WAHYU 19:11-21

WAHYU 19:11-21 BM

Kemudian aku nampak syurga terbuka dan aku melihat seekor kuda putih. Penunggangnya bernama Yang Setia dan Yang Benar. Dia menghakimi dengan adil dan berperang untuk keadilan. Mata-Nya menyala seperti api dan Dia memakai banyak mahkota pada kepala-Nya. Pada diri-Nya tertulis satu nama yang hanya diketahui oleh-Nya. Jubah yang dipakai-Nya berlumuran darah. Nama-Nya “Firman Allah.” Tentera syurga mengikuti Dia dengan menunggang kuda putih dan mengenakan pakaian linen putih yang bersih. Dari mulut-Nya keluar sebilah pedang yang tajam, dan dengan pedang itu Dia akan mengalahkan bangsa-bangsa. Dia akan memerintah mereka dengan tangan besi. Dia akan memeras anggur di dalam alat pemeras anggur, iaitu kemurkaan yang menyala-nyala daripada Allah Yang Maha Kuasa. Pada jubah-Nya dan paha-Nya tertulis nama ini: “Raja Yang Terutama dan Tuhan Yang Agung.” Kemudian aku nampak satu malaikat berdiri di atas matahari. Dengan suara kuat dia berseru kepada semua burung yang terbang di angkasa, “Marilah berkumpul untuk menghadiri jamuan besar yang disediakan oleh Allah. Marilah makan daging raja, daging panglima dan askar, daging kuda dan penunggang kuda, daging semua orang, baik abdi mahupun orang bebas, orang besar mahupun orang biasa!” Kemudian aku nampak binatang itu dan raja-raja di bumi dengan tentera mereka berkumpul untuk melawan Dia yang menunggang kuda putih dengan tentera-Nya. Tetapi binatang itu ditawan bersama-sama nabi palsu yang telah melakukan mukjizat di hadapannya. (Dengan mukjizat itulah binatang itu menipu orang yang mempunyai tanda binatang itu, dan orang yang menyembah patung binatang itu.) Binatang itu dan nabi palsu itu dibuang hidup-hidup ke dalam lautan api yang bernyala-nyala dengan belerang. Tentera mereka dibunuh dengan pedang yang keluar dari mulut penunggang kuda putih itu. Lalu semua burung datang dan memakan daging mereka dengan lahap.

Pelan Bacaan dan Renungan percuma yang berkaitan dengan WAHYU 19:11-21