MAZMUR 132:1-18

MAZMUR 132:1-18 BM

Lagu ziarah. Ya TUHAN, ingatlah akan Daud, dan segala kesusahan yang ditanggungnya. Ingatlah akan janjinya kepada-Mu, ya TUHAN, dan nazarnya kepada-Mu, Yang Maha Kuat, Allah yang disembah Yakub. Katanya, “Aku tidak akan pulang atau tidur; aku tidak akan berehat atau melelapkan mata, sehingga aku membina rumah bagi TUHAN, tempat kediaman bagi Yang Maha Kuat, Allah yang disembah Yakub.” Kami mendengar tentang Tabut Perjanjian di Betlehem, dan menemuinya di padang Yaar. Kami berkata, “Marilah kita pergi ke Rumah TUHAN; marilah kita sembah Dia di hadapan takhta-Nya.” Datanglah dan tinggallah di Rumah-Mu, ya TUHAN, bersama-sama Tabut Perjanjian, lambang kekuasaan-Mu. Hendaklah imam-imam-Mu sentiasa melakukan apa yang benar; hendaklah umat-Mu bersorak-sorak kerana sukacita. Engkau telah berjanji kepada Daud, hamba-Mu. Ya TUHAN, janganlah tolak raja pilihan-Mu. Engkau telah berjanji dengan sumpah kepada Daud - Engkau tidak akan memungkiri janji ini: “Aku akan melantik salah seorang anakmu menjadi raja, dan dia akan mewarisi takhtamu. Jika anak-anakmu setia kepada perjanjian-Ku, dan kepada perintah yang Aku beri mereka, maka anak-anak mereka juga akan mewarisi takhtamu selama-lamanya.” TUHAN telah memilih Sion; Dia hendak menjadikannya tempat tinggal-Nya. Dia berfirman, “Di sinilah tempat kediaman-Ku selama-lamanya; Aku hendak tinggal di tempat ini. Aku akan memberi Sion segala keperluannya sehingga berlimpah-limpah; Aku akan mengenyangkan penduduknya yang miskin dengan makanan. Imam-imamnya memperlihatkan penyelamatan daripada-Ku, dan rakyatnya akan bersorak-sorak kerana sukacita. Di Sion seorang keturunan Daud akan Aku jadikan raja yang agung; Aku akan mengukuhkan pemerintahan raja pilihan-Ku. Aku akan mempermalukan musuh-musuhnya, tetapi kerajaannya aman dan makmur.”