MAZMUR 38

38
Doa Orang yang Menderita
1Mazmur Daud, ketika mempersembahkan korban peringatan.
2Ya TUHAN, jangan hukum aku walaupun Engkau murka.
3Panah-Mu melukai tubuhku;
tangan-Mu memukul aku.
4Aku sakit parah kerana kemarahan-Mu;
seluruh badanku sakit kerana dosaku.
5Aku lemas dalam banjir dosaku;
dosaku terlalu berat bagiku.
6Kerana perbuatanku yang bodoh,
luka-lukaku bernanah dan busuk.
7Aku menjadi bongkok, aku tersungkur;
aku berdukacita sepanjang hari.
8Demam membakar badanku,
dan aku sakit tenat.
9Aku remuk-redam dan kehabisan tenaga;
aku mengeluh kerana hatiku susah.
10Ya Tuhan, Engkau tahu keinginanku;
Engkau mendengar segala keluhanku.
11Jantungku berdebar-debar, tenagaku hilang,
dan mataku sudah menjadi suram.
12Sahabat dan jiranku tidak mahu menghampiri aku kerana kudisku;
bahkan keluargaku pun turut menjauhi aku.
13Orang yang hendak membunuh aku memasang perangkap untukku,
dan mereka yang ingin menyakiti aku mengancam hendak membinasakan aku;
sepanjang hari mereka berkomplot menentang aku.
14Aku umpama orang pekak yang tidak dapat mendengar,
umpama orang bisu yang tidak dapat bercakap.
15Aku umpama orang yang tidak menjawab,
kerana tidak dapat mendengar.
16Tetapi aku berharap kepada-Mu, ya TUHAN;
dan Engkau, ya Tuhan, Allahku, akan mengabulkan doaku.
17Jangan biarkan musuhku mentertawakan penderitaanku;
jangan biarkan mereka berasa megah kerana kejatuhanku!
18Aku hampir jatuh,
dan sentiasa kesakitan.
19Aku mengakui dosaku;
hatiku cemas memikirkan kesalahanku.
20Musuh-musuhku sihat dan kuat;
banyak orang yang membenci aku tanpa sebab.
21Mereka yang membalas kebaikan dengan kejahatan,
menentang aku kerana aku berusaha melakukan yang benar.
22Jangan tinggalkan aku, ya TUHAN,
jangan jauhi aku, ya Allahku!
23Tolonglah aku sekarang, ya Tuhan penyelamatku!

Terpilih Sekarang Ini:

MAZMUR 38: BM

Highlight

Kongsi

Salin

None

Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk