1 KORINTUS 15:14-19
1 KORINTUS 15:14-19 Alkitab Berita Baik (BM)
Jika Kristus tidak dibangkitkan daripada kematian, maka berita yang kami khabarkan dan kepercayaan kamu kepada Kristus sia-sia belaka. Hal itu juga bererti kami berdusta tentang Allah, kerana kami berkata bahawa Allah sudah membangkitkan Kristus daripada kematian. Jika memang benar orang mati tidak dibangkitkan, maka Allah tidak membangkitkan Kristus daripada kematian. Jika orang mati tidak dibangkitkan, maka Kristus pun tidak dibangkitkan. Jika Kristus tidak dibangkitkan daripada kematian, maka kepercayaan kamu itu khayalan belaka dan kamu masih dikuasai dosa. Hal itu juga bererti orang yang percaya kepada Kristus dan yang sudah mati, semuanya tidak mempunyai harapan. Jika harapan kita kepada Kristus terbatas kepada hidup kita di dunia ini sahaja, maka kitalah yang paling malang antara semua orang di dunia ini!
1 KORINTUS 15:14-19 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
Shahadan jikalau Almasih itu tiada bangkit, nŭschaya sia sialah adanya pŭngajaran kami, dan lagi sia sialah adanya iman kamu pun. Bahkan, maka kami didapati mŭnjadi saksi saksi dusta kapada Allah; sŭbab kami tŭlah mŭngaku kŭrna Allah, bahwasanya iya tŭlah mŭmbangkitkan Almasih, yang tiada dibangkitkannya, jikalau sungguh orang mati itu tiada bŭrbangkit. Kŭrna jikalau kiranya orang mati itu tiada bŭrbangkit, nŭschaya Almasih pun tiadalah bŭrbangkit: Dan jikalau kiranya Almasih itu tiada dibangkitkan, nŭschaya sia sialah iman kamu; dan tinggallah lagi kamu dalam dosamu juga. Maka orang orang itupun yang tŭlah mangkat bŭradu dalam Almasih binasalah. Maka jikalau dalam hayat skarang ini sahja kami mŭnaroh harap akan Almasih, nŭschaya kamilah orang kŭna chilaka tŭrlebih deripada sagala manusia adanya.
1 KORINTUS 15:14-19 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Jika Kristus tidak dibangkitkan, maka sia-sialah perkhabaran kami dan sia-sialah imanmu. Kami juga ternyata sebagai saksi dusta kepada Allah, kerana kami telah membuat kesaksian bahawa Allah telah membangkitkan Kristus, sedangkan Allah tidak membangkitkan-Nya, kalaulah benar tiada kebangkitan selepas mati; kerana jika tiada kebangkitan selepas mati, maka Kristus tidaklah dibangkitkan. Dan jika Kristus tidak dibangkitkan, sia-sialah imanmu; dan kamu masih bergelumang dosa! Orang yang mati dalam Kristus juga tetap binasa. Sekiranya dalam hidup ini sahaja kita mempunyai harapan dalam Kristus, kitalah yang paling malang antara manusia!