1 KORINTUS 15:50-58
1 KORINTUS 15:50-58 Alkitab Berita Baik (BM)
Saudara-saudaraku, inilah maksudku: Tubuh yang dijadikan daripada daging dan darah, tidak dapat masuk ke Dunia Baru Allah; tubuh yang fana tidak dapat menjadi abadi. Ketahuilah rahsia ini: Tidak semua daripada kita akan mati. Tetapi ketika trompet dibunyikan untuk kali terakhir, dengan tiba-tiba dan dalam sekejap mata kita semua akan diubah. Hal itu berlaku, kerana ketika trompet dibunyikan, orang mati akan dibangkitkan dengan tubuh yang abadi, dan kita semua akan diubah. Tubuh yang fana harus diganti dengan tubuh yang abadi. Tubuh yang akan mati harus diganti dengan tubuh yang tidak dapat mati. Apabila tubuh yang fana sudah diganti dengan tubuh yang abadi, dan tubuh yang akan mati sudah diganti dengan tubuh yang tidak dapat mati, maka berlakulah apa yang tertulis di dalam Alkitab, “Kematian sudah dilenyapkan, dan kemenangan sudah tercapai!” “Hai maut, di manakah kemenanganmu? Hai maut, di manakah sengatmu?” Sengat maut itu dosa, dan dosa mendapat kuasa daripada Taurat. Tetapi kita bersyukur kepada Allah yang memberikan kemenangan kepada kita melalui Yesus Kristus Tuhan kita! Oleh itu, saudara-saudara yang aku kasihi, hendaklah kamu teguh dan kukuh. Hendaklah kamu rajin bekerja untuk Tuhan, kerana kamu tahu bahawa semua yang kamu lakukan untuk Tuhan, tidak sia-sia.
1 KORINTUS 15:50-58 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
Maka skarang inilah pŭrkataanku saudara saudara, adapun daging dan darah itu tiada kŭlak mŭmpusakai krajaan Allah, atau kabusokkan itu pun kŭlak tiada mŭmpusakai yang tiada busok. Tengoklah, aku mŭnunjokkan pada kamu suatu rahsia, maka tiada kamu skalian ini kŭlak akan bŭradu, mŭlainkan kami skalian akan diubahkan adanya. Dŭngan sŭsaat juga, dŭngan sŭkŭjap mata juga, pada sangkakala yang akhir, kŭrna sangkakala itu akan bŭrbunyi, maka orang mati akan dibangkitkan dŭngan tiada kabusokkan, dan kami pun akan diubahkan. Kŭrna kabusokkan ini dapat tiada akan mŭmakie kŭlak yang tiada busok itu, dan kŭmatian ini akan mŭmakie kŭlak yang tiada mati. Maka dŭmkianlah apabila yang kabusokkan itu tŭlah mŭmakie yang tiada busok itu, dan yang kŭmatian ini tŭlah mŭmakie yang tiada mati itu, maka tŭtkala itulah kŭlak akan mŭnjadi gŭnap pŭrkataan yang tŭlah tŭrsurat itu, Bahwa maut itu tŭlah ditŭlankan dŭngan kamŭnangan. Hie maut, dimanakah sŭngatmu? hie kubor, dimanakah kamŭnanganmu? Adapun sŭngat maut itulah dosa, dan kwasa dosa itulah hukum. Tŭtapi shukorlah bagie Allah yang tŭlah mŭngurniakan pada kami kamŭnangan dŭngan bŭrkat Tuhan kami Isa Almasih. Maka sŭbab itulah hie saudara saudara yang kukasih, tŭtaplah kamu dŭngan tiada bŭrgŭrak, sŭrta slalu bŭrtambah tambahlah dalam pŭkŭrjaan Tuhan, kŭrna sŭbab kamu tŭlah mŭngŭtahui, bahwa lŭlah kamu itu tiadalah sia sia pada Tuhan.
1 KORINTUS 15:50-58 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Saudara-saudaraku, aku ingin mengatakan kepadamu, daging dan darah tidak akan mendapat tempat dalam kerajaan Allah, dan sesuatu yang boleh binasa tidak akan mendapat tempat dalam ketidakbinasaan. Dengarlah, aku memberitahumu suatu rahsia: Tidak kita semua akan mati, tetapi semua akan diubah serta-merta, dalam sekelip mata, ketika berbunyinya sangkakala yang terakhir. Pada saat itu orang mati akan dibangkitkan dalam ketidakbinasaan, dan kita yang masih hidup akan diubah, kerana yang boleh binasa ini mesti mengenakan bentuk yang tidak boleh binasa, dan yang boleh mati ini mesti mengenakan bentuk yang tidak boleh mati. Setelah ini berlaku, terbuktilah firman: “Maut telah ditelan dalam kemenangan.” “Wahai Maut, di manakah kemenanganmu? Wahai Maut, di manakah sengatmu?” Sengat maut ialah dosa, manakala kuasa dosa ialah Taurat. Tetapi syukurlah kepada Allah yang telah memberi kita kemenangan melalui Tuhan kita Yesus Kristus. Oleh itu, saudara-saudara yang kukasihi, teguhkan pendirian, jangan berganjak, dan bersungguh-sungguhlah dalam pengabdianmu kepada Tuhan. Kamu tahu bahawa dalam Tuhan, jerih lelahmu tidak akan sia-sia.