1 KORINTUS 15:1-7
1 KORINTUS 15:1-7 Alkitab Berita Baik (BM)
Saudara-saudaraku, sekarang aku hendak mengingatkan kamu tentang Berita Baik yang aku khabarkan dahulu. Kamu menerimanya, dan kepercayaan kamu kepada Kristus berdasarkan Berita Baik itu. Itulah Berita Baik, perkhabaran yang aku beritakan kepada kamu. Berita Baik itu akan menyelamatkan kamu jika kamu berpegang kepadanya dengan teguh. Tetapi jika kamu tidak berpegang kepadanya dengan teguh, maka kepercayaan kamu sia-sia. Apa yang aku sampaikan kepada kamu adalah apa yang sudah aku terima. Inilah perkara terpenting: Kristus mati kerana dosa kita, sesuai dengan yang tertulis di dalam Alkitab. Hal ini juga tertulis di dalam Alkitab: Dia dikuburkan dan pada hari ketiga Dia dihidupkan semula. Setelah itu Dia menampakkan diri kepada Petrus, dan kemudian kepada dua belas orang rasul. Sesudah itu Dia menampakkan diri kepada lebih daripada lima ratus orang pengikut-Nya sekaligus. Kebanyakan daripada mereka masih hidup, meskipun beberapa orang sudah meninggal. Sesudah itu Dia menampakkan diri juga kepada Yakobus dan kemudian kepada semua rasul.
1 KORINTUS 15:1-7 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
TAMBAHAN pula, hie saudara saudara, bahwa aku mŭnyatakan padamu deri hal Injil yang aku tŭlah mŭmashorkan kapada kamu, iya itu yang tŭlah kamu pun trima, dan dŭngan itu juga kamu tŭtap. Maka deripadanyalah juga kamu bŭrulih slamat jikalau kiranya kamu mŭnaroh ingatan barang apa yang tŭlah kuajar kapadamu, lamun jangan kamu pŭrchaya dŭngan chuma chuma. Kŭrna sudah aku sŭrahkan pada kamu barang yang tŭlah kutrima mula mula, iya itu bagimana pri Almasih tŭlah mati ulih sŭbab dosa kami, spŭrti yang tŭrsŭbut dalam kitab Allah; Dan iya tŭlah ditanam, dan iya tŭlah bŭrbangkit pula pada hari yang katiga, spŭrti yang tŭrsurat dalam kitab Allah: Dan iya tŭlah klihatan kapada Kephas, kumdian kapada duablas umat: Kumdian deripada itu, iya tŭlah klihatan pula kapada lŭbih deripada lima ratus orang saudara pada skaligus; dan kŭbanyakkan lagi deripada orang orang itu yang ada tinggal sampie skarang, tŭtapi sŭparohnya itu tŭlah mangkat bŭradu. Kumdian deripada itu iya tŭlah klihatan kapada Yakob; dŭmkian kapada sagala rasul rasul itu.
1 KORINTUS 15:1-7 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Aku menyatakan kepadamu, saudara-saudaraku, tentang Injil yang telah kusampaikan kepadamu, telah kamu terima dan pegang hingga sekarang. Melalui Injil itu kamu diselamatkan, jika kamu tetap berpegang kepada Firman yang telah kusampaikan, dan imanmu bukan kosong semata-mata. Aku telah menyampaikan kepadamu hal-hal utama, yang telah kuterima sendiri: Bahawa Kristus telah mati untuk menebus dosa kita, sebagaimana tersurat dalam Kitab Suci; bahawa Dia telah dikuburkan, dan telah dibangkitkan pada hari yang ketiga, sebagaimana tersurat dalam Kitab Suci; dan bahawa Dia telah memperlihatkan diri-Nya kepada Petrus, kemudian kepada dua belas murid-Nya. Selepas itu, Dia memperlihatkan diri-Nya kepada saudara-saudara kita, lebih daripada lima ratus orang pada satu masa. Kebanyakan mereka masih hidup, dan ada yang sudah meninggal dunia. Seterusnya Dia memperlihatkan diri-Nya kepada Yakobus, kemudian kepada semua rasul-Nya.