MAZMUR 34:1-22

MAZMUR 34:1-22 BM

Mazmur Daud, ketika dia berpura-pura tidak waras fikiran di hadapan Abimelekh. Kemudian Daud pergi setelah diusir oleh Abimelekh. Aku akan sentiasa bersyukur kepada TUHAN; aku tidak akan berhenti memuji Dia. Aku akan memuji Dia kerana segala perbuatan-Nya; semoga semua orang yang tertindas mendengar dan bergembira. Agungkanlah TUHAN bersama dengan aku, marilah bersama-sama memuji nama-Nya. Aku berdoa kepada TUHAN dan Dia mengabulkan doaku, Dia membebaskan aku daripada segala ketakutan. Orang yang tertindas memandang Dia lalu bergembira; mereka tidak sekali-kali akan kecewa. Orang malang berseru dan TUHAN menjawab, Dia membebaskan mereka daripada segala kesusahan. Malaikat TUHAN mengawal orang yang menghormati-Nya, dan menyelamatkan mereka daripada bahaya. Rasakanlah sendiri betapa baiknya TUHAN! Berbahagialah orang yang berlindung kepada-Nya! Hormatilah TUHAN, hai semua umat-Nya, kerana orang yang mentaati-Nya tidak akan berkekurangan. Singa juga lapar kerana kekurangan makanan, tetapi orang yang mentaati TUHAN tidak kekurangan apa-apa yang baik. Marilah, hai anak-anak semua dan dengarlah nasihatku, aku akan mengajar kamu menghormati TUHAN. Mahukah kamu menikmati hidup? Mahukah kamu berumur panjang dan berbahagia? Jangan keluarkan kata-kata jahat, dan jangan suka berdusta. Tinggalkanlah yang jahat dan lakukanlah yang baik; usahakanlah kedamaian dengan tekun. TUHAN memperhatikan orang salih, dan mendengar tangisan mereka; tetapi Dia menentang orang yang berbuat jahat; apabila mereka mati, mereka cepat dilupakan. Apabila orang salih berseru, TUHAN mendengar dan menyelamatkan mereka daripada segala kesusahan. TUHAN dekat kepada orang yang tawar hati; Dia menyelamatkan mereka yang putus asa. Orang baik mengalami banyak kesusahan, tetapi TUHAN menyelamatkan mereka daripada semuanya; TUHAN memelihara mereka dengan sempurna, tulang mereka tidak satu pun patah. Orang jahat akan mati kerana kejahatan mereka; mereka yang membenci orang salih akan dihukum.