1 KORINTUS 3:18-23
1 KORINTUS 3:18-23 Alkitab Berita Baik (BM)
Janganlah sesiapa pun menipu diri sendiri. Jika sesiapa antara kamu menganggap dirinya bijak menurut penilaian dunia ini, biarlah dia menjadi bodoh supaya dia menjadi benar-benar bijaksana. Hal itu demikian kerana apa yang dianggap oleh dunia sebagai kebijaksanaan, sebenarnya suatu kebodohan di sisi Allah. Di dalam Alkitab tertulis, “Allah memerangkap orang bijak dengan kepintaran mereka sendiri.” Ada tertulis juga, “Tuhan tahu bahawa fikiran orang bijak itu sia-sia.” Oleh itu, janganlah seorang pun membanggakan perbuatan manusia. Sebenarnya semuanya sudah diberikan kepada kamu: Paulus, Apolos, Petrus, dunia ini, kehidupan dan kematian, zaman ini ataupun zaman akan datang. Semuanya milik kamu, dan kamu milik Kristus, dan Kristus milik Allah.
1 KORINTUS 3:18-23 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
Maka janganlah sa’orang jua pun mŭnipukan dirinya sŭndiri. Maka jikalau barang sa’orang diantara kamu tampak pandie dalam dunia ini, maka biarlah iya mŭnjadi bodoh, supaya bulih mŭnjadi pandie. Kŭrna kapandiean dunia ini bodoh adanya kapada Allah. Sŭbab sudah tŭrsurat, Bahwa iya mŭnangkap akan orang orang pandie itu dŭngan tipu dayanya sŭndiri. Dan lagi pula, Bahwa Tuhan mŭngatahui akan fikir fikiran sagala orang pandie itu, iya itu sia sia adanya. Maka sŭbab itu janganlah sa’orang pun mŭmŭgahkan diri sŭbab manusia, kŭrna sagala pŭrkara itu kamu ampunya dia; Baik Paulus, baik Apollos, baik Siphas, baik dunia, baik kahidopan, baik kŭmatian, baik pŭrkara yang ada skarang, baik pŭrkara yang akan datang; bahwa sŭmuanya itu kamu ampunya dia Maka kamu ini Almasih punya; dan Almasih itu Allah punya.
1 KORINTUS 3:18-23 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Janganlah menipu diri. Jika sesiapa dalam kalanganmu menganggap dirinya bijak berdasarkan penilaian dunia, dia harus menjadikan dirinya bodoh di mata dunia supaya dia benar-benar bijak; kerana apa yang dipandang dunia sebagai kebijaksanaan sebenarnya kebodohan di mata Allah. Telah tersurat: “Allah memerangkap orang bijak dengan kecerdikan mereka sendiri.” Juga tersurat: “Tuhan mengetahui fikiran orang bijak itu sia-sia.” Jadi, janganlah bermegah dengan perbuatan manusia, kerana segala-galanya telah dikurniakan kepadamu. Paulus, Apolos, Kefas, dunia ini, hidup dan mati, zaman ini dan zaman akan datang, segala-galanya milikmu, dan kamu milik Kristus, dan Kristus milik Allah.