Aku cemas kerana ancaman musuhku, dan remuk kerana orang jahat menindas aku. Mereka menyusahkan aku; mereka marah kepadaku dan membenci aku. Aku sangat ketakutan, ngeri akan dahsyatnya kematian. Aku diliputi ketakutan dan kegentaran, dan dicengkam oleh perasaan seram. Sekiranya aku bersayap seperti burung merpati, aku akan terbang mencari tempat yang tenang. Aku akan terbang jauh sekali; padang gurun akan kudiami. Aku akan bergegas mencari tempat berlindung terhadap ribut dan angin kencang. Kelirukanlah percakapan musuhku, ya Tuhan, kerana di kota aku nampak orang merusuh dan melakukan keganasan. Siang malam mereka mengelilingi kota, melakukan kekacauan dan jenayah. Di merata tempat berlaku pemusnahan; jalan-jalan penuh dengan penindasan dan penipuan. Andaikata musuh mempermainkan aku, aku dapat menanggungnya; andaikata seorang lawan menghina aku, aku pun dapat bersembunyi daripadanya. Tetapi engkau ini, temanku, rakanku serta sahabat karibku. Kita pernah berbual dengan mesra, dan beribadat bersama-sama di Rumah TUHAN. Biarlah dengan mendadak musuhku mati, dan turun hidup-hidup ke dunia orang mati, kerana kejahatan memenuhi rumah mereka, dan menguasai hati mereka. Tetapi aku berseru kepada TUHAN Allah untuk menolong aku, dan Dia akan menyelamatkan aku. Keluhanku dan tangisanku naik ke hadirat-Nya pada petang, pagi, dan tengah hari, dan Dia akan mendengar suaraku. Dia akan membawa aku pulang dengan selamat setelah aku berperang melawan musuh yang banyak sangat.
Baca MAZMUR 55
Kongsi
Bandingkan Semua Versi: MAZMUR 55:4-19
Simpan ayat, baca di luar talian, tonton klip pengajaran, dan banyak lagi!
Halaman Utama
Alkitab
Pelan
Video