1 KORINTUS 14:1-5
1 KORINTUS 14:1-5 Alkitab Berita Baik (BM)
Oleh itu, kamu harus berusaha untuk mengasihi orang lain. Berusahalah juga untuk menerima kurnia-kurnia daripada Roh Allah, terutama sekali kurnia untuk menyampaikan perkhabaran daripada Allah. Orang yang bercakap dalam bahasa yang ajaib, tidak bercakap dengan manusia, tetapi mereka bercakap dengan Allah. Tidak seorang pun dapat memahami apa yang dikatakan oleh mereka, kerana Roh Allah menyebabkan mereka berkata-kata tentang hal-hal yang hanya diketahui oleh Allah. Tetapi orang yang menyampaikan perkhabaran daripada Allah, berkata-kata kepada manusia. Dengan demikian mereka menguatkan, menggalakkan dan menghibur orang lain. Orang yang bercakap dalam bahasa yang ajaib hanya menguatkan diri sendiri, sedangkan orang yang menyampaikan perkhabaran daripada Allah meneguhkan jemaah. Alangkah baiknya jika kamu semua dapat bercakap dalam bahasa-bahasa yang ajaib. Tetapi lebih baik lagi jika kamu semua dapat menyampaikan perkhabaran daripada Allah. Orang yang dapat mengkhabarkan berita daripada Allah, lebih berguna daripada orang yang bercakap dalam bahasa-bahasa yang ajaib, kecuali ada antara jemaah yang dapat menjelaskannya supaya jemaah dapat dikuatkan.
1 KORINTUS 14:1-5 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
TUNTUTLAH akan pŭngasihan itu, dan inginkanlah akan sagala anugrah Roh Alkudus itu, tŭtapi lebih baik kamu bulih dapat mŭngajarkan. Kŭrna barang sa’orang yang bŭrtutor dŭngan bahsa yang tiada dikŭtahui itu, maka iya bŭrtutor bukannya kapada manusia, mŭlainkan kapada Allah: kŭrna sa’orang pun tiada mŭngarti akan dia; tŭtapi dŭngan ilham roh adalah iya mŭnutor sagala rahsia. Tŭtapi orang yang mŭngajar itu, iya itu bŭrtutor kapada manusia, akan mŭnjadikan fiedah, dan pŭnŭgoran, dan pŭnghiburan. Adapun orang yang bŭrtutor dŭngan bahsa yang tiada dikŭtahui, maka iya itu mŭndatangkan fiedah bagie dirinya sahja; tŭtapi orang yang mŭngajar itu, maka iya itu mŭndatangkan fiedah kapada sidang jŭmaah. Maka kukahandaki skalian kamu bŭrtutor dŭngan bŭrbagie bagie bahsa, akan tŭtapi lebih baik kamu mŭngajar: kŭrna tŭrlebihlah bŭsar orang yang mŭngajar itu deripada orang yang bŭrtutor dŭngan bŭrbagie bagie bahsa, mŭlainkan jikalau ditŭrjŭmahkannya itu, supaya sidang jŭmaah itu bŭrulih fiedah.
1 KORINTUS 14:1-5 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Usahakanlah memperoleh kasih dan cubalah sungguh-sungguh untuk mendapatkan kurnia-kurnia rohani, terutamanya kurnia untuk bernubuat. Apabila seseorang bertutur dalam lidah, dia bukanlah bercakap kepada sesama manusia tetapi kepada Allah; dia bertutur tentang hal-hal rahsia dengan Roh. Sebaliknya, apabila seseorang bernubuat, dia bercakap kepada sesama manusia dengan kata-kata yang membina, menasihati dan menghibur. Orang yang bertutur dalam lidah membina diri sendiri, manakala orang yang bernubuat membina jemaah. Aku suka jika kamu bertutur dalam lidah, tetapi aku lebih suka jika kamu bernubuat; kerana orang yang bernubuat lebih membawa manfaat daripada orang yang bertutur dalam lidah, kecuali jika dia mentafsirkan apa yang dituturkannya itu untuk membina jemaah.