN dan istana raja, serta kecapi dan gambus bagi penyanyi. Kayu cendana yang demikian itu tidak pernah datang lagi dan tidak pernah terlihat lagi sampai hari ini. Raja Salomo memberi ratu negeri Syeba semua yang dikehendakinya dan yang dimintanya, selain apa yang telah diberikan raja kepadanya selaras dengan kemurahan hati Raja Salomo. Lalu ratu itu berangkat pulang ke negerinya bersama-sama para pegawainya.