1 KORINTUS 10:23-33

1 KORINTUS 10:23-33 Alkitab Berita Baik (BM)

Orang berkata, “Kita dibenarkan melakukan segala sesuatu.” Betul, tetapi tidak semuanya berfaedah. “Kita dibenarkan melakukan segala sesuatu” - tetapi tidak semua perkara yang kita lakukan membina kehidupan kita. Janganlah seorang pun lakukan sesuatu untuk kepentingan diri sendiri sahaja, tetapi lakukanlah sesuatu untuk kepentingan orang lain. Kamu boleh makan apa sahaja yang dijual di pasar daging. Janganlah bertanya apa-apa, supaya tidak mengganggu hati nurani kamu. Hal itu demikian, kerana di dalam Alkitab tertulis, “Bumi ini dan segala isinya milik Tuhan.” Jika kamu dijemput makan oleh seorang yang bukan Kristian, dan kamu menerima jemputan itu, maka makanlah makanan yang dihidangkan. Janganlah bertanya apa-apa, supaya tidak mengganggu hati nurani kamu. Tetapi jika seseorang berkata kepada kamu, “Makanan ini sudah dipersembahkan kepada berhala,” janganlah makan makanan itu, demi kebaikan orang itu dan demi hati nurani. ( Maksudku bukan hati nurani kamu, tetapi hati nurani orang itu.) Mungkin orang bertanya, “Mengapa kebebasanku harus dibatasi oleh hati nurani orang lain? Jika aku bersyukur kepada Allah bagi makananku, mengapa orang harus mencela aku, padahal aku sudah bersyukur kepada Allah bagi makanan itu?” Apa sahaja yang kamu lakukan, sama ada makan ataupun minum, lakukanlah semuanya untuk memuliakan Allah. Jagalah tingkah laku kamu agar kamu tidak menyebabkan orang lain berdosa, baik orang Yahudi mahupun orang bukan Yahudi, ataupun jemaah Allah. Ikutlah teladanku. Aku berusaha menyenangkan hati semua orang dalam segala sesuatu yang aku lakukan. Aku tidak mengutamakan kepentingan diri sendiri, tetapi kepentingan orang lain, supaya mereka boleh diselamatkan.

1 KORINTUS 10:23-33 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

Bŭrmula maka sagala makanan itu halal padaku, tŭtapi bukannya skaliannya itu bŭrguna; maka sagala pŭrkara itu halal padaku, tŭtapi skaliannya itu tiada bŭrfiedah. Bahwa janganlah barang sa’orang jua pun mŭnchari fiedah bagie dirinya sŭndiri, tŭtapi handaklah masing masing mŭncharikan fiedah bagie orang lain. Adapun sagala sŭsuatu yang dijual dikŭdie daging, handaklah kamu makan dŭngan tiada bŭrtanya tanya ulih sŭbab waswas hati. Kŭrna bumi ini dipunyai Tuhan sŭrta dŭngan sŭpŭnoh pŭnoh isinya. Maka jikalau kiranya kamu dijŭmpot ulih barang siapa yang tiada bŭriman, maka jikalau niat kamu handak pŭrgi, handaklah kamu makan barang apa yang ada tŭrlŭtak dihadapanmu dŭngan tiada bŭrtanya tanya kŭrna sŭbab waswas hati. Akan tŭtapi jikalau orang bŭrkata kapadamu, Inilah barang yang sudah dipŭrsŭmbahkan kapada bŭrhala, maka janganlah kamu makan itu, deri kŭrna orang yang tŭlah mŭngunjokkan itu, dan ulih sŭbab waswas hati, kŭrna bumi ini dipunyai Tuhan sŭrta dŭngan sŭpŭnoh pŭnoh isinya. Kataku, waswas hati itu bukannya angkau punya, mŭlainkan orang lain punya; kŭrna apakah sŭbab kabibasanku itu ditimbangkan dŭngan waswas hati orang lain? Maka jikalau aku ulih anugrah bŭrulih bahgian makanan, apa sŭbab aku ini dijahatkan orang deri kŭrna barang itu yang aku tŭlah mŭnguchap shukor? Maka sŭbab itu, baik kamu makan, atau mŭminum, baik barang sŭsuatu pŭrbuatan kamu, handaklah kamu bŭrbuat skalian pŭrkara itu akan kamuliaan bagie Allah. Janganlah mŭndatangkan shak, baik kapada orang Yahudi, baik kapada orang sŭsat, atau kapada sidang jŭmaah Allah. Spŭrti yang aku mŭnyukakan sagala orang dalam sagala pŭrkara, bukannya aku mŭnchari untong bagie diriku sŭndiri, mŭlainkan untong bagie skalian, supaya marika itu bŭrulih slamat.

1 KORINTUS 10:23-33 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Kita dibenarkan berbuat segala sesuatu tetapi tidak semuanya berfaedah; kita dibenarkan berbuat segala sesuatu tetapi tidak semuanya membina hidup. Janganlah lakukan sesuatu untuk kepentingan diri sendiri sahaja. Lakukanlah untuk kepentingan orang lain juga. Kamu boleh makan apa sahaja yang dijual di pasar daging. Jangan tanyakan apa-apa, supaya hati nuranimu tidak terganggu; kerana “Bumi ini milik Tuhan dengan segala yang di dalamnya.” Jika kamu diajak makan oleh seorang yang tidak beriman dan kamu menerima, makanlah apa-apa yang dihidangkan. Usah tanyakan apa-apa, supaya hati nuranimu tidak terganggu. Tetapi jika seseorang memberitahumu, “Makanan ini telah dipersembahkan kepada berhala”, janganlah makan makanan itu, demi kebaikan orang itu, dan demi hati nurani. Maksudku bukan hati nuranimu, tetapi hati nurani orang itu. Mungkin ada yang bertanya, “Mengapa pula kebebasanku harus kubatasi untuk hati nurani orang lain? Jika aku turut makan dengan mengucap syukur kepada Allah atas makanan itu, mengapa orang harus mengecamku?” Setiap yang kamu lakukan, baik makan mahupun minum, lakukanlah untuk memuliakan Allah. Jagalah tingkah lakumu, jangan sampai menyebabkan orang lain berdosa, baik orang Yahudi atau orang Yunani, mahupun jemaah Allah. Ikutlah teladanku. Dalam setiap yang kubuat, aku cuba menyukakan hati semua orang. Aku tidak melebihkan kepentingan diriku. Aku mengutamakan kepentingan orang lain, untuk menyelamatkan mereka.