MAZMUR 25:1-22

MAZMUR 25:1-22 BM

Mazmur Daud. Kepada-Mu, ya TUHAN, aku naikkan doaku; ya Allahku, aku percaya kepada-Mu. Janganlah biarkan aku dipermalukan; janganlah biarkan musuhku mentertawakan aku. Kekalahan tidak akan dialami orang yang percaya kepada-Mu, tetapi hanya dialami orang yang cepat memberontak terhadap-Mu. Ajarlah aku kehendak-Mu, ya TUHAN, nyatakanlah apa yang harus aku lakukan. Ajarlah aku supaya aku hidup menurut kehendak-Mu, kerana Engkau penyelamatku. Aku selalu berharap kepada-Mu. Ya TUHAN, ingatlah akan kebaikan dan kasih-Mu, yang telah Engkau tunjukkan sejak dahulu. Ampunkan segala dosa dan kesalahan masa mudaku. Ya TUHAN, demi kasih dan kebaikan-Mu ingatlah akan aku. Kerana TUHAN baik dan adil, Dia menunjukkan jalan kepada orang yang sesat. Dia memimpin orang yang rendah hati ke jalan yang benar, dan mengajar mereka kehendak-Nya. Orang yang mentaati perjanjian dan perintah-Nya, dipimpin-Nya dengan kasih dan setia. Ya TUHAN, ampunilah aku sesuai dengan janji-Mu, kerana besarlah dosaku. Orang yang taat kepada TUHAN akan ditunjukkan-Nya jalan yang harus ditempuh. Mereka akan sentiasa hidup makmur, dan anak cucu mereka akan mewarisi negeri itu. TUHAN ialah sahabat orang yang mentaati-Nya, dan Dia menyatakan perjanjian-Nya kepada mereka. Aku sentiasa mengharapkan pertolongan daripada TUHAN, dan Dia menyelamatkan aku daripada bahaya. Berpalinglah kepadaku, ya TUHAN, dan kasihanilah aku, kerana aku keseorangan dan lemah. Lapangkanlah hatiku daripada segala kekhuatiran, dan selamatkanlah aku daripada segala kesusahan. Perhatikanlah segala kedukaan dan penderitaanku dan ampunkanlah segala dosaku. Lihatlah betapa banyaknya musuhku; mereka sangat membenci aku. Lindungilah dan selamatkanlah aku; supaya aku tidak mendapat malu, kerana aku datang kepada-Mu meminta perlindungan. Semoga kebaikan dan kejujuranku mengawal aku, kerana aku percaya kepada-Mu. Ya Allah, selamatkanlah umat-Mu, Israel, daripada segala kesusahan mereka.