MAZMUR 36:1-12
MAZMUR 36:1-12 BM
Untuk pemimpin koir. Mazmur Daud, hamba TUHAN. Dosa bertutur dalam lubuk hati orang jahat, mereka menyangkal Allah dan tidak takut kepada-Nya, kerana mereka membanggakan diri, dan berfikir dosa mereka tidak akan diketahui dan tidak dibenci. Kata-kata mereka penuh dengan kejahatan dan dusta, mereka tidak lagi melakukan yang baik dan bijaksana. Mereka merancang kejahatan ketika berbaring di katil; tiada perbuatan mereka yang baik, dan mereka tidak pernah menolak apa-apa yang jahat. Ya TUHAN, kasih-Mu membumbung setinggi langit, kesetiaan-Mu sampai ke awan yang tinggi. Kebaikan-Mu teguh seperti gunung yang besar, dan keadilan-Mu sedalam laut. Engkau menjaga manusia dan haiwan. Ya Allah, betapa berharganya kasih-Mu, manusia mendapat perlindungan di bawah naungan sayap-Mu. Mereka mengenyangkan diri dengan makanan berlimpah dari rumah-Mu; Engkau memberi mereka minuman dari sungai kebaikan-Mu. Engkaulah sumber segala kehidupan, dan kerana cahaya-Mu, kami dapat melihat cahaya. Tetaplah mengasihi orang yang mengenal Engkau, dan berbuat baik kepada orang yang tulus hati. Jangan biarkan orang sombong menyerang aku ataupun orang jahat menyebabkan aku lari.