ZAKHARIA 8
8
TUHAN Berjanji Akan Membangunkan Yerusalem Semula
1TUHAN Yang Maha Kuasa memberikan perkhabaran ini kepada Zakharia, 2“Aku ingin sekali menolong Yerusalem kerana Aku sangat mengasihi penduduknya, dan kerana kasih-Ku itu, Aku murka kepada musuh kota itu. 3Aku akan kembali ke Yerusalem, kota-Ku yang suci itu dan menetap di situ. Yerusalem akan dikenal sebagai kota yang setia, dan bukit TUHAN Yang Maha Kuasa akan disebut bukit suci. 4Datuk dan nenek yang sudah sangat tua, sehingga harus berjalan dengan tongkat, akan duduk lagi di padang kota Yerusalem. 5Jalan-jalan di kota akan penuh lagi dengan anak lelaki dan anak perempuan yang bermain-main.
6Hal itu nampaknya mustahil bagi orang yang masih hidup daripada bangsa ini, namun tidak mustahil bagi-Ku. 7Aku akan menyelamatkan umat-Ku dari negeri-negeri tempat mereka dibuang, 8dan membawa mereka kembali dari timur dan dari barat, supaya mereka tinggal di Yerusalem semula. Mereka akan menjadi umat-Ku dan Aku menjadi Allah mereka. Aku akan memerintah mereka dengan setia dan adil.
9Beranikanlah hati kamu! Sekarang kamu mendengar kata-kata yang juga diucapkan dahulu oleh para nabi pada masa batu asas diletakkan untuk membina Rumah-Ku semula. 10Sebelum masa itu, tiada orang yang mampu mengupah pekerja atau menyewa binatang, dan tiada orang yang berasa aman daripada gangguan musuh. Aku telah menyebabkan orang saling berlawan. 11Tetapi Aku akan memperlakukan orang daripada bangsa ini yang masih hidup, dengan cara yang lain daripada dahulu. 12Mereka akan menabur benih dengan damai. Pokok anggur mereka akan berbuah, tanah akan memberikan hasil, dan hujan akan turun. Aku akan memberikan segala berkat ini kepada orang daripada bangsa ini yang masih hidup. 13Hai penduduk Yehuda dan Israel! Pada masa yang lalu, manakala orang asing saling mengutuk, mereka berkata, ‘Semoga bencana yang menimpa Yehuda dan Israel menimpa kamu juga!’ Tetapi Aku akan menyelamatkan kamu, sehingga orang asing itu akan berkata sesama mereka, ‘Semoga berkat yang diberikan kepada Yehuda dan Israel, diberikan kepada kamu juga!’ Oleh itu beranikanlah hati kamu dan janganlah takut!”
14TUHAN Yang Maha Kuasa berfirman, “Ketika nenek moyang kamu membangkitkan kemurkaan-Ku, Aku mengambil keputusan untuk menghukum mereka dengan berat. Aku tidak mengubah keputusan-Ku itu, melainkan melaksanakannya. 15Tetapi sekarang Aku hendak memberkati penduduk Yerusalem dan Yehuda. Oleh itu, janganlah takut. 16 Inilah perkara yang harus kamu lakukan: Jika kamu bercakap, katakanlah yang benar kepada sesama kamu. Berikanlah keputusan yang adil, keputusan yang membawa kedamaian, di tempat pengadilan. 17Jangan rancangkan perkara yang jahat terhadap sesama kamu. Jangan ucapkan kesaksian palsu dengan sumpah. Aku membenci dusta, ketidakadilan, dan keganasan.”
18TUHAN Yang Maha Kuasa memberikan perkhabaran ini kepada Zakharia, 19“Puasa yang dilakukan dalam bulan keempat, kelima, ketujuh, dan kesepuluh akan menjadi perayaan yang penuh kegembiraan dan kesukaan bagi penduduk Yehuda. Cintailah kebenaran dan kedamaian!”
20TUHAN Yang Maha Kuasa berfirman, “Masanya akan tiba apabila penduduk dari banyak kota datang ke Yerusalem. 21Penduduk dari kota yang satu akan berkata kepada penduduk kota lain, ‘Mari kita pergi menyembah TUHAN Yang Maha Kuasa dan memohon berkat-Nya. Ikutlah kami!’ 22Banyak orang dan banyak bangsa yang kuat akan datang ke Yerusalem untuk menyembah TUHAN Yang Maha Kuasa dan memohon berkat-Nya. 23Pada masa itu, sepuluh orang asing akan datang kepada satu orang Yahudi dan berkata, ‘Kami juga mahu diberkati seperti kamu kerana kami mendengar bahawa Allah menyertai kamu.’ ”
Terpilih Sekarang Ini:
ZAKHARIA 8: BM
Highlight
Kongsi
Salin
Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk
Today's Malay Version Bible with Deuterocanon © The Bible Society of Malaysia, 1996.