1 RAJA-RAJA 1:5,32-37
1 RAJA-RAJA 1:5-6 Alkitab Berita Baik (BM)
Selepas Absalom meninggal, Adonia, putera Raja Daud dan Hagit, menjadi putera yang tertua. Adonia seorang pemuda yang sangat kacak. Raja Daud, ayahandanya, tidak pernah memarahi Adonia walaupun dia berbuat salah. Adonia ingin sekali menjadi raja. Oleh itu dia melengkapi dirinya dengan kereta kuda, pasukan berkuda, dan lima puluh orang sebagai pengawal peribadinya.
1 RAJA-RAJA 1:32-37 Alkitab Berita Baik (BM)
Kemudian Raja Daud memanggil Zadok, Natan, dan Benaya. Apabila mereka menghadap, Raja Daud bertitah kepada mereka, “Bawalah Salomo, putera beta, ke mata air di Gihon. Biarlah dia menunggangi baghal beta dan bawalah bersama-sama kamu para pegawai istana. Di sana hendaklah Zadok dan Natan melantik Salomo menjadi raja Israel. Selepas itu tiuplah trompet dan bersoraklah, ‘Daulat Tuanku Raja Salomo!’ Iringilah dia kembali ke sini supaya dia menduduki takhta beta. Dia akan menggantikan beta sebagai raja kerana dialah yang telah beta pilih untuk menjadi penguasa di Israel dan Yehuda.” “Baik, tuanku,” jawab Benaya. “Semoga perkara ini disahkan TUHAN, Allah tuanku. Sebagaimana TUHAN telah menyertai tuanku, semoga Dia juga menyertai Salomo dan menjadikan kerajaannya lebih makmur daripada kerajaan tuanku.”
1 RAJA-RAJA 1:5 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Suatu ketika, Adonia anak Hagit meninggikan diri dengan berkata, “Aku akan menjadi raja.” Lalu dia pun memperlengkapkan diri dengan banyak rata, pasukan berkuda, dan lima puluh orang yang berlari di hadapannya.
1 Raja-Raja 1:32-37 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Kemudian Raja Daud berkata, “Panggillah Imam Zadok, nabi Natan, dan Benaya anak Yoyada untuk menghadap aku.” Maka datanglah mereka menghadap raja. Kata raja kepada mereka, “Bawalah pegawai aku dan naikkanlah Salomo, anakku, ke atas baghal kenderaanku sendiri, lalu hantarlah dia ke Gihon. Di sana Imam Zadok dan nabi Natan harus melantik dia untuk menjadi Raja Israel. Kemudian tiuplah sangkakala sambil berseru, ‘Hidup Raja Salomo!’ Setelah itu, kamu harus mengiringi dia pulang ke mari. Dia akan masuk dan duduk di atas takhtaku, kerana dia harus menaiki takhta untuk menggantikan aku. Aku telah menetapkan dia untuk menjadi pemimpin atas Israel dan atas Yehuda.” Jawab Benaya anak Yoyada kepada raja, “Amin! Demikianlah kiranya firman TUHAN, Allah Tuanku Raja. Seperti TUHAN telah menyertai Tuanku Raja, semoga demikianlah jua Dia menyertai Salomo dan menjadikan takhtanya lebih agung daripada takhta Tuanku Raja Daud.”