1 KORINTUS 15:42-49
1 KORINTUS 15:42-49 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Demikianlah dengan kebangkitan orang mati: Tubuh disemaikan dalam kebinasaan, dan dibangkitkan dalam ketidakbinasaan; disemaikan dalam kehinaan, dibangkitkan dalam kemuliaan; disemaikan dalam kelemahan, dibangkitkan dalam kekuatan; disemaikan dalam tubuh jasmani, dibangkitkan dalam tubuh rohani. Jika ada tubuh jasmani, maka adalah juga tubuh rohani. Sebagaimana telah tersurat, “Adam, manusia yang pertama, menjadi makhluk yang hidup,” manakala Adam yang terakhir menjadi roh yang menghidupkan. Yang pertama bukan rohani tetapi jasmani, dan yang kemudian adalah yang rohani; kerana manusia yang pertama berasal daripada debu bumi, tetapi manusia yang kedua berasal daripada syurga. Seperti manusia yang berasal daripada debu bumi itu, begitulah semua orang yang berasal daripada debu bumi. Dan seperti manusia daripada syurga itu, begitulah semua orang yang syurgawi. Sebagaimana kita telah memakai rupa yang berasal daripada debu bumi itu, kita akan memakai rupa manusia yang berasal daripada syurga.
1 KORINTUS 15:42-49 Alkitab Berita Baik (BM)
Demikianlah halnya kelak dengan orang mati yang dihidupkan semula. Pada masa tubuh itu dikuburkan, tubuh itu fana; pada masa tubuh itu dibangkitkan, tubuh itu hidup selama-lamanya. Pada masa tubuh itu dikuburkan, keadaannya buruk dan lemah; pada waktu tubuh itu dibangkitkan, tubuh itu cantik dan kuat. Pada masa dikuburkan, tubuh itu tubuh jasmani; pada masa dibangkitkan, tubuh itu tubuh rohani. Jika ada tubuh jasmani, maka ada tubuh rohani juga. Di dalam Alkitab tertulis, “Adam, manusia pertama itu diciptakan sebagai makhluk hidup,” tetapi Adam yang terakhir itu Roh yang memberikan hidup. Yang jasmani datang lebih dahulu, kemudian datanglah yang rohani. Adam yang pertama dijadikan daripada tanah di bumi, tetapi Adam yang kedua berasal dari syurga. Orang yang tergolong orang dunia adalah seperti Adam yang dijadikan daripada tanah. Tetapi orang yang tergolong orang syurga adalah seperti Dia yang datang dari syurga. Sebagaimana kita sekarang seperti orang yang dijadikan daripada tanah, maka kelak kita akan menjadi seperti Dia yang dari syurga itu.
1 KORINTUS 15:42-49 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
Maka dŭmkianlah juga adanya deri hal kŭbangkitan orang mati itu; adapun iya itu ditanamkan dŭngan kabusokkan, maka dibangkitkan itu dŭngan tiada busok. Ditanam dŭngan kahinaan, dan dibangkitkan dŭngan kamuliaan; ditanamkan dŭngan kalŭmahan, dan dibangkitkan dŭngan kwasa. Ditanam dŭngan ka’adaan bŭrnafas, dan dibangkitkan dŭngan ka’adaan rohani; maka adalah yang ka’adaan bŭrnafas, dan ada yang ka’adaan rohani. Kŭrna dŭmkianlah tŭlah tŭrsurat, Adapun manusia yang pŭrtama Adam itu tŭlah dijadikan dŭngan nyawa yang hidop, maka Adam yang akhir itu tŭlah jadi dŭngan roh yang mŭnghidopkan. Tŭtapi yang pŭrtama itu bukannya rohani, mŭlainkan bŭrnafas; dan kumdian deri pada itu, iya itulah rohani adanya. Adapun manusia yang pŭrtama itu deripada tanah, maka tanahlah adanya; tŭtapi manusia yang kadua itu Tuhan deri shorga. Maka spŭrti yang deri pada tanah itu, dŭmkian pula sagala yang deripada tanah itu; maka spŭrti yang deri pada shorga itu, dŭmkian pula sagala yang deripada shorga adanya. Maka spŭrti kami sudah dijadikan srupa dŭngan yang deripada tanah itu, dŭmkian pula kami akan dijadikan srupa dŭngan yang deripada shorga itu.