MAZMUR 119:89-112

MAZMUR 119:89-112 BM

Ya TUHAN, firman-Mu kekal selama-lamanya; firman-Mu kekal abadi di syurga. Engkau tetap setia selama-lamanya, Engkau telah menempatkan bumi, dan bumi tetap ada. Demi perintah-Mu segala sesuatu tetap ada sampai sekarang, kerana semuanya hamba-Mu. Sekiranya Taurat-Mu bukan sumber kegembiraanku, pasti aku sudah mati kerana kesengsaraanku. Aku tidak sekali-kali akan melalaikan peraturan-Mu, kerana dengan peraturan itu Engkau memelihara nyawaku. Selamatkanlah aku kerana aku kepunyaan-Mu; aku telah berusaha untuk mentaati perintah-Mu. Orang jahat tertunggu-tunggu hendak membunuh aku, tetapi aku akan merenungkan hukum-Mu. Aku sedar bahawa segala-galanya mempunyai batas; hanya perintah-Mu yang sempurna. Aku sangat mencintai Taurat-Mu! Aku merenungkannya sepanjang hari. Perintah-Mu selalu bersama-sama aku, dan menjadikan aku lebih bijak daripada semua musuhku. Pengertianku melebihi pengertian semua guruku, kerana aku merenungkan peraturan-Mu. Aku lebih bijak daripada orang tua, kerana aku mentaati perintah-Mu. Aku mengelakkan segala kelakuan jahat, kerana aku mahu mematuhi firman-Mu. Aku tidak melalaikan peraturan-Mu, kerana Engkaulah yang mengajar aku. Betapa manisnya peraturan-Mu; lebih manis daripada madu! Aku mendapat kebijaksanaan daripada hukum-Mu, oleh itu aku membenci segala kelakuan buruk. Firman-Mu itu pelita yang memimpin aku, dan cahaya yang menerangi jalanku. Aku akan menepati janji yang aku buat dengan sumpah, untuk mentaati peraturan-Mu yang adil. Penderitaanku sungguh berat, ya TUHAN; selamatkanlah nyawaku menurut janji-Mu. Terimalah doa kesyukuranku, ya TUHAN, dan ajarlah aku perintah-Mu. Aku selalu sedia mempertaruhkan nyawaku; aku tidak melupakan Taurat-Mu. Orang jahat memasang perangkap untukku, tetapi aku tidak melanggar perintah-Mu. Perintah-Mu adalah pusakaku selama-lamanya; perintah-Mu adalah kesukaan hatiku. Aku telah mengambil keputusan untuk mentaati hukum-Mu sehingga akhir hidupku.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami