WAHYU 14:6-20

WAHYU 14:6-20 BM

Kemudian aku nampak satu lagi malaikat terbang tinggi di angkasa. Dia membawa berita baik yang kekal untuk diisytiharkan kepada manusia di bumi, iaitu kepada semua bangsa, suku, bahasa, dan negara. Malaikat itu berseru, “Hormatilah Allah dan pujilah kebesaran-Nya! Tibalah masanya Allah menghakimi manusia. Sembahlah Dia yang menjadikan langit, bumi, laut, dan semua mata air!” Setelah malaikat pertama pergi, datanglah malaikat kedua yang berkata, “Kota Babel sudah jatuh! Kota besar itu sudah jatuh! Perbuatan cabul kota Babel merosakkan semua bangsa, seperti wain yang memabukkan mereka.” Setelah kedua-dua malaikat itu pergi, datanglah malaikat ketiga yang berseru, “Sesiapa yang menyembah binatang itu dan patungnya, serta menerima tanda binatang itu pada dahi atau tangan, akan minum wain yang melambangkan kemurkaan Allah. Wain yang pekat itu dituang ke dalam cawan kemurkaan-Nya! Semua orang itu akan diseksa di dalam api dan belerang di hadapan malaikat-malaikat suci dan Anak Domba. Asap api yang menyeksa mereka akan mengepul terus-menerus untuk selama-lamanya. Mereka yang menyembah binatang itu dan patungnya, serta mereka yang mempunyai tanda nama binatang itu, akan terus-menerus terseksa siang dan malam.” Itulah sebabnya umat Allah yang taat kepada perintah-Nya dan setia kepada Yesus mesti tabah hati. Kemudian aku mendengar suara dari syurga berkata, “Tuliskanlah hal ini: Mulai sekarang, berbahagialah orang yang mati semasa mengabdi kepada Tuhan dengan setia!” “Benar!” jawab Roh Allah. “Mereka tidak berjerih payah lagi, kerana perbuatan baik mereka akan menyertai mereka.” Kemudian aku memandang dan nampak awan putih. Di atas awan itu duduklah sesusuk tubuh yang kelihatannya seperti manusia. Kepala-Nya bermahkota emas dan tangan-Nya memegang sebilah sabit yang tajam. Kemudian satu lagi malaikat keluar dari Rumah Allah. Dia berseru dengan suara kuat kepada Dia yang duduk di atas awan itu, “Gunakan sabit-Mu dan mulakan kerja menuai, kerana musim menuai sudah tiba! Tuaian di bumi sudah masak dan sudah tiba masanya untuk dituai!” Lalu Dia yang duduk di atas awan itu mengayunkan sabit-Nya ke bumi, dan tuaian di bumi dikumpulkan. Kemudian aku nampak satu lagi malaikat keluar dari Rumah Allah di syurga. Dia juga memegang sebilah sabit yang tajam. Setelah itu, satu lagi malaikat yang berkuasa atas api, keluar dari mazbah. Dia berseru dengan suara kuat kepada malaikat yang memegang sebilah sabit tajam itu, “Gunakanlah sabitmu dan sabit buah anggur di ladang anggur di atas bumi, kerana buah anggur sudah masak!” Oleh itu malaikat itu mengayunkan sabitnya ke bumi dan menyabit buah anggur dari batangnya, lalu melempar buah anggur ke dalam alat pemeras anggur, iaitu kemurkaan Allah. Buah anggur diperas di luar kota, dan dari alat pemeras anggur itu mengalirlah darah seperti air bah, sejauh tiga ratus kilometer dan sedalam kira-kira dua meter.