ROMA 3:1-20

ROMA 3:1-20 BM

Jika demikian, adakah keuntungannya menjadi orang Yahudi? Adakah faedahnya bersunat? Tentu banyak faedahnya! Pada mulanya Allah mengamanahkan firman-Nya kepada orang Yahudi. Tetapi bagaimana halnya jika sebahagian daripada orang Yahudi tidak setia? Adakah kerana hal itu Allah menjadi tidak setia? Tentu tidak! Allah sentiasa benar, walaupun setiap orang berdusta. Sebagaimana yang tertulis di dalam Alkitab, “Apabila Engkau berfirman, setiap orang pasti tahu bahawa Engkau benar; apabila Engkau dituduh, Engkau sentiasa menang.” Tetapi jika kejahatan kita menjadikan keadilan Allah semakin nyata, apakah yang akan kita katakan? Adakah Allah tidak adil apabila Dia menghukum kita? (Di sini aku bercakap secara manusia.) Sekali-kali tidak! Jika Allah tidak adil, bagaimanakah Dia dapat menghakimi dunia ini? Jika perbuatanku yang tidak benar, menyebabkan apa yang benar tentang Allah semakin nyata, sehingga Dia dipermuliakan, mengapa aku disalahkan sebagai orang berdosa? Mengapa kita tidak berkata, “Marilah kita lakukan kejahatan supaya timbul kebaikan”? Sebenarnya ada beberapa orang yang menghina aku dengan tuduhan bahawa aku mengatakan demikian. Allah akan menghukum mereka dengan sepatutnya. Baiklah, adakah kedudukan kita sebagai orang Yahudi lebih baik daripada kedudukan orang bukan Yahudi? Sekali-kali tidak! Sudah aku jelaskan bahawa semua orang dikuasai dosa, baik orang Yahudi mahupun orang bukan Yahudi. Seperti yang tertulis di dalam Alkitab, “Tidak seorang pun yang benar di sisi Allah, tidak seorang pun yang memahami apa yang benar, dan tidak seorang pun menyembah Allah. Semua orang sudah menjauhkan diri daripada Allah; semuanya sudah sesat. Tidak seorang pun berbuat benar; seorang pun tidak! Kata-kata dari mulut mereka menyebabkan kematian, tipu muslihat mengalir dari lidah mereka, dan fitnah seperti bisa ular tersembur dari bibir mereka; mulut mereka penuh dengan kutuk dan cerca. Mereka cepat mencederakan dan membunuh orang; mereka menyebabkan kebinasaan dan kehancuran di mana-mana. Mereka tidak mengikut jalan kedamaian, dan mereka pun tidak menghormati Allah.” Sekarang kita tahu bahawa semua yang tertulis di dalam Taurat adalah bagi mereka yang hidup di bawah Taurat. Dengan demikian tidak seorang pun dapat berdalih, dan semua orang di dunia akan diadili oleh Allah. Jika seseorang melakukan apa yang diwajibkan oleh Taurat, hal itu tidak bererti dia berbaik semula dengan Allah. Sebaliknya Taurat hanya menunjukkan manusia bahawa mereka berdosa.