RUT 4:9-17

RUT 4:9-17 BM

Selepas itu Boas berkata kepada para pemimpin dan semua orang yang ada di situ, “Saudara-saudara menjadi saksi hari ini, bahawa daripada Naomi saya telah membeli segala yang dimiliki Elimelekh dan anak-anaknya, Kilyon dan Mahlon. Di samping itu pula Rut, wanita Moab, balu Mahlon itu, menjadi isteri saya sekarang. Dengan cara ini, tanah orang yang sudah meninggal akan tetap menjadi milik keturunannya. Keturunannya pun akan tetap ada di kalangan sanak saudaranya dan tinggal di kotanya. Saudara-saudaralah yang menjadi saksi hal itu pada hari ini.” Para pemimpin kota dan semua orang yang berada di situ berkata, “Baiklah, kamilah yang menjadi saksi. Semoga TUHAN membolehkan isterimu menjadi seperti Rahel dan Lea, yang melahirkan banyak anak bagi Yakub. Semoga kamu menjadi kaya antara puak Efrata dan terkenal di Betlehem. Semoga anak-anak yang akan dikurniakan TUHAN kepadamu daripada wanita muda ini menjadikan keluargamu seperti keluarga Peres, anak Yehuda dan Tamar.” Kemudian Boas membawa Rut pulang sebagai isterinya. TUHAN memberkati Rut dan dia mengandung, lalu melahirkan seorang anak lelaki. Kaum perempuan di tempat itu berkata kepada Naomi, “Pujilah TUHAN! Hari ini, Dia telah memberi kamu seorang cucu untuk memelihara kamu. Semoga anak ini terkenal di Israel kelak. Menantumu yang mengasihi kamu telah memperlakukan kamu lebih baik daripada tujuh orang anak lelaki. Sekarang dia telah memberi kamu seorang cucu yang akan memberikan hidup yang baru kepadamu, dan menjamin hari tuamu.” Naomi mengambil anak itu, memeluknya serta mengasuh dia. Kaum perempuan yang berjiran dengan Naomi menamakan anak itu Obed. Mereka berkata kepada setiap orang, “Naomi mempunyai seorang anak lelaki!” Obed inilah yang kemudian menjadi bapa Isai, dan Isai menjadi bapa Daud.

Pelan Bacaan dan Renungan percuma yang berkaitan dengan RUT 4:9-17