1 KORINTUS 15:3-11
1 KORINTUS 15:3-11 Alkitab Berita Baik (BM)
Apa yang aku sampaikan kepada kamu adalah apa yang sudah aku terima. Inilah perkara terpenting: Kristus mati kerana dosa kita, sesuai dengan yang tertulis di dalam Alkitab. Hal ini juga tertulis di dalam Alkitab: Dia dikuburkan dan pada hari ketiga Dia dihidupkan semula. Setelah itu Dia menampakkan diri kepada Petrus, dan kemudian kepada dua belas orang rasul. Sesudah itu Dia menampakkan diri kepada lebih daripada lima ratus orang pengikut-Nya sekaligus. Kebanyakan daripada mereka masih hidup, meskipun beberapa orang sudah meninggal. Sesudah itu Dia menampakkan diri juga kepada Yakobus dan kemudian kepada semua rasul. Terakhir sekali Dia juga menampakkan diri kepadaku, yang lahir bukan pada waktunya. Aku ini rasul yang paling tidak penting. Sebenarnya aku tidak layak disebut rasul, kerana aku sudah menganiaya jemaah Allah. Tetapi kerana rahmat Allah, aku menjadi seperti sekarang ini dan berkat-Nya kepadaku tidak sia-sia. Sebaliknya aku bekerja lebih keras daripada semua rasul yang lain. Sebenarnya hal itu bukan usahaku sendiri, tetapi usaha Allah yang mengasihi aku dan yang bekerja bersama-samaku. Oleh itu, sama ada aku yang mengkhabarkan Berita Baik kepada kamu ataupun rasul-rasul lain yang melakukannya, hal itu tidak penting. Kami semua mengisytiharkan perkhabaran yang sama dan kamu semua percaya kepadanya.
1 KORINTUS 15:3-11 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
Kŭrna sudah aku sŭrahkan pada kamu barang yang tŭlah kutrima mula mula, iya itu bagimana pri Almasih tŭlah mati ulih sŭbab dosa kami, spŭrti yang tŭrsŭbut dalam kitab Allah; Dan iya tŭlah ditanam, dan iya tŭlah bŭrbangkit pula pada hari yang katiga, spŭrti yang tŭrsurat dalam kitab Allah: Dan iya tŭlah klihatan kapada Kephas, kumdian kapada duablas umat: Kumdian deripada itu, iya tŭlah klihatan pula kapada lŭbih deripada lima ratus orang saudara pada skaligus; dan kŭbanyakkan lagi deripada orang orang itu yang ada tinggal sampie skarang, tŭtapi sŭparohnya itu tŭlah mangkat bŭradu. Kumdian deripada itu iya tŭlah klihatan kapada Yakob; dŭmkian kapada sagala rasul rasul itu. Maka pada akhirnya skali iya tŭlah klihatan padaku pun, spŭrti sa’orang anak yang dipranakkan lebih dahulu deripada waktunya. Kŭrna aku inilah ada tŭrhina deripada sagala rasul itu, maka aku ini tiada layak disŭbutkan rasul, sŭbab aku tŭlah mŭngannyayakan sidang jŭmaah Allah. Tŭtapi dŭngan anugrah Allah juga aku tŭlah jadi spŭrti yang ada ini: dan anugrahnya yang dibri padaku bukannya sia sia; tŭtapi aku tŭlah bŭrlŭlah tŭrlebih deripada sagala marika itu: tŭtapi bukannya aku, mŭlainkan anugrah Allah yang ada bŭsŭrta dŭngan aku. Maka sŭbab itu, baik aku, atau baik marika itu, maka dŭmkianlah juga kami tŭlah mŭngajar, dan dŭmkianlah juga kamu tŭlah pŭrchaya
1 KORINTUS 15:3-11 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Aku telah menyampaikan kepadamu hal-hal utama, yang telah kuterima sendiri: Bahawa Kristus telah mati untuk menebus dosa kita, sebagaimana tersurat dalam Kitab Suci; bahawa Dia telah dikuburkan, dan telah dibangkitkan pada hari yang ketiga, sebagaimana tersurat dalam Kitab Suci; dan bahawa Dia telah memperlihatkan diri-Nya kepada Petrus, kemudian kepada dua belas murid-Nya. Selepas itu, Dia memperlihatkan diri-Nya kepada saudara-saudara kita, lebih daripada lima ratus orang pada satu masa. Kebanyakan mereka masih hidup, dan ada yang sudah meninggal dunia. Seterusnya Dia memperlihatkan diri-Nya kepada Yakobus, kemudian kepada semua rasul-Nya. Akhir sekali Dia telah memperlihatkan diri-Nya kepadaku, yang seperti bayi yang dilahirkan sebelum masa; kerana akulah yang paling rendah antara rasul, malah aku tidak layak disebut rasul, kerana aku telah menganiaya jemaah Allah. Tetapi dengan kasih kurnia Allah, aku telah menjadi seperti diriku sekarang. Kasih kurnia-Nya yang telah dianugerahkan-Nya kepadaku tidaklah sia-sia, kerana aku telah bekerja lebih keras daripada mereka semua; sesungguhnya bukan aku yang melakukannya, tetapi kasih kurnia Allah yang bersamaku. Dengan demikian, baik aku mahupun mereka, begitulah yang kami khabarkan, dan begitulah yang kamu percaya.