MAZMUR 147

147
Pujian untuk Allah Yang Maha Kuasa
1Pujilah TUHAN!
Memang baik kita menyanyikan lagu pujian untuk Allah kita;
memang elok dan patut kita memuji Dia.
2TUHAN sedang memulihkan Yerusalem;
Dia sedang membawa orang Israel kembali dari pembuangan.
3Dia menyembuhkan orang yang hancur hati,
dan membalut luka mereka.
4Dia telah menentukan jumlah bintang,
dan memberikan nama setiap bintang.
5Sungguh agung dan perkasa Tuhan kita;
kebijaksanaan-Nya tidak terhingga.
6Dia memberikan kuasa kepada orang yang tertindas,
tetapi Dia mengalahkan dan mempermalukan orang jahat.
7Nyanyikanlah lagu pujian untuk TUHAN,
dan mainkanlah kecapi untuk Allah kita.
8Dia membentangkan awan di langit;
Dia menurunkan hujan ke bumi,
dan menumbuhkan rumput di bukit.
9Dia memberikan makanan kepada binatang,
dan kepada anak burung gagak yang menciap-ciap.
10Dia tidak suka akan kuda yang kuat,
ataupun askar yang berani;
11tetapi Dia suka akan orang yang menghormati-Nya,
orang yang yakin kepada kasih-Nya yang kekal.
12Pujilah TUHAN, hai Yerusalem!
Pujilah Allahmu, hai Sion!
13Dia menguatkan pintu gerbangmu;
Dia memberkati umatmu.
14Dia menjaga keamanan negerimu
dan memuaskan engkau dengan gandum yang terbaik.
15Dia memberikan perintah kepada bumi,
dan firman-Nya dilaksanakan dengan segera.
16Dia meliputi tanah dengan salji seperti menghamparkan selimut,
Dia menghamburkan embun beku seperti menghamburkan debu.
17Dia menurunkan hujan batu seperti kerikil;
tiada sesiapa pun tahan menghadapi kesejukan itu.
18Kerana firman-Nya, air batu menjadi cair;
Dia meniupkan angin, maka air pun mengalir.
19Dia memberikan firman-Nya kepada umat-Nya,
peraturan dan hukum-Nya kepada Israel.
20Dia tidak berbuat demikian bagi bangsa lain;
mereka tidak mengenal hukum-Nya.
Pujilah TUHAN!

Terpilih Sekarang Ini:

MAZMUR 147: BM

Highlight

Kongsi

Salin

None

Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk