1 KORINTUS 15:35-44
1 KORINTUS 15:35-44 Alkitab Berita Baik (BM)
Mungkin orang bertanya, “Bagaimanakah orang mati dihidupkan semula? Tubuh apakah yang akan dimiliki mereka?” Kamu sungguh bodoh! Apabila kamu menanam benih di tanah, benih itu tidak akan tumbuh kecuali benih itu mati dahulu. Yang kamu tanam di tanah itu benih semata-mata - mungkin benih gandum ataupun benih lain - bukan seluruh pokok yang akan tumbuh kelak. Allah memberikan benih itu bentuk seperti yang dikehendaki-Nya sendiri. Setiap benih diberikan bentuk yang sendiri-sendiri. Tubuh makhluk hidup tidak semuanya sama; tubuh manusia, haiwan, burung, dan ikan semuanya berbeza. Demikian juga dengan benda-benda yang di langit dan benda-benda yang di bumi. Keindahan benda-benda yang di langit berbeza dengan keindahan benda-benda yang di bumi. Keindahan matahari lain daripada keindahan bulan. Bintang-bintang pun mempunyai keindahannya sendiri. Sebenarnya bintang-bintang pun mempunyai keindahan yang berlainan. Demikianlah halnya kelak dengan orang mati yang dihidupkan semula. Pada masa tubuh itu dikuburkan, tubuh itu fana; pada masa tubuh itu dibangkitkan, tubuh itu hidup selama-lamanya. Pada masa tubuh itu dikuburkan, keadaannya buruk dan lemah; pada waktu tubuh itu dibangkitkan, tubuh itu cantik dan kuat. Pada masa dikuburkan, tubuh itu tubuh jasmani; pada masa dibangkitkan, tubuh itu tubuh rohani. Jika ada tubuh jasmani, maka ada tubuh rohani juga.
1 KORINTUS 15:35-44 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
Tŭtapi ada juga orang yang kŭlak bŭrkata, Bagimanakah halnya orang mati itu akan dibangkitkan, dan dŭngan tuboh yang manakah marika itu akan kluar? Hie orang yang bodoh, barang pŭrkara yang angkau tanam itu tiada akan dihidopkan, mŭlainkan sŭbŭlom iya mati. Maka yang angkau tanam itu, bukannya angkau mŭnanam ka’adaan yang akan bŭrbangkit itu, mŭlainkan sŭmata mata biji bijian juga, spŭrti kiranya biji gandam atau biji yang lain lain. Tŭtapi dibri Allah padanya satu ka’adaan spŭrti yang dikahandakinya, dan masing masing biji bijian itu dŭngan ka’adaannya sŭndiri. Maka sŭmua daging itu tiada bŭrsamaan adanya; tŭtapi lain daging manusia, dan lain daging binatang, dan lain daging ikan, dan lain daging burong burong. Dan ada bŭbrapa ka’adaan langit, dan bŭbrapa ka’adaan bumi, tŭtapi kamuliaan ka’adaan langit itu satu, dan kamuliaan ka’adaan bumi itu satu adanya. Maka adalah iya itu suatu kamuliaan matahari, dan suatu kamuliaan yang lain, iya itu bulan, dan lain kamuliaan bintang bintang, kŭrna kamulian sa’buah bintang itu bŭrlainan deripada bintang yang lain. Maka dŭmkianlah juga adanya deri hal kŭbangkitan orang mati itu; adapun iya itu ditanamkan dŭngan kabusokkan, maka dibangkitkan itu dŭngan tiada busok. Ditanam dŭngan kahinaan, dan dibangkitkan dŭngan kamuliaan; ditanamkan dŭngan kalŭmahan, dan dibangkitkan dŭngan kwasa. Ditanam dŭngan ka’adaan bŭrnafas, dan dibangkitkan dŭngan ka’adaan rohani; maka adalah yang ka’adaan bŭrnafas, dan ada yang ka’adaan rohani.
1 KORINTUS 15:35-44 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Mungkin ada yang menyoal, “Bagaimana caranya orang mati dibangkitkan? Dengan tubuh yang bagaimanakah mereka akan hidup?” Hai orang yang tidak berakal, sesuatu yang kamu semaikan tidak mungkin tumbuh jika tidak mati terlebih dahulu. Tambahan pula, yang kamu semaikan bukanlah seluruh tubuh tanaman, tetapi bijinya sahaja, contohnya biji gandum atau biji-bijiran lain. Tetapi kemudian Allah memberikan biji itu suatu tubuh, menurut kehendak-Nya. Setiap biji mempunyai tubuhnya yang tersendiri. Semua yang bernyawa tidak serupa. Rupa manusia berbeza dengan rupa binatang, rupa burung berlainan dengan rupa ikan. Ada benda di langit dan ada benda di bumi. Kemuliaan benda di langit berbeza dengan kemuliaan benda di bumi. Kemuliaan matahari berbeza dengan kemuliaan bulan, dan berlainan pula dengan kemuliaan bintang-bintang; manakala kemuliaan bintang-bintang berbeza antara satu sama lain. Demikianlah dengan kebangkitan orang mati: Tubuh disemaikan dalam kebinasaan, dan dibangkitkan dalam ketidakbinasaan; disemaikan dalam kehinaan, dibangkitkan dalam kemuliaan; disemaikan dalam kelemahan, dibangkitkan dalam kekuatan; disemaikan dalam tubuh jasmani, dibangkitkan dalam tubuh rohani. Jika ada tubuh jasmani, maka adalah juga tubuh rohani.