1 KORINTUS 16:10-14
1 KORINTUS 16:10-14 Alkitab Berita Baik (BM)
Jika Timotius datang, sambutlah dia dengan baik, kerana dia pun seperti aku yang bekerja untuk Tuhan. Janganlah sesiapa pun memandang rendah kepadanya, tetapi bantulah dia meneruskan perjalanannya untuk kembali kepadaku dengan sejahtera, kerana aku menantikan kedatangannya bersama dengan saudara-saudara yang lain. Sekarang tentang saudara kita, Apolos. Sudah beberapa kali aku menganjurkan dia melawat kamu bersama dengan saudara-saudara yang lain. Tetapi dia tidak yakin bahawa dia harus pergi sekarang. Jika ada peluang kelak, tentu dia akan datang. Hendaklah kamu waspada dan teguh dalam hidup kamu sebagai orang Kristian. Hendaklah kamu tabah hati dan sungguh-sungguh percaya kepada Tuhan. Lakukanlah semua kerja kamu dengan kasih.
1 KORINTUS 16:10-14 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
Maka skarang pun jikalau datang Timothius kŭlak, tengoklah biar iya bŭrsama sama dŭngan kamu janganlah iya takut: kŭrna iya mŭngŭrjakan pŭkŭrjaan Tuhan, spŭrti aku juga adanya. Maka sŭbab itu janganlah kiranya barang sa’orang mŭmandang kurang akan dia: mŭlainkan handaklah kamu mŭnghantarkan dia dŭngan slamatnya, supaya iya datang kapadaku: kŭrna aku mŭnantikan dia bŭsŭrta dŭngan saudara saudara itu. Adapun deri hal saudara kita Apollos itu, aku mŭmintalah banyak banyak padanya supaya iya pun datang kapada kamu sŭrta sagala saudara itu: tŭtapi kahandaknya skali kali tiada mahu pŭrgi pada masa ini; tŭtapi nanti iya sŭnang kŭlak iya bulih datang. Jagalah kamu baik baik, dan bŭrdirilah tŭtap dŭngan iman, dan bŭrlakulah kamu sapŭrti laki laki, dan biarlah kuat. Maka biarla sagala halmu jadi dŭngan kasihan.
1 KORINTUS 16:10-14 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Jika Timotius datang ke tempatmu, jangan biarkan dia berasa takut tinggal dalam kalanganmu, kerana dia juga melakukan pekerjaan untuk Tuhan, sama sepertiku. Oleh itu, jangan sesiapa memandang ringan kepadanya. Setiap orang hendaklah menolongnya, supaya dia dapat meneruskan perjalanan dengan sejahtera dan datang menemuiku, kerana aku dan beberapa orang saudara lain menunggu kedatangannya. Tentang saudara kita Apolos, aku telah mendesaknya mengunjungimu bersama saudara-saudara yang lain, tetapi dia enggan pergi sekarang ini. Jika ada kesempatan, dia akan datang juga. Berhati-hatilah, berdiri teguh dalam iman, sentiasa berani dan gigih. Lakukan segala-galanya dalam kasih.