1 TAWARIKH 29:1-20

1 TAWARIKH 29:1-20 Alkitab Berita Baik (BM)

Raja Daud bertitah kepada semua orang yang berkumpul di situ, “Putera beta, Salomo telah dipilih khas oleh Allah. Tetapi dia masih muda dan tidak berpengalaman, sedangkan pekerjaan ini sangat besar. Lagipun yang akan dibina bukan istana untuk manusia, melainkan rumah untuk TUHAN Allah. Bahan-bahan untuk rumah itu dan perabotnya telah beta sediakan dengan segenap kemampuan beta. Beta telah menyediakan emas, perak, gangsa, besi, kayu, batu-batu berharga dan batu-batu permata, batu-batu beraneka warna untuk hiasan, dan batu marmar yang banyak sekali. Selain itu, beta juga telah menyerahkan perak dan emas daripada harta milik beta sendiri kerana cinta beta kepada rumah Allah beta. Beta memberikan lebih 100 tan emas yang terbaik dan hampir 240 tan perak tulen, untuk melapisi dinding Rumah TUHAN, dan untuk benda-benda yang harus dibuat oleh para tukang. Oleh itu, sekarang siapakah lagi mahu memberikan persembahan kepada TUHAN dengan senang hati?” Kemudian para ketua puak, ketua suku, panglima, dan pengurus harta milik raja menyatakan keinginan mereka untuk memberikan sumbangan. Mereka memberikan yang berikut bagi pembinaan Rumah TUHAN: lebih 170 tan emas, lebih 340 tan perak, hampir 620 tan gangsa, dan lebih 3,400 tan besi. Orang yang mempunyai batu permata, menyerahkannya kepada Yehiel untuk dimasukkan ke dalam perbendaharaan Rumah TUHAN. (Yehiel seorang Lewi daripada puak Gerson.) Rakyat memberikan sumbangan kepada TUHAN dengan ikhlas dan rela hati. Mereka bersukacita kerana banyak pemberian telah disumbangkan dan Raja Daud pun sangat bersukacita. Di hadapan semua orang yang berhimpun di situ, Raja Daud memuji TUHAN. Baginda berdoa, “Ya TUHAN Allah yang disembah Yakub, nenek moyang kami, terpujilah Engkau selama-lamanya! Engkau sungguh besar dan berkuasa. Engkau mulia, semarak, dan agung! Segala sesuatu di langit dan di bumi adalah milik-Mu. Engkaulah raja agung, penguasa atas segalanya. Segala harta dan kekayaan berasal daripada-Mu; segala sesuatu Engkau kuasai dengan kekuatan dan kekuasaan-Mu; Engkau berkuasa membuat sesiapa sahaja menjadi orang besar dan kuat. Sekarang, ya Allah kami, kami mengucap syukur kepada-Mu dan kami memuji nama-Mu yang agung. Aku dan rakyatku sesungguhnya tidak dapat memberikan apa-apa kepada-Mu, kerana segalanya adalah pemberian-Mu dan apa yang kami berikan ini kepunyaan-Mu juga. Engkau tahu, ya TUHAN, bahawa seperti nenek moyang kami, kami pun hidup sebagai pendatang dan orang asing. Hidup kami seperti bayangan yang berlalu, dan kami tidak dapat lepas daripada kematian. Ya TUHAN, Allah kami, semua barang berharga ini kami kumpulkan di sini untuk membina sebuah rumah bagi-Mu supaya kami dapat menghormati nama-Mu yang suci. Tetapi semua ini kami terima daripada-Mu sendiri dan kepunyaan-Mu juga. Aku tahu bahawa Engkau menguji hati setiap orang dan Engkau berkenan kepada orang yang murni hatinya. Dengan tulus ikhlas dan rela hati, aku mempersembahkan semua ini kepada-Mu. Aku telah menyaksikan umat-Mu yang berkumpul di sini membawa persembahan mereka kepada-Mu dengan senang hati. Ya TUHAN Allah, yang disembah oleh Abraham, Ishak, dan Yakub, nenek moyang kami, kiranya Engkau menjaga umat-Mu supaya tetap mengasihi Engkau seperti sekarang ini, dan tolonglah supaya mereka setia kepada-Mu untuk selama-lamanya. Kurniailah anakku, Salomo, keinginan yang sungguh-sungguh untuk mentaati semua perintah-Mu dan untuk membina rumah ibadat yang persiapannya telah kusediakan.” Selepas berdoa demikian, Raja Daud bertitah kepada orang ramai yang berkumpul di situ, “Pujilah TUHAN Allah kamu!” Kemudian semua orang itu memuji-muji TUHAN, Allah yang disembah nenek moyang mereka. Selepas itu mereka bersujud untuk menghormati TUHAN dan raja.

1 TAWARIKH 29:1-20 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Kemudian berkatalah Raja Daud kepada seluruh jemaah itu, “Anakku Salomo, satu-satunya yang dipilih Allah, masih muda dan kurang pengalaman, sedangkan pekerjaan itu besar, kerana bait ini bukanlah untuk manusia melainkan untuk TUHAN Allah. Dengan segenap kemampuanku, aku telah mengadakan persediaan untuk bait Allahku, iaitu emas untuk barang-barang emas, perak untuk barang-barang perak, gangsa untuk barang-barang gangsa, besi untuk barang-barang besi, kayu untuk barang-barang kayu, batu unam dan permata tatahan, batu serawak dan batu warna-warni, segala jenis batu permata dan batu pualam. Tambahan pula, kerana cintaku kepada bait Allahku, aku memberikan emas dan perak daripada harta benda aku sendiri bagi bait Allahku sebagai tambahan pada semua yang telah kusiapkan untuk Bait Suci itu: itu termasuk tiga ribu talenta emas daripada emas Ofir dan tujuh ribu talenta perak yang dimurnikan untuk menyalut dinding-dinding bait itu; emas untuk barang-barang emas dan perak untuk barang-barang perak, serta untuk segala pekerjaan yang akan dikerjakan oleh para tukang. Siapakah lagi yang ingin memberikan persembahan kepada TUHAN dengan ikhlas pada hari ini?” Maka para pemimpin kaum keluarga, para pemimpin suku Israel, para pemimpin pasukan seribu dan pasukan seratus, serta para pegawai yang mengurus keperluan raja memberikan persembahan dengan ikhlas. Untuk ibadat di Rumah Allah, mereka menyerahkan lima ribu talenta emas, sepuluh ribu dirham emas, sepuluh ribu talenta perak, lapan belas ribu talenta gangsa, dan seratus ribu talenta besi. Mereka yang mempunyai batu-batu permata menyerahkannya untuk perbendaharaan Bait TUHAN di bawah pengawasan Yehiel, orang Gerson itu. Bangsa itu bersuka ria kerana para pemimpin telah memberikan persembahan dengan ikhlas, kerana dengan tulus hati mereka memberikan persembahan sukarela kepada TUHAN. Raja Daud pun sangat bergembira. Lalu Daud memuji TUHAN di hadapan mata seluruh jemaah itu. Kata Daud, “Segala puji bagi-Mu, ya TUHAN, Allah nenek moyang kami Israel, dari selama-lamanya sampai selama-lamanya. Ya TUHAN, memang kepunyaan-Mu kebesaran, keperkasaan, kemuliaan, kejayaan, dan kemegahan, kerana Engkaulah yang empunya segala sesuatu di langit dan di bumi. Ya TUHAN, memang kepunyaan-Mu kerajaan dan Engkau ditinggikan sebagai ketua atas segala sesuatu. Kekayaan dan hormat berasal daripada-Mu, dan Engkaulah yang menguasai segala sesuatu. Memang dalam tangan-Mu ada kuasa dan keperkasaan. Memang dalam tangan-Mu kuasa untuk membesarkan dan menguatkan segala sesuatu. Sekarang, kami mengucap syukur kepada-Mu, ya Allah kami, dan kami memuji nama-Mu yang mulia itu. Sebab siapakah aku dan siapakah bangsaku, sehingga kami dimampukan untuk memberikan persembahan sukarela seperti ini? Kerana segala sesuatu berasal daripada Engkau, dan daripada tangan-Mu sendirilah persembahan yang kami berikan kepada-Mu. Kami ialah pendatang dan perantau di hadapan-Mu, sama seperti semua nenek moyang kami. Hari-hari kami di bumi seperti bayang-bayang dan tidak ada harapan. Ya TUHAN, Allah kami, semua kelimpahan bahan yang kami sediakan untuk membangunkan sebuah bait bagi nama-Mu yang suci itu berasal daripada tangan-Mu juga dan segala sesuatu ialah milik-Mu. Aku tahu, ya Allahku, bahawa Engkaulah yang menguji hati dan berkenan kepada ketulusan. Maka aku mempersembahkan semua itu dengan ikhlas dan dengan setulus hati. Sekarang, dengan gembira telah kulihat umat-Mu yang hadir di sini memberikan pula persembahan sukarela kepada-Mu. Ya TUHAN, Allah Abraham, Ishak, dan Israel, nenek moyang kami, teguhkanlah hal ini untuk selama-lamanya dalam maksud hati serta fikiran umat-Mu, dan arahkanlah hati mereka kepada-Mu. Kurniakanlah kepada anakku Salomo hati yang tulus supaya dia berpegang teguh pada segala perintah-Mu, peraturan-Mu, serta ketetapan-Mu, dan supaya dia melaksanakan semua itu serta membina bait yang persediaannya telah kulakukan.” Kemudian Daud berkata kepada seluruh jemaah itu, “Pujilah TUHAN, Allahmu!” Maka seluruh jemaah memuji TUHAN, Allah nenek moyang mereka. Mereka tunduk lalu sujud menyembah TUHAN dan memberi hormat kepada raja.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami