ROMA 9:1-18

ROMA 9:1-18 BM

Apa yang aku katakan ini benar; aku milik Kristus dan aku tidak berdusta. Hati nuraniku yang dikuasai oleh Roh Allah, juga meyakinkan aku bahawa aku tidak berdusta. Aku sangat sedih dan menderita, kerana saudara-saudaraku, orang yang sebangsa denganku. Bagi kepentingan mereka, aku rela dikutuk oleh Allah dan dipisahkan daripada Kristus. Merekalah umat yang dipilih oleh Allah; Allah menjadikan mereka anak-Nya sendiri dan menunjukkan kemuliaan-Nya kepada mereka. Dia mengadakan perjanjian-perjanjian dengan mereka dan memberi mereka Taurat. Mereka diberitahu oleh Allah cara menyembah Dia dengan betul, dan mereka menerima janji-janji Allah. Mereka keturunan nenek moyang kita yang terkemuka. Kristus, sebagai manusia, berasal daripada bangsa mereka. Hendaklah Allah yang menguasai segala sesuatu, dipuji selama-lamanya! Amin. Aku tidak mengatakan bahawa apa yang dijanjikan oleh Allah tidak berlaku. Apa yang dijanjikan-Nya sudah berlaku, kerana bukan semua orang Israel umat yang dipilih-Nya. Bukan semua keturunan Abraham anak-anak Allah. Allah berfirman kepada Abraham, “Hanya keturunan Ishak yang akan disebut keturunanmu.” Hal ini bererti bahawa tidak semua keturunan Abraham menjadi anak-anak Allah, tetapi hanya keturunan yang dilahirkan menurut janji Allah. Hal itu demikian, kerana inilah yang difirmankan oleh Allah ketika Dia berjanji kepada Abraham, “Pada waktu yang ditetapkan, Aku akan kembali, dan Sara akan melahirkan seorang anak lelaki.” Bukan demikian sahaja. Kedua-dua anak lelaki Ribkah mempunyai bapa yang sama, iaitu Ishak, nenek moyang kita. Untuk menunjukkan bahawa salah seorang anak itu anak pilihan Allah, Allah berfirman kepada Ribkah, “Yang sulung akan melayani yang bongsu.” Allah berfirman demikian sebelum kedua-dua anak itu lahir dan sebelum mereka tahu berbuat apa yang baik atau yang jahat. Dengan demikian nyatalah bahawa pilihan Allah itu tidak berdasarkan perbuatan mereka, tetapi berdasarkan panggilan Allah sendiri. Di dalam Alkitab tertulis bahawa Allah berfirman, “Yakub Aku kasihi, tetapi Esau Aku benci.” Jika demikian, bolehkah kita katakan bahawa Allah tidak adil? Tentu tidak boleh! Allah berfirman kepada Musa, “Aku akan merahmati orang yang hendak Aku rahmati, dan Aku akan mengasihani orang yang hendak Aku kasihani.” Oleh itu, keputusan Allah tidak bergantung kepada kehendak atau perbuatan manusia, tetapi hanya kepada belas kasihan Allah. Hal itu demikian, kerana di dalam Alkitab tertulis, “Allah berfirman kepada raja Mesir, ‘Untuk maksud ini Aku melantik engkau menjadi raja, supaya melalui engkau, Aku menyatakan kekuasaan-Ku dan memasyhurkan nama-Ku di seluruh dunia.’ ” Oleh itu, Allah berbelas kasihan kepada orang yang dikehendaki-Nya, dan Allah menjadikan orang berkeras kepala jika Dia berkehendak demikian.