ROMA 16:11-27

ROMA 16:11-27 BM

dan kepada Herodion, yang sebangsa dengan aku. Sampaikan salam kepada saudara-saudara seiman dalam keluarga Narkisus. Sampaikan salamku kepada Trifena dan Trifosa yang bekerja untuk Tuhan, dan kepada Persis sahabat yang aku kasihi. Dia sudah bekerja keras untuk Tuhan. Aku mengirim salam kepada Rufus, hamba terpuji yang dipilih oleh Tuhan, dan kepada ibunya yang sentiasa memperlakukan aku sebagai anak sendiri. Aku mengirim salam kepada Asinkritus, Flegon, Hermes, Patrobas, Hermas, dan semua saudara seiman yang bersama-sama mereka. Sampaikan salam kepada Filologus dan Yulia, kepada Nereus dan saudara perempuannya, kepada Olimpas dan kepada semua umat Allah yang bersama-sama mereka. Bersalam-salamanlah dengan mesra sebagai saudara Kristian. Semua jemaah Kristus menyampaikan salam mereka kepada kamu. Saudara-saudaraku! Aku menggesa kamu supaya berwaspada terhadap mereka yang menimbulkan perpecahan dan yang mengelirukan kepercayaan orang kepada Tuhan. Mereka mengajarkan perkara yang bertentangan dengan ajaran yang telah kamu terima. Jauhkan diri daripada mereka. Orang yang berbuat demikian tidak melakukan kerja untuk Kristus Tuhan kita, tetapi untuk memuaskan keinginan hati sendiri. Dengan pujukan dan kata-kata yang elok-elok, mereka menipu orang yang tidak tahu apa-apa. Semua orang sudah mengetahui betapa setianya kamu berpegang kepada ajaran Berita Baik itu. Oleh itu kamu menyebabkan aku amat gembira. Aku berharap supaya kamu bijak tentang perkara yang baik, dan tidak tahu apa-apa tentang perkara yang jahat. Allah, sumber kedamaian kita akan segera menaruh Iblis di bawah kekuasaan kamu dan menghancurkannya. Semoga Yesus Kristus Tuhan kita memberkati kamu! Timotius, rakan sekerjaku menyampaikan salamnya kepada kamu, demikian juga Lukius, Yason, dan Sosipater, sahabat-sahabat yang sebangsa dengan aku. Aku, Tertius yang menulis surat ini menyampaikan salam sebagai sesama saudara Kristian. Gayus mengirim salam kepada kamu. Aku menumpang di rumahnya dan jemaah juga mengadakan perjumpaan di sini. Erastus, bendahari kota dan saudara kita Kuartus, mengirim salam kepada kamu semua. [ Semoga Yesus Kristus Tuhan kita memberkati kamu semua. Amin.] Marilah kita muliakan Allah! Dia berkuasa meneguhkan iman kamu sesuai dengan Berita Baik tentang Yesus Kristus, yang aku isytiharkan itu. Aku mengisytiharkannya sesuai dengan apa yang dinyatakan oleh Allah, iaitu rancangan Allah yang selama berabad-abad tidak diketahui orang. Tetapi sekarang rancangan itu sudah dinyatakan melalui tulisan nabi-nabi, dan diberitakan kepada semua bangsa atas perintah Allah yang kekal, supaya mereka semua percaya dan taat kepada Allah. Muliakanlah Allah yang esa dan yang maha bijak. Muliakanlah Dia selama-lamanya kerana apa yang sudah dilakukan oleh Yesus Kristus! Amin.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami