Elimelekh meninggal, maka tinggal Naomi bersama dengan dua orang anak lelakinya. Anak-anak lelakinya itu berkahwin dengan perempuan Moab, yang bernama Orpa dan Rut. Setelah mereka tinggal di Moab selama sepuluh tahun, Mahlon dan Kilyon pula meninggal, maka tinggal Naomi seorang diri. Dia kehilangan suaminya dan kedua-dua orang anaknya. Kemudian Naomi mendengar bahawa TUHAN telah memberkati umat-Nya dengan memberikan hasil tanaman yang baik kepada mereka. Oleh itu Naomi bersiap-siap untuk meninggalkan Moab bersama dengan kedua-dua orang menantunya. Mereka berangkat bersama-sama untuk balik ke Yehuda. Tetapi dalam perjalanan, Naomi berkata kepada kedua-dua orang menantunya, “Pulanglah ke rumah ibu kamu. Semoga TUHAN berbuat baik terhadap kamu seperti kamu telah berbuat baik terhadap aku dan terhadap mereka yang telah meninggal.
Baca RUT 1
Kongsi
Naomi berkata kepadanya, “Lihatlah Rut, birasmu sudah pulang kepada bangsanya dan dewa-dewanya. Pergilah, anakku. Pulanglah seperti birasmu.” Tetapi Rut menjawab, “Janganlah suruh saya pulang. Benarkanlah saya mengikut mak. Ke mana saja mak pergi, saya akan ikut bersama. Di mana saja mak tinggal, di situ juga saya hendak tinggal. Bangsa mak, bangsa saya juga, dan Allah yang disembah mak, akan saya sembah juga. Di mana saja mak meninggal, di situlah saya hendak meninggal dan dikebumikan. Biarlah TUHAN menghukum saya dengan seberat-beratnya jika saya membiarkan apa-apa pun memisahkan kita kecuali kematian.” Apabila Naomi melihat bahawa Rut berkeras hendak mengikut dia, Naomi tidak mengatakan apa-apa lagi. Mereka meneruskan perjalanan sehingga mereka sampai di Betlehem. Apabila mereka tiba, segenap penduduk kota itu heboh. Kaum perempuan di situ berkata, “Betulkah dia itu Naomi?” Naomi menjawab, “Janganlah panggil saya Naomi. Panggillah saya Mara, kerana Allah Yang Maha Kuasa telah menjadikan kehidupan saya pahit. Dahulu ketika saya meninggalkan tempat ini saya berkecukupan, tetapi sekarang TUHAN membawa saya balik dengan tidak mempunyai apa-apa. Oleh itu, janganlah panggil saya Naomi lagi, kerana TUHAN Yang Maha Kuasa telah menghukum saya dengan banyak penderitaan.”
Bandingkan Semua Versi: RUT 1:3-8, 15-21
Simpan ayat, baca di luar talian, tonton klip pengajaran, dan banyak lagi!
Halaman Utama
Alkitab
Pelan
Video