MAZMUR 35:1-14

MAZMUR 35:1-14 BM

Mazmur Daud. TUHAN, lawanlah orang yang menentang aku, dan tentanglah orang yang memerangi aku. Gunakanlah perisai dan baju zirah-Mu, bangkitlah dan tolonglah aku. Angkatlah tombak dan lembing-Mu untuk menentang mereka yang mengejar aku. Katakanlah bahawa Engkau penyelamatku. Biarlah mereka yang cuba membunuh aku dikalahkan dan dipermalukan. Biarlah mereka yang berkomplot menentang aku dipukul mundur dan dibingungkan. Biarlah mereka menjadi seperti sekam yang ditiup angin, ketika dikejar oleh malaikat TUHAN. Biarlah jalan mereka gelap dan licin, ketika mereka diburu oleh malaikat TUHAN. Tanpa sebarang sebab mereka memasang perangkap untukku dan menggali lubang yang dalam untuk menangkap aku. Biarlah mereka ditimpa kebinasaan dengan tidak disangka-sangka, dan dijerat oleh perangkap mereka sendiri lalu jatuh dan binasa. Maka aku akan bergembira kerana TUHAN; aku akan bersukacita kerana Dia menyelamatkan aku. Dengan sepenuh hati aku akan berkata kepada TUHAN, “Engkau tiada bandingnya. Engkau melindungi orang lemah daripada orang kuat, orang miskin dan sengsara daripada penindas mereka.” Saksi-saksi jahat menuduh aku, kerana perkara yang tidak aku ketahui. Mereka membalas kebaikan dengan kejahatan, dan aku putus harapan. Semasa mereka sakit, aku berkabung dan berpuasa; aku berdoa dengan menundukkan kepala, seperti mendoakan seorang sahabat atau saudara. Aku tunduk kepala kerana berdukacita, seperti orang yang menangisi kematian ibunya.